Rabu, 23 Februari 2011

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Roslan Ahmad calon BN di Merlimau

Posted:

Roslan Ahmad calon BN di Merlimau

Roslan Ahmad calon BN di Merlimau

Oleh AMRAN MULUP
pengarang@utusan.com.my


Muhyiddin Yassin bersama pemimpin parti komponen BN mengangkat tangan calon Roslan Ahmad (tiga dari kiri) pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau di Jasin, Melaka, semalam.


JASIN 23 Feb. – Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin, Roslan Ahmad hari ini diumumkan sebagai calon untuk menggalas cabaran Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, 6 Mac ini.

Pemilihan Roslan, 44, diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bilik Gerakan BN Common Center di pekan Merlimau di sini.

Roslan merupakan anak kepada bekas Ahli Parlimen Jasin, Allahyarham Datuk Ahmad Ithnin dan anak saudara kepada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin.

Pengumuman beliau disambut dengan sorakan oleh kira-kira 2,000 penyokong parti komponen BN dan masyarakat Merlimau yang hadir.

Turut hadir pada majlis pengumuman tersebut ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Presiden MIC, Datuk G. Palanivel dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas.

Pada sidang akhbar selepas pengumuman itu, Muhyiddin melahirkan keyakinan terhadap pemilihan Roslan sebagai calon BN dan menyifatkan keputusan itu sebagai tepat kerana Roslan adalah calon yang bersih dan dapat diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat di Merlimau.

"Proses saringan calon dibuat banyak kali oleh saya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kami dapati Roslan adalah calon yang paling sesuai.

"Beliau (Roslan) ada rekod, ada pengalaman, biasa jadi pemimpin di sini dan begitu dikenali. Kami harap pengundi di Merlimau berpuas hati dengan calon yang dipilih.

"Saya amat berharap pengundi di Merlimau dapat memberi sokongan yang kuat kepada Roslan untuk menjadi wakil rakyat dan memastikan BN memenangi kerusi ini," katanya.

Muhyiddin juga percaya penampilan Roslan dengan dibantu oleh jentera BN negeri yang diterajui oleh Mohd. Ali bukan sahaja membolehkan BN menang tetapi lebih penting meraih majoriti undi yang lebih besar.

Beliau turut menolak andaian bahawa pemilihan Roslan adalah berdasarkan legasi kepimpinan bapa serta bapa saudaranya.

"Perkara paling penting yang kita lihat ialah keperibadian dan kebolehan Roslan sendiri. Beliau adalah calon paling berpotensi untuk menang," katanya lagi.

Beliau menegaskan, BN mampu mempertahankan kerusi DUN Merlimau bersandarkan kemenangan yang dicapai pada Pilihan Raya Kecil DUN Galas, Parlimen Batu Sapi, Parlimen Hulu Selangor dan terbaru di DUN Tenang.

Katanya, kemenangan itu dibantu oleh kesedaran orang Melayu, Cina dan India yang dapat menerima dengan positif dasar-dasar yang dibawa oleh kerajaan.

"Ia membawa impak positif apatah lagi situasi ekonomi yang bertambah rancak memperlihatkan sokongan masyarakat pelbagai kaum terhadap kepimpinan BN menerajui negara," ujarnya.

Sehubungan itu, Muhyiddin tidak menolak Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau akan turut memihak kepada BN selain bakal mencatat majoriti undi yang lebih besar.

Beliau seterusnya mengingatkan semua pemimpin dan ahli BN supaya jangan terlalu yakin akan menang serta memandang remah calon pembangkang walaupun DUN Merlimau dilihat cukup selesa buat BN.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tekad teruskan legasi Allahyarham Ahmad Ithnin

Posted:

Tekad teruskan legasi Allahyarham Ahmad Ithnin

Tekad teruskan legasi Allahyarham Ahmad Ithnin

JASIN 23 Feb. - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Roslan Ahmad berjanji meneruskan perjuangan arwah bapa dan bapa saudaranya serta menyambung legasi mereka yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan itu.

Bapa Roslan, Allahyarham Datuk Ahmad Ithnin cukup dikenali oleh masyarakat di Merlimau sebagai bekas Ahli Parlimen Jasin dari 1969 hingga 1978 dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai dari 1982 hingga 1986.

Bapa saudaranya pula iaitu Datuk Seri Abu Zahar Ithnin merupakan Ketua Menteri Melaka yang kelapan dari 1997 hingga 1999.

Menurut Roslan, 44, kedua-dua tokoh tersebut merupakan ikonnya dan beliau mahu mencontohi kepimpinan mereka yang memberi perkhidmatan terbaik bukan sahaja di Merlimau tetapi juga di negeri ini.

"Legasi mereka akan saya teruskan untuk berbakti kepada penduduk di Merlimau. Saya akan cuba melaksanakan tanggungjawab dan tugas sebagai wakil rakyat seperti yang pernah dilakukan oleh Allahyarham bapa sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan namanya sebagai calon Pilihan Taya Kecil DUN Merlimau di Bilik Gerakan BN Common Center di Pekan Merlimau di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin tidak menyangka akan dipilih oleh pucuk pimpinan parti sebagai calon BN daripadan tujuh nama yang dicadangkan.

Pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan Institut Teknologi Tun Abdul Razak (ITTAR) dari 1994-1996 itu bersyukur apabila diberi peluang untuk bertanding.

"Kepercayaan yang diberikan akan saya laksanakan dengan sempurna," kata Pengurus Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Sosioekonomi Perbadanan Melaka Holdings Sdn. Bhd. itu.

Anak jati Merlimau itu beristerikan Zalifah Omar, 37, dan mempunyai empat anak iaitu Izat Darwis, 11, Muhamad Naufah, 10, Wirdatul Khalijah, 10, dan Ahmad Amsyar, 4.

Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jasin merangkap Pengerusi Biro Belia dan Sukan UMNO dari 2008 hingga sekarang serta bekas AJK Pemuda UMNO bahagian dari 2001-2004 dan Ketua Penerangan UMNO Cawangan Merlimau dari 2008 hingga sekarang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan