Utusan Online - Timur |
- Program Pemantauan Cakna Ponteng
- Perbadanan Muzium rangka pelbagai program
- Bazar terbiar selepas 7 bulan dirempuh kenderaan
| Program Pemantauan Cakna Ponteng Posted: Program Pemantauan Cakna PontengOleh HAPIZAH AZIZ
KOTA BHARU 1 Feb. – Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Bharu semalam melancarkan Program Pemantauan Cakna Ponteng bagi mengatasi masalah ponteng sekolah di kalangan pelajar di daerah ini. Pegawai PPD, Che Ab. Aziz Daud berkata, sempena pelancaran program tersebut pihaknya telah mengadakan lawatan ke 16 lokasi yang dikatakan menjadi tumpuan pelajar ponteng sekolah. Beliau berkata, lokasi terbabit termasuk sekitar bandar Kota Bharu, Kadok, Ketereh, Kok Lanas, Kubang Kerian, Pengkalan Chepa, taman permainan dan Taman Rekreasi Tengku Anis di sini. Katanya, program lawatan itu telah disertai oleh 15 agensi kerajaan lain termasuk polis, Pejabat Kebajikan Masyarakat, Rela, Pejabat Kesihatan, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Majlis Pengetua dan Guru Besar serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jheik). "Bagaimanapun, tiada pelajar yang ditahan kerana ponteng sekolah sepanjang program lawatan selama dua jam itu diadakan," katanya di sini kelmarin. Che Ab. Aziz berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat masalah ponteng sekolah di kalangan pelajar di daerah ini yang didakwa serius oleh sesetengah pihak. "Sebelum ini, terdapat cerita mengenai berlaku masalah ponteng di kalangan pelajar tetapi tidak pernah terbukti dengan tangkapan. Justeru, program ini sebagai usaha awal bagi mengenal pasti tempat tumpuan pelajar terlibat. "Kemungkinan program ini akan diadakan secara berkala supaya masalah ponteng sekolah ini sekiranya benar-benar berlaku dapat ditangani," katanya. Menurut Che Ab. Aziz lagi, selain Program Pemantauan Cakna Ponteng, sekolah turut mengadakan pelbagai program antaranya Minggu Disiplin, Jom ke Rumah Pelajar Ponteng dan Cakna Pelajar dalam usaha mengatasi masalah disiplin di kalangan pelajar. "Setiap program yang diadakan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa dan anggota masyarakat. Ini kerana, dengan jumlah pelajar yang ramai di sekolah, guru-guru pasti tidak mengawal semua pelajar," katanya. Katanya, ibu bapa dan orang ramai boleh menghubungi talian 09-7418161 atau 09-7418153 untuk memaklumkan lokasi yang menjadi tumpuan pelajar ponteng sekolah bagi mengatasi masalah tersebut secara kolektif. | ||
| Perbadanan Muzium rangka pelbagai program Posted: Perbadanan Muzium rangka pelbagai programKOTA BHARU 1 Feb. - Perbadanan Muzium Negeri akan meneruskan tradisi menyediakan pelbagai program istimewa sepanjang tahun bagi menarik masyarakat mengunjungi muzium sekali gus mendidik mereka mencintai sejarah dan kesenian negeri ini. Pengarahnya, Abd. Rahman Abdullah berkata, antara program besar yang akan berlangsung adalah Pameran Sultan Muhammad V sempena keputeraan Sultan Kelantan itu pada November depan. Katanya, pihak muzium juga akan mengadakan Seminar Senjata Tradisional Melayu dan program Kecek-Kecek Keris pada bulan ini yang turut melibatkan penyertaan peminat sejarah dari negara serantau. Beliau berkata, Muzium Negeri mencatat bilangan pengunjung melebihi 100,000 orang setahun dan tahun lalu angka tersebut mencecah 115,000 orang. "Kita mahu menarik lebih ramai lagi pengunjung datang ke muzium melihat khazanah yang dipamerkan dan penganjuran pelbagai program khas adalah salah satu cara untuk mencetus minat mereka. "Pameran ular yang kita adakan pada tahun lalu misalnya, menarik lebih 126,000 pengunjung dan kita berharap pameran-pameran tahun ini akan memperoleh kejayaan serupa," katanya kepada pemberita pada majlis Santai Bersama Media di sini hari ini. Dalam pertemuan itu, beliau mengumumkan perpindahan lokasi Pasar Serewe dari pekarangan Muzium Negeri ke hadapan Istana Jahar atau Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan. Pasar yang menjual barangan antik dan kesenian itu akan beroperasi setiap Sabtu dari pukul 9 pagi hingga 4 petang di tempat yang menjadi tumpuan pelancong tersebut. Abd. Rahman berkata, pihak perbadanan mengendalikan lima muzium dan satu memorial perang membabitkan perbelanjaan pengurusan bernilai RM1.6 juta setiap tahun. Muzium di bawah kendalian pihaknya termasuklah Muzium Negeri, Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan, Muzium Diraja, Muzium Kraftangan, Muzium Islam dan Memorial Perang Dunia Kedua. Menyentuh mengenai artifak yang dipamerkan beliau berkata, tiada peruntukan khas diperoleh sejak empat tahun lalu menyebabkan kekangan bagi pihak muzium menambah bahan pameran yang lebih menarik. | ||
| Bazar terbiar selepas 7 bulan dirempuh kenderaan Posted: Bazar terbiar selepas 7 bulan dirempuh kenderaan
SETIU 1 Feb. - Sudah lebih tujuh bulan, bazar yang roboh di pinggir jalan Kampung Bari Besar di sini setelah dirempuh sebuah kenderaan, kini menyajikan suasana yang menyakitkan pandangan mata. Ia belum dibersihkan dan penduduk bertanya-tanya mengapa pihak berkuasa tempatan membiarkan keadaan itu terlalu lama dan bila bazar baru dibangunkan sebagai ganti? Bazar berkenaan yang mengandungi tiga pintu kedai itu sebelum ini menempatkan kedai menjahit pakaian, baja pertanian dan kimpalan sepatutnya diberi perhatian oleh pihak berkenaan. Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bari Besar, Abdul Halim Mustaffa berkata, sebelum ini pihaknya telah melaporkan kerosakan bazar itu kepada pihak berkuasa. Menurutnya, ia juga bagi membolehkan pihak berkuasa menimbangkan langkah menyegerakan pembinaan sebuah bazar baru yang dapat menampung peniaga sedia ada mungkin lebih ramai peniaga. "Akibat masalah itu, dua daripada tiga peniaga di bazar itu terpaksa beroperasi di sekitar kawasan rumah mereka. ''Hanya peniaga baja terpaksa meneruskan perniagaannya di bazar ini walaupun keadaan bazar ini tidak sempurna," katanya ketika ditemui di Kampung Bari Besar di sini semalam. Bazar yang berusia lebih 10 tahun itu roboh selepas dilanggar oleh sebuah kereta yang dipercayai terbabas kira-kira pukul 6 pagi pada akhir Mei lalu. |
| You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan