Utusan Online - Muka Hadapan |
- Pelajar Malaysia dibawa pulang
- Sahut seruan 1 juta penunjuk perasaan
- Bapa rayu bawa pulang anak di Mesir
| Pelajar Malaysia dibawa pulang Posted: Pelajar Malaysia dibawa pulang
KUALA LUMPUR 1 Feb. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini berkata, kerajaan memutuskan untuk membawa keluar pelajar-pelajar Malaysia dari Mesir menerusi laut dan udara berikutan pergolakan di negara itu yang semakin meruncing. Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah mendapat laporan daripada delegasi Malaysia ke sana yang diketuai Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay dan turut disertai Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Sahlan Ismail. "Beberapa langkah segera akan diambil untuk membawa keluar pelajar-pelajar kita dari Mesir," katanya kepada Bernama di sini. Antara langkah berkenaan ialah meminta kapal Bunga Mas 5 iaitu sebuah kapal serbaguna yang dikawal oleh Tentera Laut Diraja Malaysia yang sedang bertugas di Teluk Aden, untuk belayar ke Pelabuhan Adabiyah yang terletak kira-kira dua jam setengah perjalanan dari selatan Kaherah, bagi membawa keluar pelajar-pelajar berkenaan. "Kapal itu dijangka tiba di Pelabuhan Adabiah pada 5 Februari. Ia dapat memuatkan kira-kira 500 pelajar kita," katanya. Najib juga berkata bahawa beliau sudah berunding dengan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman untuk meminta syarikat penerbangan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia untuk melakukan penerbangan khas ke Kaherah untuk membawa keluar pelajar-pelajar Malaysia. "Mereka (MAS dan AirAsia) akan memaklumkan kepada saya esok mengenai kemungkinan menggunakan pesawat mereka untuk tugas ini," katanya. Beliau berkata, kerajaan juga akan berusaha membawa pelajar-pelajar Malaysia ke Jeddah untuk ditempatkan sementara di pusat Tabung Haji di sana sehingga ada penerbangan pulang ke Malaysia. Bagaimanapun, menurutnya ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu termasuk urusan visa pelajar berkenaan. "Kerajaan sedang berurusan dengan kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan kebenaran khas membawa para pelajar kita ke Jeddah," kata Najib. Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memberi maklumat lanjut mengenai perkara itu kepada pelajar dan ibu bapa esok. Sementara itu, Kohilan yang berada di Kaherah ketika dihubungi Bernama hari ini berkata pesawat C-130 Charlie Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga akan digunakan bagi membawa keluar pelajar Malaysia di Mesir secara berperingkat ke negara jiran terdekat. Katanya Dewan Malaysia Abbasiyah, Rumah-Rumah Negeri di Kaherah, dan Rumah Mara di Iskandariah menjadi kawasan perlindungan selamat kepada pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir. "Bagi memastikan keselamatan di sana (rumah perlindungan) serta keperluan harian mencukupi, kerajaan akan meningkatkan kawalan keselamatan serta menyalurkan dengan segera bekalan makanan serta keperluan yang lain," katanya. Terdahulu, beliau dan Sahlan Ismail yang mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai Rumah Negeri dan wakil-wakil pelajar di Mesir, mendapati rata-rata pelajar Malaysia berada dalam keadaan terkawal dengan moral mereka tinggi. Sementara itu, Sahlan berkata, pegawai kedutaan ditempatkan dengan segera di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah untuk membantu pelajar dan warganegara Malaysia yang terkandas. "Kami hadapi masalah untuk berikan bantuan makanan dan minuman ekoran laluan di bandar dan lorong dikawal oleh penduduk Mesir yang berdemonstrasi, jadi tugas pegawai kedutaan adalah untuk menyediakan makanan, dan minuman di samping membantu dalam urusan tempahan tiket," katanya. Beliau berkata, sehingga hari ini 150 pelajar dan rakyat Malaysia yang terkandas sejak Sabtu lepas berjaya pulang ke tanah air dengan pembiayaan sendiri menerusi Oman, Abu Dhabi dan Amsterdam. "Kami jumpa mereka di lapangan terbang dan beri kata-kata semangat sebelum mereka pulang, kami juga akan usahakan untuk (bawa pulang) yang lain," katanya. Sahlan berkata, dalam masa yang sama rakyat Malaysia atau ibu bapa khususnya dinasihatkan agar menangguhkan perjalanan yang tidak perlu ke Mesir memandangkan amat sukar untuk mendapatkan penerbangan pulang, di samping kesesakan lapangan terbang dan perintah berkurung yang dikuatkuasakan. Beliau berkata, kerajaan dan pejabat kedutaan akan terus menyalurkan maklumat mengenai perkembangan semasa kepada semua pelajar dan pegawai-pegawai Malaysia di Mesir serta kepada rakyat Malaysia. – BERNAMA | ||
| Sahut seruan 1 juta penunjuk perasaan Posted: Sahut seruan 1 juta penunjuk perasaanKAHERAH 1 Feb. - Lebih 200,000 rakyat membanjiri ibu negara Mesir hari ini bagi menyahut seruan perhimpunan sejuta penunjuk perasaan dalam usaha menuntut pengunduran pemerintahan diktator Presiden Hosni Mubarak selama 30 tahun. Penunjuk perasaan termasuk penduduk dari wilayah pedalaman Delta Nil berpusu-pusu menuju Dataran Tahrir di pusat bandar raya Kaherah, ketika satu laporan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) menyatakan seramai 300 maut sepanjang bantahan dijalankan. Keadaan yang terlalu sesak memaksa penunjuk perasaan terdiri daripada guru sekolah, petani, penganggur, mahasiswa, wanita bertudung dan lelaki yang memakai sut berhimpit-himpit di antara satu sama lain. Mereka turut menyanyikan lagu kebangsaan dan melaungkan slogan 'Berambus, Berambus, Berambus!' ketika helikopter tentera berlegar-legar di ruang udara. Tentera di pos-pos kawalan yang dibina di kawasan masuk Dataran Tahrir hanya memerhati dan tidak menghalang penunjuk perasaan daripada memasuki kawasan tersebut. Situasi di Dataran Tahrir juga agak tenang hari ini berbanding Jumaat lalu, apabila penunjuk perasaan bertempur dengan polis yang menyaksikan kedua-dua kumpulan saling pukul-memukul selain anggota polis yang bertindak menembak gas pemedih mata dan melepaskan meriam air terhadap orang awam. Penunjuk perasaan dijangka berarak ke Istana Presiden tetapi menjelang tengah hari dengan bilangan mereka yang semakin bertambah, kumpulan tersebut masih belum bergerak keluar dari dataran berkenaan. Penunjuk perasaan berkata, mereka mahu Mubarak meletak jawatan menjelang Jumaat ini. "Sudah tiba masanya Mubarak berundur," kata graduan universiti Musab Galal, 23, yang datang dari Delta Nil, Menoufiya dengan menaiki bas bersama rakannya. Penunjuk perasaan lain turut melaungkan 'Berambuslah Mubarak, pergi ke Arab Saudi atau Bahrain!'. Sekiranya tunduk kepada desakan rakyat, Mubarak, 82, bakal menjadi pemimpin kedua Arab yang disingkirkan oleh satu kebangkitan reformasi dalam sejarah moden Asia Barat. - AP/ Reuters | ||
| Bapa rayu bawa pulang anak di Mesir Posted: Bapa rayu bawa pulang anak di MesirOleh YATIMIN ABDULLAH KOTA BHARU 1 Feb. - Kerajaan digesa menyegerakan usaha membawa pulang pelajar Malaysia yang berada di Mesir kerana ramai yang terperangkap ekoran keadaan tidak menentu di negara itu. Wan Mohd. Nawi Wan Hamid, 50, berkata, dia bimbang dengan keselamatan anaknya, Wan Nusalsabila, 20, yang kali terakhir dihubungi tiga hari lalu dan sempat memberitahu dia serta beberapa lagi penghuni blok asramanya telah dibawa ke balai polis atas faktor keselamatan. "Saya cuma mendapat khabar tentang Nursalsabila daripada kakaknya, Wan Fatin Nabilah, 21, yang menuntut di Amman, Jordan yang memberitahu Nursalsabila ada menghubunginya dan memaklumkan keadaan di Mesir amat getir. "Bekalan elektrik terputus, air tiada, makanan pun sangat kurang. Mujur juga dia masih boleh berhubung dengan kakaknya. Saya sangat bimbangkan anak saya itu apatah lagi apabila berlakunya krisis makanan di sana," katanya pada sidang akhbar anjuran Alumni Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM) di sini hari ini. Wan Mohd. Nawi yang juga seorang guru, turut merayu agar kerajaan dapat bertindak segera membantu pelajar-pelajar Malaysia lain yang masih berada di negara itu. "Jika perlu bawa pulang, bawalah mereka pulang ke Malaysia," ujarnya. Sementara itu, seorang pelajar Malaysia di Mesir yang selamat pulang ke tanah air kelmarin, Tengku Nurfar'ain Qistina Tuan Kamarul Baharin, 21, memberitahu, pengalaman yang dilaluinya sepanjang berada di sana cukup memeritkan. Katanya, rata-rata pelajar yang menuntut di sana mengalami kesulitan kewangan apabila operasi bank dibekukan. "Kami terputus dengan dunia luar apabila talian Internet turut dihentikan. Berita banduan melarikan diri amat menakutkan kami. "Apabila perintah berkurung diarahkan sekitar pukul 4 petang Jumaat lalu, keadaan sangat menakutkan. Kami lihat segerombolan orang yang berparang dan bersenjatakan besi. Bunyi tembakan dan dentuman bom kedengaran di sana sini. "Berbagai-bagai jeritan yang saya dengar antaranya, wanita yang menangis, menjerit serta salakan anjing menggerunkan, namun saya hanya berani mengintai dari tingkap," ujarnya. Pelajar jurusan pergigian Universiti Al-Azhar, Kaherah itu memberitahu, dia dan dua yang lain tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 9.30 pagi kelmarin setelah menaiki pesawat Gulf Air. "Keadaan di lapangan terbang Mesir sangat sibuk. Orang ramai hanya fikir untuk keluar dari bumi bergolak itu. Saya pulang bersama rakan sepengajian, Shahila Anuar dan ibunya. Tengku Nurfar'ain Qistina menjelaskan, dia dapat pulang ke tanah air kerana ibu rakannya yang juga tinggal di Mesir memiliki kad kredit. "Kalau ikutkan, duit saya memang tak cukup sebab tak boleh keluarkan duit di bank," ujarnya. Pelajar yang berasal dari Kubang Kerian itu memberitahu, rakan-rakannya di Mesir sempat berpesan kepadanya sebelum dia bertolak ke lapangan terbang agar meminta bantuan bagi menyelamatkan mereka. Sementara itu, seorang pelajar perubatan di Universiti Mansoura, Tengku Aniq Azwar Tuan Anuar, 23, berkata, para pelajar di sana masih menunggu tindakan lanjut daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah berhubung nasib mereka. Katanya, ketika kali terakhir wakil pelajar di Mansoura menghubungi pihak kedutaan, mereka dimaklumkan supaya bersabar kerana tumpuan kedutaan ketika ini adalah menyelamatkan pelajar-pelajar di Kaherah dan Iskandariah. ''Ini kerana situasi di kedua-dua bandar itu lebih berbahaya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Namun, Tengku Aniq Azwar menambah, kira-kira 1,500 pelajar Malaysia di bandar itu mula berasa bimbang kerana aksi tunjuk perasaan yang mula merebak ke bandar tersebut. Katanya, pada pukul 12 tengah hari ini juga, ratusan rakyat Mesir memenuhi jalan-jalan raya di sekitar bandar itu dan berarak menuju ke bangunan kerajaan. |
| You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan