Rabu, 2 Februari 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Najib lawat Merlimau dua minggu sebelum pilihan raya kecil

Posted: 02 Feb 2011 01:09 AM PST

MELAKA, 2 Feb — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan lawatan sehari ke Merlimau pada 19 Februari ini untuk meninjau kemajuan pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu. 

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata antara aturcara sempena lawatan Perdana Menteri ialah merasmikan pecah tanah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin, yang dibangunkan dengan anggaran kos RM300 juta di atas tanah milik Yayasan Melaka.

Beliau juga dijadual melakukan pecah tanah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Merlimau, melakukan tinjauan mesra di Pekan Merlimau dan pada sebelah malamnya menghadiri jamuan rakyat serta jamuan Tahun Baru Cina di pekan itu.

 Sempena lawatan itu, Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), akan mendengar taklimat persediaan pilihan raya kecil DUN Merlimau, kata Mohd Ali kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan, di Seri Bendahara di sini hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan daripada BN pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu pada 26 Februari manakala hari pengundian pada 6 Mac jika ada pertandingan. 

Mohd Ali berkata lebih banyak kawasan industri baru akan dibangunkan di DUN Merlimau, antaranya di Lipat Kajang bagi pembangunan lebih pesat.

Mengulas mengenai pilihan raya di DUN berkenaan, beliau berkata Merlimau merupakan kubu kuat BN sejak dahulu dan menyaksikan banyak pembangunan. 

"Saya juga percaya sentimen pengundi di DUN itu kuat dan berada dalam mood yang baik untuk terus menyokong BN kerana banyak jasa ditinggalkan oleh Allahyarham Mohamad Hidhir untuk pembangunan Merlimau," katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

DUN itu mempunyai 10,679 pengundi pendaftar. — Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ulama Umno: Raja Melayu, Majlis Fatwa perlu kaji ‘fatwa’ Nik Aziz

Posted: 02 Feb 2011 12:53 AM PST

KOTA BARU, 2 Feb — Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran Umno Kelantan menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja Melayu supaya mengkaji kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang didakwa merosakkan akidah serta memecah-belahkan perpaduan umat Islam.

Pengerusinya Prof Mohd Noor Deris berkata kenyataan Nik Abdul Aziz seperti mengundi PAS masuk syurga dan tidak mengundi PAS disifatkan golongan jahiliyah dilihat bercanggah dengan syarak kerana boleh menjejaskan kestabilan politik dan keselamatan negara.

Sehubungan itu beliau mencabar Nik Aziz untuk berdebat secara terbuka mengenai perkara itu.

"Kalau dibiarkan perkara ini ramai orang mati kerana murtad, atau keluar dari Islam," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dikatakan mengeluarkan perkataan jahiliah itu pada sidang media di Kampung Redong baru-baru ini, semasa berkempen dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di Johor.

Prof Mohd Noor berkata telah banyak perkara Nik Aziz melakukan fitnah antaranya Malaysia bukan negara Islam, Umno tidak mahu Islam dan imam Umno tidak sah diikuti dan menurutnya Nik Abdul Aziz perlu meminta maaf terhadap kenyataannya itu.

Beliau berkata asas politik Islam ialah membentuk masyarakat menjadi satu ummah sedangkan PAS tidak ke arah penyatuan ummah.

"PAS hari ini memporak-perandakan ummah kepada beberapa jemaah atau parti dan akhir-akhir ini semakin sesat daripada politik Islam," dakwanya.

Malahan beliau berkata Nik Aziz tidak menepati ciri-ciri seorang ulama mengikut al-Quran berikutan tindakannya yang memecah-belahkan umat Islam dan perkara itu dilarang oleh Allah.

Katanya pada masa sama Nik Aziz sanggup bermusuh sesama Islam dan berkawan dengan musuh Islam iaitu parti DAP, yang menentang hudud.

Berdasarkan penelitian itu, katanya Nik Aziz dilihat tidak memperjuangkan Islam tetapi lebih bersifat politik "Assobiyah" iaitu sanggup menyelewengkan agama untuk melindungi individu tertentu di dalam parti dan menggunakan agama untuk kepentingan parti bagi meraih kepercayaan.

Katanya biro akan membuat laporan polis terhadap Nik Aziz dalam tempoh terdekat dan sedang merangka satu memorandum untuk diserahkan kepada Majlis Raja-Raja. — Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan