Rabu, 16 Mac 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Sinar harapan saudara baru

Posted:

Sinar harapan saudara baru

Sinar harapan saudara baru

Oleh MUSAZLILA MUSTAPAR
utusanpahang@utusan.com.my


WAN Abdul Wahid Wan Hassan (tiga kiri) memimpin empat keluarga Orang Asli Sungai Enggang dari suku Che Wong mengucap kalimah syahadah di Kampung Orang Asli Sungai Enggang, Lanchang, Temerloh, baru-baru ini.


TEMERLOH 16 Mac - Masyarakat Orang Asli masih jauh terpinggir daripada pembangunan serta masih mengambil amalan hidup mengikut adat nenek moyang mereka termasuk tidak mengenali agama Islam.

Bagi tujuan tersebut Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengambil inisiatif mendedahkan agama Islam kepada golongan tersebut.

Antaranya menganjurkan Program Pemantapan Akidah dan Ziarah Ramah Mesra Bersama Masyarakat di Kampung Orang Asli Sungai Enggang, Lanchang di sini baru-baru ini.

Program selama tiga hari itu disertai 40 penuntut Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kipsas) yang bertindak sebagai pendakwah dengan melakukan ziarah dan pengisian program.

Program itu dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Di akhir aktiviti yang dianjurkan, seramai empat keluarga Orang Asli berjaya diislamkan Wan Abdul Wahid.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin; Kadi Daerah Temerloh, Saharudin Mohd. Nor.

Wan Abdul Wahid memberitahu, bilangan Pembantu Penggerak Masyarakat Orang Asli di Pahang akan ditambah bagi membangunkan golongan itu daripada segi agama dan sosial.

Malah ujarnya, penggerak terbabit terdiri daripada kalangan masyarakat Orang Asli yang akan diberi latihan selama setahun sebelum dihantar ke kampung terpilih.

Menurutnya, apabila tamat latihan mereka akan dihantar semula ke kampung dan hidup bersama masyarakat kampung.

"Sehingga kini kerajaan negeri mempunyai 60 Penggerak Masyarakat Orang Asli dan 35 daripadanya dibiayai MUIP," ujar beliau.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Sungai Enggang, Bak Raja Ting atau nama Islamnya, Bakri Abdullah, 74, berkata, hampir semua daripada 380 penduduk Orang Asli di kampung itu semakin mengenali Islam.

Katanya, banyak program berkaitan keagamaan dilaksanakan di kampung itu sejak beberapa tahun lalu menjadikan Islam semakin dikenali.

Malah tambahnya, program dari institut pengajian tinggi (IPT) seharusnya diperbanyakkan lagi bagi menarik minat Orang Asli mendekati Islam.

"Sejak kebelakangan ini semakin banyak program bercorak keagamaan diadakan di kawasan kampung ini.

"Perkara itu sedikit sebanyak berjaya menarik minat Orang Asli bukan sahaja beragama Islam tetapi mereka yang belum memeluk agama itu," katanya.

Program seperti itu, jelasnya, perlu diadakan lebih kerap dengan penglibatan banyak pihak dan tidak hanya bergantung pada MUIP sahaja.

Sementara itu, seorang penduduk, Zakaria Abdullah berkata, selain MUIP beberapa syarikat korporat turut membantu memberikan pelbagai kemudahan seperti bangunan yang dijadikan pusat aktiviti bagi kegunaan penduduk tanpa mengira agama.

Menurutnya, segala aktiviti sosial diadakan sekali gus menarik minat penduduk untuk bersosial seterusnya memahami lslam dengan lebih baik.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mohon lebih banyak pihak bantu mendalami Islam

Posted:

Mohon lebih banyak pihak bantu mendalami Islam

Mohon lebih banyak pihak bantu mendalami Islam

TEMERLOH 16 Mac - Masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Enggang, Lanchang dekat sini mahu lebih banyak pihak tampil membantu mereka untuk mendalami Islam dengan lebih berkesan.

Pembantu Penggerak Masyarakat Orang Asli Sungai Enggang, Zawiyah Ali berkata, sehingga kini kira-kira dua peratus masyarakat di kawasan itu sudah memeluk Islam.

Menurutnya, pelbagai pihak datang ke kampungnya dalam memberi pendedahan mengenai Islam sejak kebelakangan ini.

"Pendedahan secara tidak langsung apabila mereka bergaul dengan masyarakat Melayu berhampiran juga berjaya menarik minat mereka mendekati Islam," katanya di sini baru-baru ini.

Zawiyah memberitahu, antara usaha yang perlu dilakukan secara berterusan ialah kekerapan program ziarah ke penempatan Orang Asli di kawasan itu.

Tambahnya, selama lebih 10 tahun bersama masyarakat Orang Asli di situ, apa yang digemari penduduk ialah pihak luar datang melawat mereka dengan membawa cenderahati.

Menurutnya, golongan itu tidak kisah siapa yang datang asalkan setiap lawatan ke perkampungan disertakan cenderahati sebagai tanda mengingati mereka.

"Kebanyakan mereka malu untuk belajar jadi pendekatan terbaik ialah bergaul mesra dengan golongan itu secara lebih kerap," jelasnya.

Masyarakat di sini, ujarnya, semakin menerima baik agama Islam dan jumlah yang memeluk agama itu bertambah jika dibandingkan dengan jumlah penduduk keseluruhannya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Spesies dilindungi dirampas

Posted:

Spesies dilindungi dirampas

Spesies dilindungi dirampas

Oleh MUSAZLILA MUSTAPAR
utusanpahang@utusan.com.my


Khairiah Mohd. Shariff menunjukkan kulit serta kuku harimau belang yang berjaya dirampas di Temerloh, Pahang, semalam.


TEMERLOH 16 Mac - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang merampas pelbagai jenis spesies haiwan dilindungi dengan nilai pasaran kira-kira RM500,000 daripada empat kes di negeri ini.

Pengarahnya, Khairiah Mohd. Shariff berkata, tangkapan terbaru semalam apabila seorang pemilik restoran di Merapoh, Lipis akan dikenakan denda RM600,000 selepas didapati memiliki pelbagai jenis bahagian hidupan liar dipercayai untuk hidangan makanan eksotik di restorannya.

Menurut beliau, hasil intipan oleh lima Penguatkuasa Perhilitan dengan dibantu 32 Pembantu Hidupan Liar menemui 54 helai bulu burung kuang; satu kepala burung ruak-ruak; 16 kilogram daging kijang; dua pelanduk telah dilapah dan pelbagai jenis daging haiwan liar dalam botol kaca dipercayai kulit serta kuku harimau belang.

"Bagi kesalahan itu pengusaha restoran berusia 44 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 68 (2)(c) Akta Hidupan Liar 2010 yang boleh dikenakan didenda tidak kurang RM100,000 dan tidak lebih RM500,000 serta penjara tidak lebih lima tahun," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khairiah berkata, kes kedua pula di Kampung Kerayong, Triang pada 14 Mac lalu apabila Penguatkuasa Perhilitan menahan seorang warga emas berusia 72 tahun dan seorang lelaki Cina berusia 37 tahun kerana menyimpan empat kaki babi hutan serta sebahagian dagingnya.

Tambah beliau, kedua-dua lelaki itu berhadapan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Menurutnya, pada tarikh dan lokasi sama seorang wanita berusia 51 tahun ditahan dan merampas kira-kira 13 kilogram daging babi hutan yang boleh didenda maksimum RM50,000.

"Kes seterusnya di Janda Baik pada 15 Februari lalu apabila Perhilitan merampas satu kepala burung kakak tua dari kediaman seorang lelaki berusia 41 tahun.

"Turut dirampas dua kepala burung serindit daripada lelaki terbabit. Jumlah denda maksimum bagi kesalahan ini adalah RM100,000," katanya.

Khairiah berkata, dalam serbuan yang dilakukan sepanjang tahun lalu, pihaknya merampas empat senjata api daripada pemburu haram kerana memburu pelanduk dan landak tanpa kebenaran.

Menurut beliau, turut dirampas selaras senjata api buatan sendiri dan Perhilitan menyerahkan kes tersebut kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, kesemua kesalahan yang diambil tindakan itu dilakukan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) akta baru bagi menggantikan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972/Akta 76 yang dimansuhkan.

Katanya, mereka yang ditahan boleh didenda sebanyak RM850,000 dan berhadapan hukuman penjara.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan