Selasa, 1 Februari 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Merealisasikan KBCC

Posted:

Merealisasikan KBCC

Merealisasikan KBCC

Oleh NIZAM YATIM
rencana@utusan.com.my

SETELAH kali terakhir melawat Kampung Baru kira-kira setahun yang lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi pada Sabtu ini akan mengunjungi kampung Melayu tunggal yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Kehadiran Perdana Menteri kali ini adalah sesuatu yang amat bersejarah memandangkan pada 12 Januari lalu, kawasan penempatan seluas 90.2 hektar yang dibuka secara rasmi pada 1900 itu telah mencapai usia 111 tahun.

Angka satu memang sesuatu yang sinonim dengan Najib. Beliau telah mengasaskan gagasan 1Malaysia yang mempunyai angka berkenaan. Kereta rasmi beliau juga menggunakan nombor 11.

Satu, 111 dan 1111 sering dikaitkan sebagai membawa maksud isyarat untuk kebangkitan semula atau hasrat dan cita-cita seseorang itu akan menjadi kenyataan dengan pantas sekiranya mereka sanggup merebut peluang keemasan yang telah muncul.

Justeru, kunjungan Perdana Menteri kali ini adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh kira-kira 35,000 penduduk termasuk 1,000 pemilik tanah bagi mengetahui apakah cadangan penyelesaian yang bakal diumumkan beliau terhadap isu pembangunan semula Kampung Baru yang sentiasa menjadi topik panas dari semasa ke semasa.

Jika semasa lawatan pada 6 Februari tahun lalu, Najib mengumumkan hasrat untuk mewujudkan sebuah badan khas dikelolakan oleh badan amanah kerajaan supaya penduduk yakin dengan pembangunan yang bakal dijalankan, maka kunjungan kali ini sudah pasti bagi memaklumkan apa yang telah dijanjikan beliau telah dilaksanakan.

Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru 2010 telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 14 Disember lalu dan ia dijangka akan diluluskan pada sesi sidang bulan depan.

Tujuan penubuhan perbadanan ini adalah untuk mengawal selia pembangunan semula Kampung Baru dan menjaga kepentingan setiap pemilik dan pewaris tanah di situ.

Antara intipati rang undang-undang itu adalah langkah mewujudkan Majlis Penasihat yang berperanan memastikan setiap keputusan yang dibuat perbadanan itu mengambil kira kepentingan orang Melayu di Kampung Baru.

Majlis Penasihat itu akan diketuai oleh seorang pengerusi dan tidak lebih 15 ahli yang terdiri daripada wakil penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak yang terlibat dalam aktiviti komersial di kawasan berkenaan.

Sebenarnya, langkah menubuhkan perbadanan itu adalah satu isyarat jelas mengenai kesungguhan kerajaan untuk membangunkan Pusat Bandar Kampung Baru (KBCC), satu projek mega yang telah dicanangkan sejak sekian lama.

Ia lebih luas daripada projek Pusat Bandar Kuala Lumpur (KLCC) seluas 40 hektar yang turut menempatkan Menara Berkembar Petronas, sekali gus menjadikannya antara projek pembangunan hartanah terbesar sekali di dunia.

Dalam pada itu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang diminta mengulas lawatan kali kedua Najib pada 5 Februari ini menjelaskan, Perdana Menteri dijangka akan membuat beberapa pengumuman penting berhubung pembangunan di kawasan berkenaan.

''Perdana Menteri begitu menghayati perkembangan di Kampung Baru dan bercadang hendak turun dalam satu program di Masjid Jamek dan kemungkinan di tempat lain dan beliau akan umum beberapa perkara penting untuk Kampung Baru," katanya.

Bagi penduduk Kampung Baru, mereka sudah pasti tidak sabar menanti apakah lagi berita baik yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri. Ketika lawatan sebelum ini, beliau telah mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk membaik pulih dua blok flat 17 tingkat PKNS Kampung Baru.

Apa pun pengumuman Najib nanti, yang jelas penubuhan perbadanan itu menandakan bahawa segala projek pembangunan yang sudah lama dirancang di situ akan dapat dilaksanakan untuk kesejahteraan penduduk.

Seperti mana, kata Najib sebelum ini bahawa beliau tidak sanggup melihat Kampung Baru terus ketinggalan:

''Kita tidak mahu Kampung Baru menjadi kawasan setinggan atau kawasan sesak... walhal kawasan sekeliling ini sudah maju dengan bangunan serba moden dan sebagainya.

''Saya ingin lihat masyarakat Kampung Baru menjadi masyarakat yang moden dan mendapat nilai yang tinggi kepada hak milik tanah mereka."

Apa yang diungkap oleh Perdana Menteri itu ada kebenarannya, kerana walaupun terletak berhampiran KLCC, keadaan Kampung Baru sangat daif - jalan-jalan sempit, kedudukan rumah yang sesak seperti setinggan dan kemudahan infrastruktur yang menyedihkan.

Nilai tanah di Kampung Baru juga hanya sekitar RM350 sekaki persegi (0.09 meter persegi) sahaja sedangkan kawasan seperti KLCC sudah melebihi RM2,000 sekaki persegi.

Antara projek pembangunan yang akan dimulakan segera setelah perbadanan ditubuhkan ialah projek Puncak Baru bernilai RM500 juta di tapak Pasar Minggu di penempatan berkenaan.

Cadangan projek itu telah diumumkan oleh Kumpulan Naza pada 2009 dan pembinaannya dijangka akan dimulakan pada suku ketiga tahun ini.

Sudah pasti, banyak lagi projek baru termasuk bangunan pencakar langit, kondominium, pusat beli-belah, kediaman dan ruang perniagaan terutama untuk peniaga bumiputera akan diumumkan apabila perbadanan itu ditubuhkan dengan rasminya tidak lama lagi.

Bagaimanapun, seperti kata Najib, dalam pembangunan semula itu, ciri kebudayaan Melayu dan legasi unik kawasan terbabit akan dikekalkan di mana yang sesuai, sebagai gambaran dan imej unik Kampung Baru.

Sementara itu, Raja Nong Chik menegaskan, kejayaan pembangunan Kampung Baru turut bergantung kepada kesediaan pemilik tanah dan pewaris untuk bekerjasama.

Beliau merayu semua pemilik dan pewaris supaya bersama-sama kerajaan agar segala yang dirancang memberikan hasil kali ini.

Peringatan beliau memang tepat pada masanya, kerana walaupun rang undang-undang penubuhan perbadanan itu belum diluluskan oleh Parlimen, telah kedengaran suara-suara sumbang yang mempertikaikan langkah itu.

Kepada individu berkenaan, kenapa biarkan perasaan tidak berpuas hati membabitkan isu remeh-temeh memusnahkan usaha lebih besar bagi membela nasib orang Melayu.

Setiap perancangan sudah pasti ada kelemahannya. Seperti kata pepatah, jangan tunggu saat yang sempurna untuk bertindak, sebaliknya rebutlah apa sahaja peluang yang ada dan jadikan ia sempurna.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kemelut Mesir bimbangkan AS

Posted:

Kemelut Mesir bimbangkan AS

Kemelut Mesir bimbangkan AS

Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID

POLITIK Mesir terus bergolak. Desakan rakyatnya supaya Hosni Mubarak meletak jawatan terus berkumandang melalui demonstrasi massa. Apa yang berlaku di Mesir itu merupakan gelombang pergolakan politik di negara-negara Arab yang bermula di Tunisia.

Gelombang kebangkitan rakyat itu memiliki daya tekanan ke atas "dinding kuasa" pemerintah yang menunggu saat untuk pecah.

Tokoh ulama dan sarjana tersohor Mesir, Dr. Yusuf al-Qardawi meminta pemimpin Mesir yang telah berkuasa selama 30 tahun itu melepaskan jawatannya. Kesediaan Mubarak untuk melepaskan jawatannya dapat menyelamatkan Mesir daripada terus berada dalam kancah pergolakan.

Namun, setakat ini Mubarak kelihatan sukar untuk mengalah. Malah, presiden yang dianggap diktator itu mengerahkan pasukan keselamatan mengawal dan menundukkan kebangkitan rakyat itu.

Mubarak juga melihat bahawa kekuatan internet sebagai medium penyebaran maklumat dan jaringan sosial yang berpengaruh mampu melonjakkan momentum kebangkitan rakyat yang sekali gus menjadi ancaman dan senjata yang dapat memusnahkan penguasaan politiknya.

Justeru, beliau turut mengambil langkah memutuskan hubungan internet bagi mengawal merebaknya kebangkitan rakyatnya. Beliau juga telah melaksanakan perintah berkurung.

Pun begitu demonstrasi tetap berjalan. Banyak balai polis telah ditawan oleh penunjuk perasaan yang agresif serta jalan raya telah dikuasai mereka. Perhubungan pengangkutan udara mula terjejas teruk apabila hampir semua syarikat penerbangan mula menghentikan operasi mereka.

Pertembungan para demonstrasi jalanan dengan pasukan keselamatan (tentera) Mesir telah mengorbankan ramai orang awam dan juga di kalangan pasukan keselamatan.

Statusnya demonstrasi jalanan sudah bertukar kepada revolusi berdarah. Pemberontakan massa ini disertai oleh hampir seluruh lapisan masyarakat yang merangkumi pelbagai kelompok dan kelas sosial yang luas sama ada dari kelompok miskin, kelas menengah, kaum terpelajar dan kelompok politik pelbagai ideologi yang dengan lantang menyeru pembebasan dari rejim diktator dan korup. Mereka mahukan perubahan politik yang lebih demokratik dan kerajaan yang memperjuangkan nasib rakyat.

Seperti juga di Tunisia, punca berlakunya kebangkitan rakyat di Mesir adalah didorong oleh kezaliman rejim yang berkuasa, ketidakadilan, kemiskinan dan kekangan terhadap demokrasi. Amat jelas, senario pergolakan politik yang berlaku di Mesir itu menunjukkan bahawa kepemimpinan Mubarak telah kehilangan kepercayaan rakyat. Sebenarnya rakyat telah lama memendam perasaan tidak puas hati.

Walaupun negara itu berjaya melahirkan ramai tokoh cendekiawan terbilang sehingga ke peringkat antarabangsa, namun kadar buta huruf di negara itu masih lagi tinggi. Rakyat masih tidak dapat merasakan akses pendidikan dan kesihatan yang baik dan menyeluruh.

Kadar kemiskinan di negara itu masih tinggi dan kadar pengangguran semasanya pula mencapai hampir 10 peratus. Ini bermakna sepanjang pemerintahan Mubarak, rakyat tidak begitu dipedulikan sehingga kegelisahan rakyat dimanifestasikan melalui demonstrasi massa.

Satu lagi persoalan yang bermain di fikiran kita ialah siapakah yang memimpin dan menerajui kebangkitan rakyat Mesir itu. Mungkinkah Ikhwanul Muslim atau ada parti atau gerakan yang lain?

Di kalangan tokoh pula, nama pemimpin pembangkang yang lantang bersuara ialah Mohamed ElBaradei. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab menubuhkan Majlis Nasional untuk Perubahan yang bertujuan mengubah fasal-fasal dalam perlembagaan yang dilihat mengekang demokrasi di Mesir.

Beliau telah mengkritik pelantikan bekas ketua risikan tentera, Omar Suleiman sebagai Naib Presiden dan bekas Menteri Penerbangan Awam, Ahmed Shafiq sebagai Perdana Menteri sebagai tidak memenuhi tuntutan sebenar rakyat Mesir yang mahu Mubarak melepaskan jawatannya. Omar Suleiman mempunyai pengaruh yang besar di kalangan politik Mesir.

Beliau pernah menyelamatkan Mubarak dari percubaan pembunuhan pada bulan Julai 1995 di ibu kota Ethiopia, Adis Ababa. Justeru, beliau dikatakan mendapatkan kepercayaan penuh dari Mubarak.

Satu lagi calon yang pernah disebut menggantikan Mubarak ialah anaknya sendiri bernama Gamal Mubarak. Bagaimana pun Mubarak dan anaknya berulang kali menafikan spekulasi tersebut. Bagi ElBaradei rakyat Mesir mahukan perubahan rejim pemerintahan.

Justeru, Mubarak dan seluruh kabinetnya mesti melepaskan jawatan supaya satu pilihan raya adil dan telus dapat dijalankan bagi membentuk sebuah kerajaan yang baru. ElBaradei sendiri tidak menolak sekiranya ada sebarang cadangan untuk mencalonkannya bagi pemilihan presiden.

Apa pun, senario politik yang berlaku di Mesir itu pastinya mencemaskan Amerika Syarikat (AS) dan Israel. Mubarak adalah di antara pemimpin Mesir yang banyak membantu AS dan Israel. Mubarak kerap bekerja sama dengan AS dalam percaturan Arab-Israel di Asia Barat.

Justeru, kedua-dua negara itu bimbang sekiranya pergolakan politik di Mesir itu berakhir dengan penguasaan kelompok yang anti AS dan Israel. Ia akan dapat mengekang pengaruh 'White House' ke atas Mesir dan sekali gus memberi kesan kepada hubungan Mesir-Israel.

Kebimbangan AS ini dapat dirasakan apabila Barack Obama meminta Presiden Mubarak segera melaksanakan reformasi di negara itu. Walaupun Obama cuba menunjukkan sokongannya terhadap tuntutan rakyat mengenai hak-hak demokratis yang lebih luas, namun Presiden AS itu masih mengharapkan Mubarak akan terus berkuasa.

Sekiranya Mubarak gagal mempertahankan kedudukannya, maka AS akan memastikan teraju kepimpinan Mesir mestilah pemimpin yang dapat bekerja sama dengannya.

Justeru, sebarang kemunculan dan kenaikan pemimpin yang anti AS dan Israel akan mengundang campur tangan AS dalam polik Mesir. Di antara tokoh politik yang dilihat anti-Israel ialah Amr Moussa yang juga merupakan pemimpin Mesir yang berpengaruh. Beliau adalah bekas Menteri Luar Mesir (1991 dan 2001) dan terkenal dengan kritikannya terhadap penguasaan Israel di Palestin.

PENULIS ialah Ketua Unit Penerbitan di Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan