Jumaat, 18 Mac 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Graduan tunggu kerjaya idaman

Posted: 18 Mar 2011 05:06 PM PDT

Nasional

Sikap memilih, tuntut gaji, lokasi punca lepasan IPT sukar dapat pekerjaan

KUALA LUMPUR: Sikap terlalu memilih pekerjaan, selain menjadikan alasan remeh seperti jarak pejabat jauh dan gaji tidak setimpal menjadi punca ramai graduan institusi pengajian tinggi (IPT) sukar mendapatkan pekerjaan.

Malah, ada golongan pencari kerja mendakwa, segelintir majikan mengamalkan sikap pilih kasih lalu menolak calon yang tidak memenuhi kriteria atau kemahuan mereka sebagai alasan tidak ditawarkan pekerjaan.

Sehubungan itu, graduan terbabit sanggup melakukan kerja sampingan, termasuk menjadi pengasuh biarpun tidak menyamai kelayakan akademik dengan kadar upah rendah, selagi jawatan dihajati tidak diperoleh. Seorang pencari kerja, Noor Aishah Hamzah, 26, berkata beliau tidak pernah terlintas menjadi pengasuh kanak-kanak namun terpaksa akur kerana tidak ada pilihan.

"Selepas tamat pengajian, saya berusaha mencari kerja. Namun, selesai temu duga, jawapan saya terima mengecewakan. Permohonan saya sering ditolak dan ada kalanya diminta menunggu jawapan, tetapi hampa.

"Hampir dua tahun saya menganggur. Disebabkan tiada pilihan lain, selain tidak mahu menyusahkan keluarga, saya mengambil keputusan mengasuh kanak-kanak di rumah. Saya sedih, walaupun mempunyai segulung ijazah, saya masih tidak mampu mendapatkan pekerjaan," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Bagi Mohd Amirul Faiz Ahmad, 25, berkata, beliau pernah ditawarkan pekerjaan, tetapi ditolak kerana gaji tidak setimpal, selain faktor lokasi tempat kerja yang jauh.
"Saya menganggur lebih lima bulan sebelum mendapat pekerjaan di ibu negara. Walaupun jauh berbeza daripada bidang pengajian saya di IPT, namun saya terima kerana terdesak," katanya.

Seorang lagi anak muda, Shamsul Akhbar Shamsul Hisyam, 27, mengakui terpaksa bekerja dalam bidang berbeza kerana sukar mendapatkan pekerjaan.

"Masalah menjadi rumit kerana terlalu sedikit peluang pekerjaan dalam bidang pengajian saya. Ditambah pula dengan faktor kekosongan jawatan yang tipis, selain kumpulan pencari kerja yang ramai.

"Dulu, ketika mula ditawarkan tempat di IPT, saya hanya mahu mengejar peluang mendapatkan segulung ijazah tanpa memikirkan apakah saya akan memperoleh pekerjaan apabila tamat pengajian," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung, Rahmat Ismail, berkata kesukaran graduan mendapatkan kerja bukan disebabkan kurangnya tawarkan pekerjaan, sebaliknya senario kini sudah berubah.

"Banyak majikan beralih kepada sistem pekerjaan kontrak atau berdasarkan komisen. Namun, pekerjaan sebenarnya banyak dan boleh menampung graduan, tetapi senario pekerjaan sekarang tidak sama.

"Masalahnya, graduan kita, terutama Bumiputera masih lagi mengharapkan pekerjaan dengan gaji lumayan dan kerjaya tetap," katanya ketika diminta mengulas isu graduan terlalu memilih pekerjaan.

Rahmat berkata, jabatan menyelenggara portal JobsMalaysia dan mendapati kebanyakan majikan menawarkan pekerjaan secara kontrak atau gaji dibayar berdasarkan komisen.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiga lagi kena jangkitan ‘Adenovirus’ masuk ICU

Posted: 18 Mar 2011 05:05 PM PDT

Nasional

Pesakit pelatih inspektor PULAPOL KL termasuk 2 wanita

PUTRAJAYA: Tiga lagi pelatih inspektor Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL KL) dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, pagi semalam selepas dijangkiti 'Adenovirus'.

Tiga pelatih terbabit termasuk dua wanita sebelum ini dirawat di wad biasa HKL. Ini menjadikan empat pelatih termasuk seorang konstabel ditempatkan di ICU hospital itu akibat jangkitan virus berkenaan, sehingga malam tadi.

Komandan PULAPOL, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Mohamed, berkata empat pelatih yang dimasukkan ke ICU adalah antara kumpulan 23 pelatih yang sedang menerima rawatan di wad biasa HKL sejak dua minggu lalu. "Sehingga jam 8 malam tadi, seramai 389 pelatih konstabel dan pelatih inspektor masih menjalani pengasingan di bilik gerakan PULAPOL hingga kesihatan mereka pulih," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Semalam, pelatih inspektor, Mohd Ridzuan Ishak, 26, meninggal dunia pagi kelmarin selepas dirawat di ICU selama seminggu.

Kematian pertama membabitkan seorang pelatih konstabel, Mohd Azizan Azirid, 21, dari Kuala Kangsar, Perak yang meninggal dunia pada Selasa minggu lalu selepas dirawat selama lima hari di unit rawatan sama.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Robiah Abdul Ghani, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi perhatian serius terhadap jangkitan 'Adenovirus' dan sering mendapatkan nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Langkah-langkah pembersihan diteruskan bagi memastikan jangkitan virus terkawal dan pelatih yang sudah sihat dibenarkan menjalani aktiviti riadah ringan.

"Pelatih wanita pula akan ditempatkan ke asrama baru sebaik proses pembersihan selesai dijalankan," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa kedua yang meninggal dunia akibat dijangkiti 'Adenovirus', Allahyarham Mohd Azizan melakukan ujian kesihatan di HKL bagi mencegah virus itu daripada merebak.

Bapa mangsa, Ishak Taharin, 48, berkata beliau sekeluarga menjalani pemeriksaan, kelmarin ketika menunggu proses bedah siasat yang dijalankan terhadap anaknya.

"Hospital memaklumkan keadaan kami sekeluarga baik dan bebas daripada 'Adenovirus. Pihak hospital turut membekalkan beberapa jenis ubat antibiotik sebagai langkah pencegahan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, ahli keluarga yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan pelatih PULAPOL atau perkara lain boleh menghubungi bilik gerakan PULAPOL di talian 03-26882009 dan 03-26882062.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan