Khamis, 24 Mac 2011

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Rintihan pembeli Saujana Putra

Posted:

Rintihan pembeli Saujana Putra

Rintihan pembeli Saujana Putra

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my


Pembeli rumah di Bandar Saujana Putra mendesak pihak pemaju menyiapkan rumah mereka yang terbengkalai sejak 2005 semasa meninjau keadaan terkini rumah mereka di Sepang, baru-baru ini. – UTUSAN/ASWAD YAHYA


KUALA LANGAT 24 Mac – Pembeli rumah di Bandar Saujana Putra dekat sini tidak pernah putus dirundung malang.

Jika sebelum ini, pembeli di Fasa 5A dan 5B terpaksa menanggung derita, kini beban sama turut dirasai pula oleh pembeli di Fasa 1, 2 dan 3.

Lebih memeritkan ialah apabila ada pihak tertentu yang didakwa cuba memperlekehkan usaha pembeli menuntut hak mereka itu.

Bagi Jawatankuasa Bertindak Sementara (Protem) Bandar Saujana Putra, walaupun apa pun yang berlaku, semangat pembeli untuk menuntut hak mereka tidak pernah tergugat.

Malah, pengalaman menyelesaikan masalah di Fasa 5A dan 5B sebelum ini diharapkan lebih mempermudahkan urusan mereka.

Setiausaha Protem, Rozida Mat Johan (gambar) berkata, fokus utama mereka kini ialah menumpukan kepada usaha menyelesaikan masalah pembeli rumah teres Fasa 3A dan 3B.

Katanya, projek yang dibangunkan oleh Galian Juta Sdn. Bhd., anak syarikat Talam Corporation Berhad itu dikatakan gagal disiapkan kerana masalah kewangan.

"Rumah ini sepatutnya siap dan diserahkan kepada pembeli pada 2005 tetapi sehingga kini ia masih gagal disiapkan menyebabkan pembeli terpaksa menanggung sengsara,'' katanya ketika ditemui di tapak projek Fasa 3B di sini.

Katanya, dalam mesyuarat bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pemaju pada 8 Mac lalu, pemaju berjanji akan menyiapkan rumah di Fasa 3A dan 3B dalam tempoh enam bulan.

Namun, katanya, pembeli sangsi dengan janji pemaju itu dan mahukan tindakan segera dalam usaha menyiapkan projek tersebut terutama menyegerakan kemasukan kontraktor ke tapak projek.

"Kita juga meminta pekerja di Fasa 3B ditambah supaya tempoh enam bulan yang dijanjikan benar-benar direalisasikan. Kami tidak mahu mendengar sebarang alasan lagi selepas ini," tegasnya.

Sementara itu, bagi Fasa 1B dan 1C, kerja-kerja bangunan telah pun siap dan pihak pemaju dalam proses menyiapkan kemudahan jalan masuk dan taman permainan .

"Pihak pemaju memaklumkan projek itu kini dalam proses pemeriksaan dan mendapatkan surat sokongan daripada agensi-agensi teknikal.

"Penyerahan kunci akan diadakan setelah mendapat surat-surat sokongan dari semua agensi-agensi terlibat dan Sijil Layak Menduduki (CF),'' ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kesempitan hidup bukan penghalang

Posted:

Kesempitan hidup bukan penghalang

Kesempitan hidup bukan penghalang

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
kota@utusan.com.my


Aisyah Azahar (kanan) menunjukkan slip keputusan SPM kepada datuknya, Mat Husin Ibrahim sambil diperhatikan oleh kakaknya, Nurhidayah Azahar, neneknya, Sahara Abdul Hamid dan ibu saudaranya, Enyda Mat Husin di rumahnya di Taman Jaya, Bandar Tun Razak, kelmarin.


KUALA LUMPUR 24 Mac - Kesempitan hidup dan memikul tanggungjawab menjaga keluarga tidak menghalang seorang remaja, Aisyah Azahar, 18, untuk mencatat kejayaan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dia mendapat 6A dan kini berazam untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) khususnya di Shah Alam.

Aisyah yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Razak berkata, dia bersyukur kerana memperoleh keputusan tersebut walaupun sedikit kecewa kerana tidak cemerlang dalam semua 10 mata pelajaran yang diambilnya.

"Saya memang berharap untuk melanjutkan pelajaran di UiTM Shah Alam kerana lebih dekat dengan rumah supaya lebih senang melawat keluarga," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Selasa lalu, Utusan Malaysia menyiarkan kisah hidup Aisyah yang terpaksa menyara keluarganya dan menjaga beberapa ahli keluarganya yang mengalami masalah kesihatan.

Dia yang tinggal di Taman Jaya, Bandar Tun Razak di sini perlu menjaga datuknya yang lumpuh akibat parkinson, neneknya yang mengalami penyakit kemurungan serta kakak dan ibu saudara yang mengalami sakit jiwa.

Selain itu, gadis yang sudah ketiadaan bapa sejak 17 tahun lalu juga perlu menjaga ibunya yang kini dirawat di hospital akibat penyakit yang sama dialami kakak dan ibu saudaranya.

Namun, kesempitan hidup keluarga itu sudah mendapat perhatian UMNO Bandar Tun Razak yang menghulurkan bantuan dan menjadikan keluarga itu sebagai keluarga angkat.

Sementara itu, Aisyah berkata, walaupun terpaksa menjaga ahli keluarganya, namun ia tidak menjadi penghalangnya untuk mengulang kaji pelajaran.

"Apa yang penting adalah perlu pandai membahagikan masa untuk belajar. Saya selalu bangun pada waktu malam untuk ulang kaji kerana lebih tenang berbanding waktu siang yang bising," jelasnya.

Tambahnya, resipi kejayaannya adalah berusaha dan melakukan semua perkara dengan ikhlas.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Dua maut nahas berasingan

Posted:

Dua maut nahas berasingan

Dua maut nahas berasingan

KUALA LUMPUR 24 Mac - Seorang pemuda warga Nigeria dan seorang wanita maut dalam kemalangan berasingan di ibu negara semalam dan awal pagi ini.

Kemalangan pertama berlaku di Jalan Istana di sini pada pukul 6.30 pagi semalam, melibatkan seorang pelajar sebuah kolej swasta di Bukit Jalil, Ibrahim Mohamad, 20.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, pelajar dari Nigeria itu mati di tempat kejadian akibat cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta dan tercampak.

Beliau berkata, polis mengambil keterangan pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Shah Alam, Selangor bagaimanapun mengesyaki timbul keraguan dalam kes kemalangan tersebut.

"Suspek memaklumkan dia gagal mengelak daripada melanggar mangsa yang sedang memasang kon di belakang sebuah lori yang rosak namun siasatan di tempat kejadian gagal menemui kon dan lori rosak seperti didakwa," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdullah berkata, keterangan suspek tanpa bukti menyebabkan polis mengesyaki pemandu terbabit mungkin sengaja mereka cerita untuk menutup kesalahannya.

Sehubungan itu, katanya, beliau meminta orang ramai yang melihat kemalangan itu agar tampil memberi maklumat kepada polis untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fuzi Samat di talian 03-2071 9999.

Dalam pada itu, kata Abdullah, seorang wanita dilaporkan maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan di bulatan Kepong dari arah pusat bandar menghala ke Batu Caves di sini pada pukul 4 pagi ini.

"Mangsa, Yin Pei Yang, 25, mati di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah akibat tersepit dalam kenderaan," katanya sambil memberitahu polis masih menyiasat punca kemalangan termasuk membuat ujian darah untuk mengenal pasti sama ada mangsa mabuk atau mengantuk semasa memandu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen