Selasa, 1 Februari 2011

Malaysiakini :: Berita

Malaysiakini :: Berita


K'jaan usaha bawa pulang pelajar di Mesir

Posted: 01 Feb 2011 07:58 AM PST

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini berkata kerajaan memutuskan untuk membawa keluar pelajar Malaysia dari Mesir menerusi laut dan udara berikutan pergolakan di negara itu yang semakin meruncing.

Katanya, keputusan itu dibuat setelah mendapat laporan dari delegasi Malaysia ke sana yang diketuai Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay dan turut disertai Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Sahlan Ismail.

"Beberapa langkah segera akan diambil untuk membawa keluar pelajar-pelajar kita dari Mesir," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.

Antara langkah berkenaan ialah meminta kapal Bunga Mas 5, iaitu sebuah kapal serbaguna yang dikawal oleh Tentera Laut Diraja Malaysia yang sedang bertugas di Teluk Aden, untuk belayar ke Pelabuhan Adabiyah yang terletak kira-kira dua jam setengah perjalanan dari selatan Kaherah, bagi membawa keluar pelajar-pelajar berkenaan.

"Kapal itu dijangka tiba di Pelabuhan Adabiah pada 5 Februari. Ia dapat memuatkan kira-kira 500 pelajar kita," katanya.

Najib juga berkata bahawa beliau sudah berunding dengan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman untuk meminta syarikat penerbangan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia untuk melakukan penerbangan khas ke Kaherah untuk membawa keluar pelajar-pelajar Malaysia.

"Mereka (MAS dan AirAsia) akan memaklumkan kepada saya esok mengenai kemungkinan menggunakan pesawat mereka untuk tugas ini," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan berusaha membawa pelajar-pelajar Malaysia ke Jeddah untuk ditempatkan sementara di pusat Tabung Haji di sana sehingga ada penerbangan pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun menurutnya ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu termasuk urusan visa pelajar berkenaan.

"Kerajaan sedang berurusan dengan kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan kebenaran khas membawa para pelajar kit ke Jeddah," kata Najib.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan memberi maklumat lanjut mengenai perkara itu kepada pelajar dan ibu bapa esok.

Sementara itu Kohilan yang berada di Kaherah ketika dihubungi Bernama hari ini berkata pesawat C-130 Charlie Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga akan digunakan bagi membawa keluar pelajar Malaysia di Mesir secara berperingkat ke negara jiran terdekat.

Katanya Dewan Malaysia Abbasiyah, Rumah-Rumah Negeri di Kaherah, dan Rumah MARA di Iskandariah menjadi kawasan perlindungan selamat kepada pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir.

"Bagi memastikan keselamatan di sana (rumah perlindungan) serta keperluan harian mencukupi, kerajaan akan meningkatkan kawalan keselamatan serta menyalurkan dengan segera bekalan makanan serta keperluan yang lain," katanya.

Terdahulu beliau dan Sahlan Ismail yang mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai Rumah Negeri dan wakil-wakil pelajar di Mesir, mendapati rata-rata pelajar Malaysia berada dalam keadaan terkawal dengan moral mereka tinggi.

Sementara itu, Sahlan berkata pegawai kedutaan ditempatkan dengan segera di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah untuk membantu pelajar dan warganegara Malaysia yang terkandas.

"Kami hadapi masalah untuk berikan bantuan makanan dan minuman ekoran laluan di bandar dan lorong dikawal oleh penduduk Mesir yang berdemonstrasi, jadi tugas pegawai kedutaan adalah untuk menyediakan makanan, dan minuman di samping membantu dalam urusan tempahan tiket," katanya.

Beliau berkata sehingga hari ini 150 pelajar dan rakyat Malaysia yang terkandas sejak Sabtu lepas berjaya pulang ke tanah air dengan pembiayaan sendiri menerusi Oman, Abu Dhabi dan Amsterdam.

"Kami jumpa mereka di lapangan terbang dan beri kata-kata semangat sebelum mereka pulang, kami juga akan usahakan untuk (bawa pulang) yang lain," katanya.

Sahlan berkata dalam masa yang sama rakyat Malaysia atau ibu bapa khususnya dinasihatkan agar menangguhkan perjalanan yang tidak perlu ke Mesir memandangkan amat sukar untuk mendapatkan penerbangan pulang, di samping kesesakan lapangan terbang dan perintah berkurung yang dikuatkuasakan.

Beliau berkata kerajaan dan pejabat kedutaan akan terus menyalurkan maklumat mengenai perkembangan semasa kepada semua pelajar dan pegawai-pegawai Malaysia di Mesir serta kepada rakyat Malaysia.

- Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Perpecahan lemahkan bangsa Melayu, kata Dr M

Posted: 01 Feb 2011 05:54 AM PST

Masa depan bangsa Melayu akan terus lemah dan malap sekiranya kaum Melayu terus berpecah hanya semata-mata fahaman politik yang berbeza, kata mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata bangsa Melayu kini dilihat berada dalam kedudukan yang lemah kerana sudah berpecah kepada tiga kumpulan politik iaitu Umno, PAS dan PKR menyebabkan agenda untuk memajukan masa depan mereka sukar dilaksanakan, walaupun kerajaan kini di bawah kepimpinan orang Melayu.

"Kita lihat sekarang Melayu lemah kerana sudah berpecah kepada tiga dan kerajaan yang dipimpin orang Melayu juga menjadi lemah dan tidak dapat bertegas dalam menyusun langkah dalam majukan masa depan kita.

"Ini keadaan sekarang dan tidak dapat tidak ia akan mempengaruhi masa depan kita," katanya ketika berucap di wacana bersama Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai 'Bangsa Melayu dan Masa Depannya' di Memorial Tun Hussein Onn di ibunegara hari ini.

Wacana itu, anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan, turut dihadiri Yang Dipertua Mubarak Wilayah Persekutuan Abdul Aziz Yassin, Setiausaha Mubarak Wilayah Persekutuan Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Seri Dr Ibrahim Saad, yang bertindak sebagai moderator wacana.

Dr Mahathir berkata kali pertama perpaduan Melayu di negara ini teruji ialah apabila berlakunya perpecahan yang menyaksikan wujudnya PAS, sebagai parti serpihan Umno.

"Tetapi kita masih mampu menguasai keadaan politik di dalam negara, tetapi sepertimana yang kita tahu, kemudiannya ramai daripada orang yang kecewa (daripada Umno) telah menubuhkan parti dan kita lihat serpihan-serpihan lain berlaku seperti Semangat 46 dan PKR," katanya.

"Masa kita miskin, lemah, tidak ada kedudukan, kita tahu hanya perpaduan yang akan memberi kita kekuatan. Tetapi hari ini, bila kita kaya sikit, ada yang perpendapat perpaduan tidak perlu lagi, kita lawan sesama kita," katanya.

Katanya ada juga orang Melayu yang sudah terlalu yakin mempunyai keupayaan untuk berdiri sendiri sehingga menolak sebarang usaha kerajaan termasuk menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diwujudkan untuk membantu mereka.

"Kita begitu sekali menganggap diri kita berkeupayaan, ada yang kata apa perlu 'identify' diri kita dengan Melayu, kita orang Malaysia, boleh tolak usaha untuk bantu kita. Kita hendak buang 'tongkat', hendak jalan atas kaki sendiri, tetapi kita tidak sedar kaki masih tempang," katanya.

Apa yang lebih menyedihkan, kata Dr Mahathir, ada orang Melayu yang terlalu asyik meminta sokongan kaum lain sehingga sanggup menyerahkan apa sahaja kepada kaum lain tanpa memikirkan implikasinya kemudian hari.

"Kalau bergantung kepada orang lain, lama-lama kita akan duduk di bawah perintah mereka, secara tidak langsung kita akan menjadi bangsa yang lemah kerana berpecah-belah.

"Walaupun dipilih untuk memerintah negara kita ini, sebenarnya kita tidak berkuasa kerana orang yang membantu kita akan desak supaya kita menghormati pendapat mereka, ini yang akan berlaku," kata Dr Mahathir yang berpendapat maju mundurnya bangsa Melayu terletak kepada diri orang Melayu itu sendiri.

Dalam pada itu Dr Mahathir yakin Malaysia akan selamat daripada kekuasaan asing sekiranya semua rakyatnya benar-benar memahami dan menerima konsep 1Malaysia atau 1bangsa yang diuar-uarkan kerajaan selama ini.

Untuk itu, katanya, kaum-kaum lain di Malaysia harus melupakan kaitan mereka dengan negara asing, sebaliknya menerapkan keyakinan bahawa mereka merupakan rakyat negara ini.

"Bila kita kata kita adalah orang yang ada kaitan dengan sebuah negara asing, maka itu adalah pengakuan kita adalah kaum pendatang. Jadi kita harus
lupa negara mana kita datang. Jika ada yang masih anggap mereka datang dari negara lain, maka tidak akan dapat wujud satu bangsa Malaysia.

"Tetapi sehingga sekarang, tidak ada kesanggupan untuk mengakui mereka bangsa Malaysia...kita bukan mahu semua mengakui diri mereka sebagai Melayu tetapi sekurang-kurangnya sebagai warga Malaysia," katanya.

Menyentuh mengenai isu ketuanan Melayu, Dr Mahathir secara sinis berkata orang Melayu tidak perlu untuk terus mendakwa diri mereka sebagai 'Tuan' jika mereka sebenarnya hanya merupakan 'kuli' kepada orang lain.

Menurutnya kata-kata 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia' perlu dinilai semula agar dapat ditentukan apakah generasi Melayu yang sebenarnya yang mahu dikekalkan.

"Kita harus tanya Melayu bagaimana yang kita tidak mahu hilang dari dunia ini...yang kita mahu ialah Melayu yang tidak hilang ialah Melayu yang gagah, kaya, ada ilmu, cekap dalam perniagaan, pengurusan dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, menjawab kepada satu soalan mengenai bagaimana untuk menyatu-padukan orang Melayu yang sudah berpecah tiga, Dr Mahathir berkata:"Cara mudah, ketuk kepala (Datuk) Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat)(Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan) dan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) (Penasihat PKR) kerana penyakit itu semua datang daripada mereka".

Beliau juga menyifatkan usaha menyatu-padukan orang-orang Melayu itu menemui jalan buntu kerana tidak adanya keinginan daripada kedua-dua pemimpin berkenaan untuk ke arah itu.

"Niat mereka hanya untuk mendapat tempat. Anwar dengan dasarnya untuk sampai ke Putrajaya dan Nik Aziz adalah seorang opportunist. Tidak ada niat mereka ini untuk berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara, itu yang susah hendak berbaik dengan mereka," katanya.

Dr Mahathir berkata dalam keadaan kepercayaan kepada Umno juga goyah, orang Melayu kini diletakkan dalam keadaan serba-salah untuk memilih parti yang boleh dipercayai, justeru menyifatkan kaum Melayu kini dalam "Malay Dilemma 2'.

- Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan