Sabtu, 26 Februari 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Iktiraf kepimpinan sekolah

Posted:

Iktiraf kepimpinan sekolah

Iktiraf kepimpinan sekolah

TAHUN lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan untuk memacu negara ke arah mencapai Wawasan 2020 sejajar dengan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Komitmen utama kerajaan adalah untuk memastikan setiap warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan juga latar belakang dapat menikmati pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan.

Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan menyusun pelan transformasi menyeluruh dalam sistem pendidikan negara, bermula dari peringkat pra-sekolah sehingga ke tahap pengajian tinggi. Matlamatnya untuk menjadikan pendidikan berkualiti sebagai landasan melahirkan modal insan yang kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi yang merupakan faktor kritikal dalam menentukan kemajuan negara di masa hadapan. Pelan ini juga menggalakkan sektor swasta untuk memantapkan kebolehpasaran pelajar-pelajar dalam menjana ekonomi bertaraf dunia.

Setiap sekolah mempunyai cerita pengorbanan dan kejayaan masing-masing. Di sebalik kejayaan setiap pelajar, terdapat sentuhan keramat wira dan srikandi yang tidak didendangkan (our unsung heroes). Sekiranya kisah pengorbanan dan kejayaan itu dihimpunkan dan mereka diberi pengiktirafan serta penghargaan yang sewajarnya, TIMBALAN PERDANA MENTERI, TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN percaya seluruh warga guru akan mendapat suntikan semangat untuk melakukan yang terbaik demi memastikan kejayaan setiap murid.

Tawaran baru bukanlah di luar jangkauan. Tahun lalu beliau mengumumkan Tawaran Baru (Bai'ah) untuk pengetua dan guru besar sebagai salah satu inisiatif di bawah NKRA Pendidikan. Sekolah-sekolah yang memenuhi kriteria dan mencapai sasaran yang ditetapkan akan diberi ganjaran menerusi pengetua, guru besar dan guru-guru yang terlibat.

Ganjaran kewangan berasaskan prestasi itu adalah perkara baru yang tidak pernah dilaksanakan dalam perkhidmatan awam di negara ini. Beliau percaya, Tawaran Baru adalah idea berani yang sekiranya dilaksanakan secara telus dan adil akan menjadi dorongan paling berharga buat guru-guru untuk meningkatkan prestasi kerja masing-masing.

Dalam instrumen Sistem Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM), perkara yang dinilai antaranya adalah keberhasilan pelajar dalam bidang akademik, kokurikulum termasuk disiplin pelajar secara keseluruhan. Selain itu, kepimpinan guru besar dan pengetua dalam pengurusan sekolah termasuk penyediaan pelan strategik sekolah, pemantauan sekolah dan pencapaian matlamat yang ditetapkan juga dinilai dalam SKPM. Kepimpinan guru besar dan pengetua yang berkesan akan menggerak kepada kecemerlangan sekolah secara menyeluruh.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Turki kuasa baru di Asia Barat

Posted:

Turki kuasa baru di Asia Barat

Turki kuasa baru di Asia Barat

Di awal pertabalan Presiden Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), beliau menegaskan prinsip baru berhubung dasar luar negaranya. Jika Presiden George Bush sebelumnya telah menggadaikan prinsip demokrasi dan kebebasan dan menggantikannya dengan prinsip keselamatan dalam negara, Obama pula mengambil pendekatan yang agak berbeza. Penegasan beliau tentang berakhirnya hegemoni sebuah kuasa di dunia dan diganti dengan kepelbagaian sistem antarabangsa (multilateral international system) telah memberikan bayangan terhadap sikap AS dalam isu-isu antarabangsa di zaman pentadbirannya.

Kini, sewaktu berlangsungnya revolusi (dan ada yang menamakan sebagai kebangkitan) di negara-negara Arab, dasar luar Obama terserlah. Dasar luar presiden dari Parti Demokrat ini hampir menyerupai pendekatan Jimmy Carter yang telah membawa kepada kebangkitan Islam di seluruh dunia Islam di tahun 70'an. Kemuncaknya Revolusi Islam Iran pada tahun 1979. Persamaan dasar luar kedua-dua Presiden AS dari Parti Demokrat ini telah membawa kepada lanskap baru politik di Asia Barat, malah kepada dunia. Menariknya, kedua-dua presiden tersebut konsisten dengan pendirian dan juga ideologi mereka, berbanding pentadbiran presiden-presiden dari parti Republikan. Jikalaulah Bush atau mana-mana Presiden AS dari parti Republikan berkuasa pada hari ini, belum tentu Hosni Mubarak dan Ben Ali akan berada di mana beliau berada hari ini. Dasar Obama sekaligus memudahkan lagi teori domino berkaitan kebangkitan umat Arab dan kejatuhan rejim-rejim diktator di Asia Barat dan Afrika Utara untuk berlaku. Keadaan di Libya yang terang-terangan mencabuli hak asasi manusia dan nilai kemanusiaan pun tidak dapat mengundang AS untuk campur tangan seperti mana Presiden Bush bertindak ke atas Saddam Hussein di Iraq dan Taliban di Afghanistan.

Dasar luar Obama yang agak pasif berbanding pentadbiran Bush mengundang kemunculan kuasa diplomatik dan kuasa geo-politik baru di rantau berkenaan untuk muncul, iaitu Turki. Sebagai negara di tangga ke-16 dalam pencapaian ekonomi di peringkat dunia, dan juga negara ke enam kuasa ekonomi di peringkat Eropah, Turki mempunyai banyak lagi kelebihan lain untuk menjadi pengganti AS sebagai broker perdamaian dan juga kuasa pengimbang di rantau Asia Barat dan Utara Afrika. Kelebihan Turki sebagai anggota NATO, anggota aktif OIC, ahli G20, dan juga anggota negara-negara D8 menjadikan negara tersebut lebih daripada layak untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh AS. Para penganalisis politik antarabangsa kebanyakannya melihat dasar luar Turki pada hari inilah yang menjadi antara faktor lain kepada kemunculan Turki sebagai kuasa baru. Lebih unik hubungan Turki-Amerika di dalam isu-isu di Asia Barat dan Afrika Utara boleh diungkapkan sebagai hubungan frenemy (friend-enemy) seperti yang diungkapkan di dalam buku Charles Kuplan, How Enemies Become Friends. Sungguhpun Obama menyifatkan keunikan hubungan AS-Turki dalam fasa baru ini sebagai model partnership, hakikatnya peranan yang dimainkan Turki telah menjadikan mereka rakan yang lebih dipercayai oleh negara-negara jirannya berbanding AS yang lebih dilihat sebagai 'Big Brother'.

Kemampuan Turki untuk menjadi sebuah kuasa geo-politik di rantau tersebut boleh dilihat kepada kejayaannya di dalam bidang ekonomi serantau. Penstrukturan semula sistem politik dan ekonomi Turki semenjak parti AK berkuasa menurut formula Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) telah berjaya meningkatkan Keluaran Negara Kasar (KNK) mereka (dari -9.5 peratus pada 2001, kepada 9.9 peratus pada 2004, dan konsisten pada tahap 7.8 peratus untuk 2010) dan berjaya mengundang FDI. Turki juga dikategorikan Bank Dunia sebagai negara maju, dan majalah The Economist menyebut sebagai 'kuasa ekonomi yang sedang muncul'. Komitmen Turki terhadap ekonomi pasaran juga dapat dilihat daripada dasar luar yang berjaya meningkatkan hubungan dagang dengan negara-negara jiran. Begitu juga keterlibatan aktif mereka di dalam FTA yang melibatkan EU-Mediteranean, peranan utama dalam D8 dan juga aktiviti dagang serta pelaburan mereka dengan negara-negara di Asia Barat dan Afrika Utara.

Pada waktu yang sama, melalui dasar luar Turki yang baru, negara tersebut diterima oleh pihak-pihak bertelagah di rantau Asia Barat dan Mediteranean sebagai orang tengah (mediator). Mereka juga berjaya menguruskan isu dalaman yang sensitif dengan melibatkan pihak ketiga secara damai, seperti isu Armenia, Cyprus dan juga isu puak pemisah Kurdi. Turki di fasa baru juga berjaya mengikat jiran-jirannya dengan peningkatan hubungan dagang, seperti membuka sempadannya untuk Syria dan negara-negara strategik yang lain demi mengurangkan konflik yang telah lama membelenggu. Turki juga bersikap pro-aktif dengan mengadakan pertukaran dagang nuklear (uranium)-petrol dengan Iran (melalui Tehran Research Reactor) bersama dengan Brazil di waktu negara-negara lain di rantau tersebut melihat Iran sebagai ancaman utama. Turki juga berani untuk mengiktiraf aktor bukan negara dalam suasana konflik seperti Hamas dan Hezbollah, tetapi pada waktu yang sama tetap menjaga hubungan diplomasi dan dagang dengan rejim Zionis Israel. Sungguhpun demikian, Turki tetap konsisten dengan isu-isu berhubung hak asasi dan demokrasi. Ini dapat dilihat jelas dalam isu Gaza 2008, isu flotilla, dan juga yang terkini isu berhubung dengan kebangkitan rakyat Arab menentang rejim diktator. Turki menyatakan sokongan kepada rakyat yang bangkit dan mengecam pihak diktator yang menindas rakyat mereka, lebih cepat sebelum AS mengeluarkan kenyataan rasmi. Walaupun Turki mempunyai kepentingan dagang, contohnya seperti di Libya (dengan pelaburan Turki di sana yang mencapai USD 15 bilion), namun mereka tetap konsisten mengecam rejim Muammar Gadaffi yang membunuh rakyat Libya yang tidak berdosa.

Dr. Maszlee Malik ialah pensyarah jurusan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan