Selasa, 15 Mac 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Wilayah: Pelanggan 'lari' ke Pekan Mundok

Posted: 14 Mar 2011 12:21 PM PDT

Wilayah

Peniaga dakwa penguatkuasaan di sempadan agak longgar

RANTAU PANJANG: Peniaga di Kawasan Bebas Cukai (KBC) di sini, tidak berpuas hati dengan tahap penguatkuasaan di sempadan Kelantan-Thailand khususnya di Kampung Jeram Perdah, Mundok yang didakwa agak longgar sehingga menyebabkan perniagaan mereka terjejas teruk.

Mereka mendakwa lebih ramai berkunjung ke pekan Mundok untuk membeli-belah dan tidak lagi berbelanja di kawasan bebas cukai kerana barangan di situ lebih murah selain tidak dikenakan cukai. Tinjauan Berita Harian ke pekan Mundok, kelmarin, mendapati orang ramai berpusu-pusu menyeberangi Sungai Golok dengan tambang bot hanya RM1 setiap seorang dan kembali semula ke sini dengan pelbagai jenis barangan yang dibeli.

Orang ramai dikatakan semakin bertambah khususnya setiap Jumaat dan Isnin di mana kawasan meletak kenderaan di tebing sungai yang berdekatan rumah penduduk kampung sesak sehingga di bahu jalan.

Timbalan Presiden Persatuan Peniaga-Peniaga Melayu Rantau Panjang, Ramli Abdullah, berkata hampir 800 peniaga di kawasan bebas cukai itu kerugian kerana pelanggan beralih ke pekan Mundok.

Beliau berkata, tahap penguatkuasaan yang agak longgar menyebabkan orang ramai bebas keluar masuk menerusi pangkalan haram di situ seterusnya membeli-belah dengan kadar harga barangan yang lebih murah, selain tidak dikenakan cukai.
"Apa guna kawasan bebas cukai di pekan Rantau Panjang sekiranya ada kawasan lain yang berdekatan 'lebih bebas' dan menarik hati orang ramai untuk berbelanja.

"Kami berharap agensi berkaitan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi masalah ini kerana ia menjejaskan mata pencarian kami," katanya ketika ditemui, semalam.

Ramli berkata, bilangan pelanggan yang semakin berkurangan juga menyebabkan ramai peniaga di kawasan bebas cukai di sini menghadapi pelbagai masalah termasuk kesukaran membayar pinjaman tekun serta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

"Perbezaan harga barang di sini dengan pekan Mundok amat ketara kerana ada barangan yang berbeza harga sehingga RM5 hingga RM8.

"Keadaan ini juga menyebabkan pelanggan 'lari' ke sana dan sudah semestinya menjejaskan pendapatan peniaga di sini," katanya.

Peniaga, Ayub Mat, 39, berkata biasanya pada setiap Jumaat, pelanggan ramai datang ke KBC, di sini tetapi kini mereka lebih suka membeli-belah di Mundok.

Katanya, pelanggan mudah menyeberangi ke pekan itu dan membeli-belah walaupun terpaksa bersesak di dalam bot enjin galah menyeberangi sungai selebar kira-kira 60 meter itu.

"Sekiranya bot terbabit terbalik sudah tentu akan meragut nyawa kerana muatannya berlebihan selain ada yang membawa anak-anak kecil bersama," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sentral: Pembalakan haram dibongkar

Posted: 14 Mar 2011 12:19 PM PDT

Wilayah

HASIL hutan di Bukit Enggang, Bandar Sungai Long diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

HASIL hutan di Bukit Enggang, Bandar Sungai Long diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Dalang kegiatan terbabit bertindak licik dengan meletakkan jengkaut di atas tanah hak milik hingga menyebabkan kekangan pada pihak penguatkuasaan untuk merampasnya ketika ia ditemui

BANDAR SUNGAI LONG: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) berjaya membongkar satu lokasi pembalakan haram yang dipercayai dijalankan sejak awal bulan lalu, dekat sini, kelmarin.

Risikan bersepadu yang diketuai Penolong Pengarah Operasi dan Penguatkuasaan JPNS, Mohd Yussainy Md Yusop bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu menemui beberapa longgokan kayu balak yang disembunyikan dalam semak kira-kira 500 meter dari lokasi pembalakan dipercayai disorokkan pekerja sindiket terbabit. Selain itu, jengkaut yang digunakan bagi mengangkut naik kayu balak ke atas lori turut disorokkan di lorong semak yang lain, kira-kira satu kilometer dari lokasi pembalakan.

Bagaimanapun, dalang kegiatan terbabit bertindak licik dengan meletakkan mesin itu di atas tanah hak milik hingga menyebabkan kekangan kepada pihak penguatkuasaan untuk merampasnya ketika ia ditemui.

Mohd Yussainy berkata, Bukit Enggang adalah 'lokasi panas' yang kaya pelbagai hasil hutan, tetapi dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab bagi mengaut keuntungan secara mudah tanpa menghiraukan tindakan penguatkuasaan.

"Hasil risikan mendapati, mereka menebang kayu balak dan mengumpulnya di satu tempat yang tersorok sebelum membawa keluar menggunakan lori pada waktu tengah malam bagi mengelak dikesan pihak penguat kuasa.
"Berikutan itu, pemantauan berterusan secara berkala pada waktu malam akan dijalankan kerana kita khuatir kegiatan pembalakan haram serta masalah kecurian pasir yang berlaku di kawasan ini akan turut menjejaskan dua hutan simpan bersebelahan iaitu Hutan Simpan Sungai Lalang dan Hutan Simpan Hulu Langat," katanya.

Tinjauan Sentral mendapati, lokasi pembalakan haram itu terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandar Sungai Long serta jalan masuk menuju ke sana dikawal tonto upahan bermula dari jalan utama bandar itu hingga ke kaki bukit.

Tidak cukup dengan itu, selain tonto upahan yang membocorkan maklumat, dalangnya turut mengadakan beberapa sekatan di sepanjang laluan masuk menuju ke lokasi pembalakan termasuk menggunakan longgokan batu bata, kayu berpaku dan kayu balak.

Difahamkan, setiap kerja mengangkut kayu balak yang dicuri itu mampu mengaut keuntungan kira-kira RM5,000 bagi setiap perjalanan.

Jika disabitkan kesalahan, pengusaha sindiket terbabit boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM500,000 dan penjara antara satu hingga 20 tahun mengikut Seksyen 40, Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memindahkan hasil hutan tanpa kebenaran.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan