Jumaat, 11 Mac 2011

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Perintah Anwar beri sampel DNA

Posted:

Perintah Anwar beri sampel DNA

Perintah Anwar beri sampel DNA

Oleh AMIRUDDIN HARUN
dan SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 11 Mac – Pihak pendakwaan dalam kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memohon agar Mahkamah Tinggi di sini menggunakan kuasanya untuk memerintahkan Ketua Pembangkang itu memberikan sampel bagi tujuan ujian profil asid deoksiribonukleik (DNA).

Ini merupakan permohonan yang julung-julung kali dikemukakan dalam sejarah perundangan negara.

Hasil ujian tersebut pula akan digunakan untuk perbandingan dengan sampel DNA yang ditemui di dalam rektum (salur dubur) bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh ahli politik berkenaan.

Permohonan itu dikemukakan oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai barisan pendakwaan selepas saksi pendakwa ke-26 dan terakhir, Supritendan Ahmad Taufek Abdullah selesai memberi keterangan.

"Permohonan ini adalah untuk mencari kebenaran dan keadilan terhadap semua pihak,'' tegas Mohd. Yusof.

Permohonan itu, menurut beliau, dibuat mengikut Seksyen 73 dan 165 Akta Keterangan 1950.

Mengikut Seksyen 165, seorang hakim dalam mengetahui atau mendapatkan bukti wajar mengenai fakta berkaitan, boleh bertanyakan sebarang soalan, dalam sebarang bentuk, pada bila-bila masa, kepada mana-mana saksi atau pihak, mengenai sebarang fakta sama ada berkaitan atau tidak berkaitan.

Beliau juga boleh memerintahkan supaya dikemukakan sebarang dokumen atau benda dan mana-mana pihak atau ejen tidak berhak membuat sebarang bantahan terhadap mana-mana soalan atau perintah sedemikian atau tanpa kebenaran mahkamah, menyoal balas saksi atas sebarang jawapan yang diberikan.

Bagaimanapun, peruntukan tersebut disertakan dengan syarat bahawa penghakiman atau perintah itu dibuat berdasarkan fakta yang ditetapkan oleh akta tersebut sebagai berkaitan dan dibuktikan dengan sewajarnya.

Tiga tahun lalu, Parlimen bersetuju meluluskan Akta Identifikasi DNA 2008 yang mengklasifikasi profil DNA dan maklumat sedia ada yang berkaitan dengannya disimpan serta disenggarakan oleh Jabatan Kimia Malaysia atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Undang-undang tersebut diwujudkan bertujuan memperoleh sampel DNA daripada orang yang disyaki bersalah, tahanan atau seorang penagih dadah untuk siasatan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, Bank DNA masih belum diwujudkan sehingga ini di negara ini.

Anwar, 64, dibicarakan atas dakwaan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pada prosiding hari ini, Mohd. Yusof turut memohon agar Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menyemak semula keputusan yang dibuat sewaktu bicara dalam perbicaraan (TWT) sebelum ini.

Ia berikutan keterangan pegawai penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira dan keterangan Ahmad Taufek yang ditugaskan untuk menangkap Anwar pada 16 Julai 2008.

Dalam keterangan kedua-dua saksi, Judy telah memohon waran tangkap ke atas tertuduh pada 15 Julai tahun yang sama dan ia telah disempurnakan oleh Ahmad Taufek pada keesokan harinya.

Mahkamah menetapkan Isnin ini untuk kedua-dua pihak berhujah mengenai kedua-dua permohonan tersebut.

Selasa lalu, Hakim Mohamad Zabidin memutuskan untuk tidak menerima masuk sehelai tuala kecil Good Morning, sebatang berus gigi dan satu botol minuman plastik yang diambil dari lokap Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 17 Julai 2008 yang menempatkan Anwar, sebagai barang bukti.

Hakim terbabit memutuskan demikian selepas mendapati barang-barang berkenaan yang diambil bagi tujuan mendapatkan profil DNA, diperoleh dengan cara yang tidak sah.

Prosiding TWT diadakan ekoran bantahan barisan pembelaan terhadap barang-barang kes itu. Bantahan ditimbulkan pada 23 Februari lalu sewaktu Ketua Unit DNA Paterniti, Jabatan Kimia Malaysia, Nor Aidora Saedon memberi keterangan.

Dalam keterangan saksi pendakwa keenam itu, Nor Aidora menyatakan, ujian analisis DNA terhadap tuala, berus gigi dan botol minuman menunjukkan wujudnya profil DNA Lelaki Y.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Saiful nafi ada hubungan seks individu lain

Posted:

Saiful nafi ada hubungan seks individu lain

Saiful nafi ada hubungan seks individu lain

KUALA LUMPUR 11 Mac – Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dengan tegas menafikan bahawa dia ada melakukan hubungan seks dengan dua atau tiga individu lain dalam tempoh terdekat selepas kejadian pada 26 Jun 2008.

Dia turut menyatakan tidak boleh memberi komen terhadap cadangan peguam Karpal Singh yang mendakwa keterangan mengenai kehadiran dua atau tiga asid deoksiribonukleik (DNA) lain ditemui di permukaan duburnya (perianal) oleh ahli kimia, Dr. Seah Lay Hong adalah tidak benar.

Bekas pembantu peribadi Anwar itu memberitahu demikian selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Karpal agar pemuda itu dipanggil semula memberi keterangan berkaitan penemuan beberapa profil DNA di dubur Mohd. Saiful Bukhari oleh Lay Hong.

Karpal membuat permohonan itu selepas saksi terakhir pendakwaan iaitu saksi ke-26, Supritendan Ahmad Taufek Abdullah selesai memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Dalam keterangannya, Mohd. Saiful Bukhari berkata, antara tarikh kejadian itu berlaku pada 26 Jun 2008 dan tarikh dia membuat laporan polis, 28 Jun 2008, dia ada pergi ke beberapa tandas tetapi tidak membuang air besar.

Semasa pemeriksaan semula oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden, saksi pendakwa pertama itu menyatakan, dalam tempoh tiga hari itu, dia tidak mandi tetapi membilas badannya.

Menurutnya, dia berbuat demikian semasa di tempat kejadian dan keesokan hari di rumahnya.

Sementara itu, pegawai penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira, 58, sewaktu menyambung keterangan dalam pemeriksaan utamanya berkata, beliau memohon waran tangkap terhadap Anwar dari mahkamah pada 15 Julai 2008 setelah mendapati wujud syak munasabah bahawa tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Diminta menjelaskan perkara ini oleh Mohd. Yusof, beliau berkata, syak wasangka itu adalah berasaskan kepada rakaman percakapan Mohd. Saiful Bukhari dan saksi-saksi lain serta laporan kimia mengenai air mani yang ditemui pada calitan putik kapas (yang diambil daripada anggota badan pengadu) selain rakaman kamera litar tertutup.

Judy berkata, pada tarikh 15 Julai itu, beliau ada memaklumkan niat untuk melakukan tangkapan ke atas Anwar dengan menghantar surat melalui faksimile kepada peguam Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, Sankara Nair.

"Saya ada katakan dalam surat itu yang minta Anwar serah diri pada 16 Julai 2008 pada pukul 2 petang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan menyatakan kami memohon waran tangkap," katanya.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh Karpal, saksi tersebut memberitahu, beliau ada merekodkan percakapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurutnya, rakaman percakapan Najib direkodkan selepas Mohd. Saiful Bukhari memaklumkan menemui beliau (Najib) pada 24 Jun 2008 untuk mengadu tentang beberapa kejadian yang berlaku sebelum tarikh itu.

"Sementara percakapan Rosmah dirakamkan pada 17 Julai 2008," kata saksi pendakwa ke-25 itu.

Judy sebelum itu berkata, berdasarkan rakaman percakapan pengadu, dalam tempoh antara 26 dan 28 Jun 2008, pemuda itu mengaku ada membuat aduan kepada rakannya, Rahimi Osman; bekas Setiausaha Politik Anwar, Senator Ezam Mohd. Nor; bapa saudaranya, Tuah Mohd. Alip dan Datuk Mumtaz Jaafar.

Mohd. Saiful Bukhari dalam keterangannya di mahkamah pada 12 Mei tahun lalu mengakui menemui Najib di kediaman pemimpin itu pada pukul 8.30 malam, 24 Jun 2008.

Dalam pertemuan itu, katanya, Najib tidak percaya, skeptikal (ragu-ragu) dan terkejut ketika dinyatakan dia dianiaya oleh Anwar.

Perbicaraan bersambung Isnin ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan