Rabu, 9 Mac 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Pantai Chempaka berubah wajah

Posted:

Pantai Chempaka berubah wajah

Pantai Chempaka berubah wajah

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
utusanpahang@utusan.com.my


Antara produk kraf tangan yang terdapat di Pantai Chempaka, Kampung Pantai Sepat, Kuantan.


KUANTAN 9 Mac – Pantai Chempaka di Kampung Pantai Sepat dekat sini bakal berubah wajah apabila kerajaan negeri mempromosikan kawasan itu sebagai produk pelancongan baru di negeri ini.

Promosi destinasi baru itu turut disertai Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Pahang yang melihat pantai tersebut boleh dimajukan sebagai produk pelancongan baru.

Pengerusi MATTA Pahang, Mohd. Almizat Abu Halip berkata, pihaknya berbesar hati dengan kerjasama yang diberikan selain mendapat layanan istimewa dan sokongan masyarakat setempat.

Menurutnya, aktiviti bersama agensi pelancongan itu dalam memperkenalkan produk pelancongan baru di sini memberi sedikit kelainan dan keunikan tersendiri.

"Istimewanya di sini, pengunjung diberi pilihan memilih pakej-pakej yang disediakan mengikut cita rasa masing-masing.

"Selama sehari di sini mereka pasti terhibur dengan jadual yang padat dan pelbagai aktiviti menarik yang disediakan mengikut pilihan pakej," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd. Almizat memberitahu, pihaknya mengetengahkan produk tempatan serta penglibatan penduduk kampung yang mesra untuk mendorong pelancong berkunjung ke kawasan itu.

"Kita juga menambah jenis-jenis produk yang boleh dijual kepada orang luar, selain memberi manfaat kepada penduduk menambah pendapatan.

"Ia salah satu strategi MATTA menarik minat pengunjung luar dan kemungkinan pada Mei ini kita akan melakukan promosi besar-besaran khusus untuk pelancong dari luar Pahang," katanya.

Tambahnya, antara aktiviti yang bakal menarik minat pengunjung ialah demonstrasi beruk memanjat pokok kelapa dan memukat pantai.

Katanya, ramai di antara penduduk terutama golongan muda tidak pernah melihat cara beruk dilatih memanjat pokok kelapa.

Beliau memberitahu, beberapa proses dilakukan sebelum seekor beruk itu menjadi mahir dan mampu memanjat berpuluh batang pokok kelapa sehari.

Selain itu, Mohd. Almizat berkata, pakej memukat pantai bakal menjadi tarikan pelancong agar mereka memahami kehidupan seorang nelayan menangkap ikan.

"Nelayan di sini masih menjalankan aktiviti memukat sebagai pendapatan sampingan dan untuk kegunaan sendiri. Aktiviti itu menarik dan boleh dijadikan daya tarikan pelancong," katanya.

Katanya, untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat pelancongan terkenal, semua yang terlibat perlu berusaha dengan lebih gigih bagi menjayakan rancangan berkenaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

RM277,000 bina pasar di Merapoh

Posted:

RM277,000 bina pasar di Merapoh

RM277,000 bina pasar di Merapoh

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

KUALA LIPIS 9 Mac – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM277,000 untuk projek pembinaan pasar baru dan premis perniagaan di Merapoh, dekat sini tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, kemudahan itu terdiri daripada pasar, enam ruang perniagaan dan kedai makan yang akan memulakan pembinaannya tidak lama lagi.

Menurut beliau, projek tersebut dilaksanakan di bawah penyelenggaraan Majlis Daerah Lipis (MDL) yang mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan.

Beliau berkata, premis itu bakal menjadi pusat jualan hasil kampung di kalangan penduduk kawasan Merapoh dan kampung berdekatan di sini.

"Projek itu antara usaha Kerajaan Barisan Nasional (BN) memajukan sektor pertanian menerusi pemasaran secara sistematik di samping mewujudkan golongan usahawan di kawasan itu.

"Premis tersebut akan menjadi persinggahan kenderaan dari Lembah Klang melalui Kuala Lipis ke Kelantan," katanya kepada pemberita selepas melakukan majlis pecah tanah projek Pasar Merapoh, dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha MDL, Mohd. Pauzi Abu Hussaini, Penghulu Mukim Gua, Zarizal Zah Hamri dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Merapoh, Tengku Othman Tengku Daud.

Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Lipis menjelaskan, kemudahan situ akan memberi keselesaan kepada penduduk tempatan berbelanja kerana terdapat pelbagai hasil kampung dijual dan peluang peniaga memasarkan buah-buahan segar serta makanan tempatan.

Dalam pada itu, Tengku Othman berkata, kemudahan itu bakal menjadi pusat pertumbuhan baru di Merapoh kerana kawasan itu berdekatan dengan jalan utama antara Kuala Lipis ke Merapoh.

Beliau berkata, projek tersebut akan menjimatkan masa penduduk kerana mereka tidak perlu pergi ke bandar Kuala Lipis dan Gua Musang, Kelantan untuk mendapatkan keperluan dapur.

Selain itu, Mohd. Pauzi berkata, projek tersebut merupakan tanggungjawab sosial pihaknya bagi menyediakan kemudahan kepada penduduk Merapoh berbelanja barang keperluan dapur.

"Sememangnya hasrat MDL mewujudkan premis tersusun merupakan antara agenda pembangunan kerajaan negeri membangunkan Merapoh sebagai pusat pertumbuhan baru berasaskan sektor pertanian dan pelancongan," katanya.

Katanya, Merapoh juga sebagai tempat rawat dan rehat (R&R) terhadap kenderaan yang singgah di situ sekali gus menambah pendapatan penduduk melalui aktiviti perniagaan kecil-kecilan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Penduduk terkejut banjir kilat di Matau, Felda Jengka 1

Posted:

Penduduk terkejut banjir kilat di Matau, Felda Jengka 1

Penduduk terkejut banjir kilat di Matau, Felda Jengka 1

KUALA KRAU 9 Mac - Penduduk di Matau dan Felda Jengka 1 dekat sini terkejut apabila kawasan rumah mereka ditenggelami air setinggi kira-kira tiga meter berikutan hujan lebat berterusan di kawasan itu sejak pukul 11 malam semalam.

Seorang penduduk, Fauzi Awang Besar, 50, berkata, penghuni di situ yang dianggarkan lebih 100 orang tidak menyangka hujan lebat tersebut memberi kesan banjir kilat di kawasan itu.

Tambahnya, sebelum itu kira-kira pukul 7 pagi, dia menghantar anak ke sekolah di Sekolah Kebangsaan Bandar Pusat di sini seperti biasa walaupun hujan lebat masih berterusan.

"Apabila pulang ke rumah sejam kemudian, saya terkejut kerana kawasan kampung di Matau itu ditenggelami air," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Utusan Malaysia turut melakukan tinjauan ke tanah rancangan Felda Jengka 1 mendapati terdapat beberapa rumah peneroka yang berada di kawasan rendah turut dinaiki air.

Kejadian itu kemungkinan berpunca keadaan longkang yang tersumbat kerana aliran air tidak bergerak lancar selain sistem perparitan tidak sempurna.

Menurutnya, kejadian itu kemungkinan berpunca dari Sungai Cenderai yang melimpah, sistem perparitan tidak sempurna dan penebangan hutan secara tidak terkawal.

"Kawasan itu juga merupakan kawasan rendah dan pernah ditenggelami air dalam banjir pada tahun 2007," katanya.

Seorang penduduk, Roslan Hasan, 40, berkata, segelintir peniaga tidak dapat menyelamatkan barangan mereka di pekan kecil di situ kerana air naik terlalu cepat dan tidak mampu berbuat apa-apa.

Katanya, sehingga pukul 5 petang, air belum surut sepenuhnya walaupun hujan berhenti dan cuaca panas selepas itu.

Menurutnya, banjir tersebut terburuk selepas 2007 itu menyebabkan peniaga termasuk kedai runcit mengalami kerugian besar.

Roslan juga mencadangkan kepada pihak berkuasa supaya membina longkang lebih besar bagi membolehkan air mengalir dengan baik.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen