Rabu, 16 Mac 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Johor: Jalan sesak, sempit

Posted: 15 Mar 2011 12:36 PM PDT

Wilayah

  KENDERAAN pengunjung terpaksa diletakkan sesuka hati kerana ketiadaan  tempat meletak kenderaan yang teratur.

KENDERAAN pengunjung terpaksa diletakkan sesuka hati kerana ketiadaan tempat meletak kenderaan yang teratur.

Penduduk minta pertingkat kemudahan di pasar malam Kampung Kangkar Tebrau

KANGKAR TEBRAU: Kurangnya tempat meletak kenderaan di kawasan pasar malam berhampiran di Kampung Kangkar Tebrau dan kawasan perumahan sekitarnya menyebabkan kesesakan jalan raya serius di kawasan berkenaan.

Keadaan itu sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu dan seharusnya diambil perhatian oleh pihak berkaitan supaya tidak menyusahkan pengguna jalan raya dan juga pengunjung ke pasar malam berkenaan. Peniaga pasar malam, Ratnawati Mohd Noor, 42, berkata sambutan hangat oleh penduduk di kawasan ini menyebabkan kesesakan jalan raya akan berlaku kerana laluan kenderaan di situ menjadi sempit disebabkan pengunjung pasar malam meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan.

Katanya, tindakan itu mengakibatkan kesesakan terutamanya apabila pekerja kilang balik dari tempat kerja masing-masing.

Beliau berkata, lazimnya pekerja kilang diturunkan beramai-ramai dari satu bas dan ini mengakibatkan kesesakan jalan dan ditambah lagi dengan kenderaan persendirian seperti kereta, motosikal dan van yang turut memenuhi kawasan itu.

"Saya meminta pihak berwajib melebarkan jalan raya di kawasan berkenaan supaya ada ruang yang lebih bagi membolehkan kenderaan seperti kereta, van atau bas diletakkan dengan betul supaya tidak mengganggu pengguna jalan raya lain.
"Sebagai peniaga, saya memang bersyukur kerana sambutan begitu menggalakkan diterima daripada pengunjung yang datang ke pasar malam ini tetapi pada masa yang sama ketiadaan tempat meletak menyusahkan pengguna.

"Sepatutnya dibina lebih banyak kemudahan itu bagi keselesaan pengunjung dan peniaga," katanya yang sudah berniaga di situ sejak sembilan tahun lalu.

Pengunjung Pasar Malam, Iriyusri Kamal, 27, berkata boleh dikatakan setiap kali pasar malam bermula petang Ahad hingga ke tengah malam akan menyebabkan kesesakan jalan raya kerana jalan sedia ada tidak lebar sedangkan kawasan berkenaan terletak dalam laluan Kawasan Perindustrian Tebrau 4 dipenuhi hampir 30 kilang dan 12,000 pekerja.

Katanya, pekerja biasanya akan pulang pada jam 7 malam disebabkan pertukaran syif dan sudah tentu kawasan Pasar Malam Kangkar Tebrau akan menjadi tumpuan mereka untuk membeli juadah makan malam.

"Saya sendiri terpaksa meletakkan kereta saya di bahu jalan yang tidak bertar kerana pihak berwajib tidak menyediakan kawasan tempat meletak kenderaan dan ia berisiko dilanggar kenderaan lalu lalang di kawasan berkenaan," katanya.

Pengunjung, Norliza Khamjah, 30, berkata ketiadaan tempat meletakkan kenderaan boleh mengakibatkan kenderaan yang diletakkan di situ disaman pihak polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Selain itu katanya, jika perkara ini berlarutan, pada masa akan datang ia boleh memberi kesan buruk pada alam sekitar yang mengakibatkan pencemaran udara di situ yang boleh menjejaskan barang makanan dijual di pasar malam itu.

"Saya berharap pihak bertanggungjawab melebarkan jalan dan pada masa yang sama menyediakan tempat meletakkan kenderaan lebih teratur supaya kemalangan dan pencemaran dapat diatasi bagi memastikan kesihatan dan kualiti barangan terutama makanan yang dijual di pasar malam ini tidak tercemar," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sentral: Penghuni flet marah

Posted: 15 Mar 2011 12:31 PM PDT

Wilayah

Premis kosong rumah pangsa Perdana Paroi penuh sampah

SENAWANG: Penduduk Rumah Pangsa Perdana Paroi di sini, marah apabila beberapa unit rumah kosong di situ menjadi tong sampah, manakala dinding rumah menjadi kanvas untuk menconteng, termasuk perkataan lucah.

Keadaan itu menimbulkan perasaan tidak senang majoriti penduduk, terutama yang berhampiran unit rumah terbabit kerana terpaksa menghidu bau, selain keadaan itu memburukkan pandangan dan imej kawasan perumahan mereka. Penduduk mendakwa masalah itu berlaku sejak lebih enam bulan lalu apabila segelintir penduduk mengambil jalan mudah membuang sampah dalam unit rumah kosong terbabit walaupun kemudahan tempat pembuangan sampah disediakan.

Hamidah Arshad, 48, kesal dengan sikap penduduk yang melakukan perbuatan itu kerana rumahnya terletak di depan unit rumah terbabit.

Katanya, bukan hanya plastik sampah, malah ada penduduk yang tidak berhati perut membuang sampah pukal seperti permaidani dan tikar plastik buruk.

"Setiap kali saya melaporkan masalah ini kepada Majlis Perbandaran Seremban (MPS), kakitangannya akan memungut sampah itu, tetapi beberapa hari kemudian, sampah baru muncul lagi.
"Tindakan penduduk terbabit menyebabkan saya yang tinggal berhampiran `tong sampah' haram itu menjadi mangsa terpaksa menghidunya setiap hari," katanya yang menetap di situ sejak tujuh tahun lalu.

Badrulzaman Burhanuddin, 17, turut tidak puas hati terhadap tindakan segelintir penduduk yang mementingkan diri sendiri.

Katanya, unit rumah yang kosong itu turut menjadi sasaran segelintir remaja menconteng dinding rumah dengan perkataan lucah.

"Penduduk tidak dapat mengesan mereka yang melakukan perbuatan itu yang dipercayai berbuat demikian ketika penghuni bekerja pada siang hari," katanya
Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka terbabit kerana perbuatan itu jika dibiarkan, akan menimbulkan masalah kesihatan seperti penyakit berjangkit akibat persekitaran kotor.

Norshahrizan Bador, 30, pula berkata kebanyakan penduduk tidak selesa dengan masalah yang berlaku, tetapi tidak mempunyai pilihan lain.

Beliau mencadangkan kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di situ untuk mengesan mereka yang tidak bertanggungjawab membuang sampah dan menconteng dinding.

"Jika berjaya dikesan, penduduk terbabit perlu dikenakan tindakan tegas kerana menimbulkan masalah kepada orang lain. Jika tidak, mereka akan terus berbuat demikian kerana menganggap tiada siapa yang boleh bertindak terhadap mereka," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen