Rabu, 2 Februari 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Petani rugi RM200,000 rumah terbakar

Posted:

Petani rugi RM200,000 rumah terbakar

Petani rugi RM200,000 rumah terbakar

Oleh MALIK ASLE
utusanperak@utusan.com.my

PARIT BUNTAR 1 Feb. - Seorang petani warga emas kerugian RM200,000 apabila rumah dua tingkat miliknya musnah dalam kebakaran di Parit Haji Yusof, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, Aini Awang, 75, dan keluarganya turut kehilangan sejumlah barang kemas dan wang tunai RM2,000 yang terbakar.

Menurut anak mangsa, Fairuz Aini, 28, ketika insiden itu, mereka sekeluarga berada di dalam rumah.

Katanya, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas di tingkat atas rumah dua tingkat itu.

"Api merebak dengan pantas dan kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa. Semasa kejadian, ayah, emak dan adik saya berada di tingkat bawah.

"Ayah kemudian ke surau berdekatan untuk meminta bantuan jemaah surau," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Menurut Fairuz, meskipun rumah mereka terbakar, namun dia bersyukur kerana keluarganya terselamat dalam kejadian itu.

Katanya, sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Kuala Kurau dan Parit Buntar serta Pasukan Bomba Sukarela datang untuk mengawal dan memadam kebakaran kira-kira 15 minit kemudian.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kerian, Ismail Hassan meluangkan masa melawat seterusnya menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada mangsa.

"Sumbangan itu sebagai simpati kepada mangsa kebakaran dari kerajaan negeri bagi meringankan bebanan yang ditanggung keluarga berkenaan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Berhati-hati di 26 laluan maut di seluruh Perak

Posted:

Berhati-hati di 26 laluan maut di seluruh Perak

Berhati-hati di 26 laluan maut di seluruh Perak


Ramly Zahari (kiri) menyampaikan cenderamata kepada pengguna lebuh raya ketika kempen bersepadu keselamatan jalan raya musim perayaan di Plaza Tol Ipoh Selatan, semalam.


IPOH 1 Feb. - Sebanyak 26 laluan yang berisiko tinggi berlaku kemalangan maut telah dikenal pasti di Lebuh Raya Utara-Selatan, Jalan Persekutuan dan jalan negeri di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari berkata, daripada jumlah itu, 16 adalah kawasan yang kerap berlaku kemalangan maut antaranya Jalan Ipoh-Kampar.

Beliau berkata, pengguna jalan raya yang melalui laluan itu untuk pulang ke kampung diminta berhati-hati sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina ini.

Katanya, pemanduan secara berhemah dapat mengurangkan kemalangan maut dan kecederaan pada musim perayaan ini.

"Punca kemalangan dan kematian kebanyakannya adalah kerana memandu melebihi had laju, memotong garisan berkembar dan barisan.

"Selain itu, pengguna tidak patuhi lampu isyarat, guna lorong kecemasan, memandu secara berbahaya, muatan lebih had dan tidak memakai tali pinggang keledar serta tidak memakai topi keledar semasa menunggang atau membonceng motosikal," katanya selepas melancarkan Kempen Bersepadu Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Tahun Baru Cina di Plaza Tol Ipoh Selatan, di sini hari ini.

Ops Bersepadu ke-23 diadakan dari 21 Januari sehingga 20 Februari ini, manakala Ops Sikap diadakan pada 27 Januari hingga 10 Februari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Ramly berkata, sebanyak 27 kes kematian akibat kemalangan dilaporkan dalam tempoh Ops Sikap Tahun Baru Cina tahun lalu berbanding 36 kes kematian pada 2009.

Menurutnya, ini menunjukkan penurunan sembilan kes kematian dalam tempoh tersebut.

Katanya, sebanyak 53 kes mengalami cedera parah tahun lalu berbanding 48 kes pada 2009 iaitu meningkat lima kes.

Ramly berkata, sebanyak 52 kes mengalami cedera ringan pada tahun lalu berbanding 85 kes pada 2009 iaitu berkurangan 33 kes.

"Jumlah kemalangan jalan raya di negeri ini mencatatkan penurunan sebanyak 5.7 peratus tahun lalu dengan 1,530 kes kemalangan berbanding 1,623 kes kemalangan pada 2009 iaitu berkurangan 93 kes," katanya.

Beliau berkata, pasukan bantuan kecemasan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Polis Diraja Malaysia membuat rondaan sepanjang tempoh perayaan Tahun Baru Cina ini untuk membantu jika terdapat kemalangan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tujuh laluan maut di Pulau Pinang

Posted:

Tujuh laluan maut di Pulau Pinang

Tujuh laluan maut di Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM 1 Feb. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengenal pasti tujuh laluan maut yang diberi perhatian sepanjang operasi Tahun Baru Cina tahun ini.

Pengarah JPJ Negeri, Datuk Hassan Yaacob berkata, rondaan 24 jam dijalankan bermula 21 Januari lalu sehingga 20 Februari ini di laluan-laluan tersebut.

Menurutnya, antara laluan itu adalah Jalan Chain Ferry-Jalan Permatang Batu-Jalan Machang Bubok-Kulim; Jalan Bukit Minyak-Jalan Valdor-Jalan Sg. Bakap; Jalan Bagan Luar-Bumbung Lima dan Jalan Paku Lima-Kampung Selamat, Padang Serai.

Selain itu, di bahagian Pulau, laluan maut yang dikenal pasti adalah Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu; Jalan Paya Terubong-Balik Pulau dan Jalan Bayan Lepas-Teluk Kumbar.

"Beberapa strategi lain juga dijalankan sempena perayaan itu seperti pemeriksaan tayar dan brek bas ekspres dan bas tambahan di JPJ Pulau Pinang di sini dan sehingga 30 Januari lalu, sebanyak 89 buah bas diperiksa.

"Kita juga menjalankan penguatkuasaan di Terminal Sementara Penang Sentral di Butterworth dengan memeriksa 715 bas setakat ini serta 583 bas diperiksa di Terminal Bas Ekspres Sungai Nibong," katanya pada sidang media Program Sepetang Bersama Media di JPJ Seberang Jaya di sini hari ini.

Tambahnya, JPJ turut menjalankan penguatkuasaan secara samaran bagi sembilan kesalahan lalu lintas seperti memandu melebihi had laju, gagal mematuhi peraturan lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan dan sebagainya.

Jelasnya, sehingga semalam, sebanyak 262 saman telah dikeluarkan ekoran kesalahan-kesalahan terbabit.

"JPJ negeri juga menyediakan dua pasukan penguatkuasaan secara penyamaran sebagai penumpang bas ekspres dan sehingga 31 Januari, 20 saman dikeluarkan atas kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan tidak mengikut jadual tambang.

"Kita juga mengesan pemandu bas yang mengambil dan menurunkan penumpang di tempat yang tidak dibenarkan serta gagal mengemukakan jadual perjalanan," ujarnya.

Pada masa sama JPJ juga telah mengeluarkan lapan saman atas pelbagai kesalahan ke atas bas persiaran seperti tiada pemandu pelancong, gagal mempamerkan senarai penumpang serta tiada jadual perjalanan.

Secara keseluruhannya, Hassan berkata, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 1,203 saman atas pelbagai kesalahan kepada pemandu yang melanggar peraturan sejak operasi terbabit dijalankan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan