Selasa, 1 Februari 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Kesiapsiagaan menghadapi tsunami

Posted:

Kesiapsiagaan menghadapi tsunami

Kesiapsiagaan menghadapi tsunami

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my


Sebahagian daripada orang ramai lari ke tempat yang lebih selamat ketika menyertai Latihan Amal Tsunami di Pantai Cenang, Langkawi baru-baru ini. - utusan/Halim Khalid


LANGKAWI 31 Jan. - Kejadian tsunami yang melanda negara 26 Disember 2004 banyak memberi kesedaran bahawa Malaysia juga tidak bebas daripada bencana berkenaan.

Masyarakat kini tidak lagi boleh mengetepikan fakta bahawa Malaysia turut terdedah terhadap ancaman tsunami, terutama bagi negeri-negeri di utara Semenanjung dan Sabah.

Zon subduksi yang berada di kawasan Laut Andaman, Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi mampu menjana gempa bumi yang kuat dan menghasilkan tsunami.

Jika gempa bumi kuat berlaku lagi di dasar laut di kawasan zon subduksi berkenaan, pantai negara berpotensi dilanda bencana alam tersebut sekali lagi.

Dengan kewujudan ancaman seperti itu, kesiapsiagaan dalam menghadapinya perlu dilakukan sebaik mungkin dengan mengambil langkah-langkah awal bagi mengurangkan impak bencana tsunami dalam kehidupan masyarakat.

Berikutan itu, Jabatan Meteorologi Malaysia telah membangunkan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) pada 2005 yang berupaya mengeluarkan amaran awal secara efektif kepada penduduk, khususnya di kawasan pantai yang terancam kepada bahaya bencana alam berkenaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, sehingga kini SAATNM yang mengandungi pelbagai rangkaian pemantauan tsunami telah mempunyai rangkaian masing-masing, 17 stesen seismik dan sistem tolok pasang surut.

Katanya, ia juga memiliki tiga pelampung tsunami dan rangkaian 18 sistem kamera pantai yang beroperasi 24 jam bagi memantau gempa bumi dan tsunami.

Selain itu, menurut beliau, SAATNM mempunyai rangkaian sistem siren tsunami di 23 lokasi strategik seluruh negara yang berfungsi menyebarkan amaran bencana alam tersebut kepada penduduk di sekitarnya.

"Pada masa sama, turut berfungsi sebagai kaedah penyebaran amaran awal tsunami dalam bentuk pesanan suara disampaikan menerusi panggilan telefon kepada pelanggan-pelanggan talian tetap Telekom Malaysia yang berada dalam lingkungan tiga kilometer dari kawasan pantai," katanya pada program Latih Amal Tsunami di Pantai Cenang di sini baru-baru ini.

Maximus berkata, sehingga sekarang, Malaysia mempunyai sistem dan kelengkapan yang cukup baik untuk mengesan kejadian gempa bumi dan tsunami.

Kata beliau, penyebaran maklumat gempa bumi dan amaran awal tsunami pada masa ini dapat dilakukan dalam tempoh 12 minit selepas sesuatu kejadian gempa bumi dikesan.

"Sistem amaran awal kita adalah antara yang terkini di dunia dan setaraf dengan mana-mana negara yang telah digunakan.

"Malah, usaha-usaha untuk terus membangunkan sistem amaran awal tsunami negara kita sentiasa dijalankan bagi memastikan ia sentiasa terkini dan berfungsi dengan baik serta dalam keadaan bersiap siaga," ujarnya.

Bagaimanapun, kata Maximus, semua perkara tersebut tidak membawa sebarang makna jika masyarakat tidak mempunyai kefahaman dan kesedaran yang mencukupi mengenai bencana berkenaan.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan telah dan akan menjalankan pelbagai program kesedaran awam bagi meningkatkan tahap kesedaran orang awam terhadap risiko bencana tsunami, selain mengenal pasti kaedah-kaedah tindak balas yang perlu dilakukan bagi mengurangkan kesan risikonya.

Di samping itu, menurut beliau, beberapa latih amal tsunami telah dijalankan bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat dan agensi tindak balas, menilai keupayaan respons serta koordinasi antara agensi.

"Kita semua faham bahawa bencana tsunami bukanlah kejadian yang selalu berlaku. Oleh itu, program kesedaran dan latih amal adalah penting serta memberi impak yang signifikan. Ia perlu diadakan secara berkala dan berterusan," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tingkat tahap kesedaran awam

Posted:

Tingkat tahap kesedaran awam

Tingkat tahap kesedaran awam


Menyelamatkan diri... Sebahagian daripada penduduk Cenang menyertai Latihan Amal Tsunami di Pantai Cenang, Langkawi, baru-baru ini.


LANGKAWI 31 Jan. - Kira-kira 500 orang menyertai program latihan amal tsunami anjuran Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Pantai Cenang di sini baru-baru ini.

Latihan amal itu turut disertai oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili selain melibatkan murid sekolah, komuniti setempat, orang awam dan pelancong asing yang berada di pantai tersebut.

Program berkenaan dimulakan dengan hebahan awal maklumat gempa bumi yang diikuti dengan penyebaran mesej amaran tsunami menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikeluarkan oleh JMM kepada agensi-agensi pengurusan bencana.

Ia disusuli dengan pengaktifan siren tsunami yang terdapat di kawasan latih amal itu dan pada masa sama, anggota polis yang dibantu oleh agensi penyelamat lain menasihatkan serta mengarahkan orang awam yang berada di pantai berpindah ke tempat selamat.

Operasi pemindahan berkenaan mengambil masa kurang satu jam dan selepas itu mesej ancaman tsunami tamat dihebahkan melalui SMS dan siren.

Program berkenaan mendapat sokongan padu dari pelbagai agensi di daerah ini termasuk polis, Majlis Daerah Langkawi, Pasukan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Lembaga Pembangunan Langkawi, Jabatan Penerangan, Pejabat Pelajaran daerah dan Persatuan Bulan Sabit Merah.

Menurut JMM, program itu memberi peluang kepada agensi pengurusan bencana yang terlibat untuk menguji kelancaran sistem komunikasi dan koordinasi antara agensi berkenaan.

Katanya, ia juga merupakan satu aktiviti untuk meningkatkan tahap kesedaran awam di kalangan penduduk tempatan.

"Pada masa sama, latihan amal ini dapat menilai tahap kesiapsiagaan agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana menghadapi tsunami," jelas jabatan itu dalam kenyataan yang diedarkan kepada petugas media pada program tersebut.

Menurut JMM, pihaknya bersama MKN sebelum ini telah menjalankan beberapa latihan amal tsunami iaitu yang pertama diadakan di Tuaran, Sabah pada 2006.

Di Langkawi pula, katanya, program itu dilakukan di Kuala Teriang dan Kuala Melaka masing-masing pada 2007 dan 2009.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

JMM lebih kerap uji SAATNM

Posted:

JMM lebih kerap uji SAATNM

JMM lebih kerap uji SAATNM


Dr. MAXIMUS Johnity Ongkili (kiri) menyerahkan enjin bot alat kemudi inovatif kepada sebahagian daripada nelayan pada majlis Latihan Amal Tsunami di Pantai Cenang, Langkawi, baru-baru ini.


LANGKAWI 31 Jan. - Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) diminta supaya lebih kerap menguji Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) bagi memastikan penyelenggaraan sistem itu dilakukan dengan baik supaya ia dapat berfungsi dengan betul jika tsunami berlaku.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan siren amaran tsunami berbunyi walaupun ancaman itu tidak berlaku dan memastikan sistem tersebut berfungsi dengan betul pada setiap masa.

Katanya, kejadian seperti yang berlaku di Kuala Kedah, Alor Setar tahun lalu perlu dielakkan kerana ia menyusahkan penduduk di sekitarnya yang terpaksa meninggalkan rumah apabila siren amaran tsunami berbunyi yang kemudian didapati amaran palsu.

"Mujurlah tidak banyak kes seumpama itu berlaku. Tahun lalu, satu kes sahaja yang mana ia berbunyi secara tiba-tiba walaupun penyelenggaraan dijalankan dari semasa ke semasa.

"Saya telah meminta JMM supaya lebih kerap menguji sistem supaya penyelenggaraan itu dilakukan dengan baik," katanya pada program Latih Amal Tsunami di Pantai Cenang di sini baru-baru ini.

Pada Jun tahun lalu, siren amaran awal tsunami di Masjid Kuala Kedah tiba-tiba berbunyi menyebabkan penduduk di sekitar kawasan itu bertempiaran lari ke tempat selamat kerana menyangkakan bencana itu sedang melanda.

Bagaimanapun, ia didapati berbunyi bukan disebabkan berlakunya kejadian gempa bumi atau tsunami tetapi ekoran masalah teknikal sistem tersebut.

JMM dalam reaksinya mengenai perkara berkenaan dilaporkan mengesahkan bahawa tiada kejadian gempa bumi atau tsunami di Kuala Kedah atau kawasan berhampiran yang menyebabkan siren itu berbunyi serta memohon maaf atas kesulitan yang telah dialami penduduk di kawasan itu.

Maximus berkata, pihaknya akan berusaha memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

Tegasnya, kecanggihan kelengkapan dan sistem amaran awal tsunami yang dibangunkan kerajaan sejak 2005 dengan modal pelaburan kira-kira RM40 juta adalah setanding dengan sistem yang diguna pakai oleh mana-mana negara maju.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan