Selasa, 1 Februari 2011

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Taktik elak penguat kuasa

Posted:

Taktik elak penguat kuasa

Taktik elak penguat kuasa

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 Feb. - Dahulu, mereka menggunakan meja kecil, kereta sorong atau kenderaan untuk mencari tempat berniaga tetapi akibat tindakan penguatkuasaan yang kerap dilakukan, mereka terpaksa menukar taktik.

Idea menggunakan troli pasar raya untuk meneruskan perniagaan boleh dianggap kreatif tetapi tanpa lesen perniagaan, ia tetap satu kesalahan.

Turut menjadi persoalan ialah di mana mereka mendapat troli berkenaan.

Penggunaan troli itu bukan sahaja bertujuan memudahkan diri untuk melarikan diri daripada penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetapi juga kerana troli itu mampu menampung berat beban yang banyak.

Sebelum ini, kalau mereka bernasib baik, barangan jualan dapat diselamatkan lebih awal tetapi jika sebaliknya, mereka terpaksa merelakan sahaja barangan jualan dirampas.

Apabila dirampas, kerugian berganda terpaksa ditanggung kerana kos untuk menuntutnya jauh lebih tinggi daripada kos barangan itu sendiri.

Itulah situasi yang terpaksa dihadapi oleh penjaja kaki lima atau penjaja jalanan di Hentian Bas dan Teksi Pekeliling, Jalan Tun Razak di sini.

Walaupun tidak dibenarkan berniaga di situ, kumpulan peniaga kaki lima itu yang kebanyakannya wanita tidak gentar untuk terus berniaga kerana itulah 'lubuk rezeki' mereka.

Utusan Malaysia difahamkan, sebelum ini, penjaja kaki lima itu diberikan lesen untuk berniaga tetapi atas sebab-sebab pembangunan, mereka tidak lagi dibenarkan berniaga di situ.

Difahamkan juga, DBKL telah menyediakan gerai berbumbung di Jalan Pangkor yang terletak hanya kira-kira 500 meter dari stesen itu untuk peniaga berkenaan.

Bagaimanapun, sebahagian besar penjaja enggan berniaga di situ atas alasan agak jauh dari kawasan tumpuan ramai dan akan menjejaskan pendapatan mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia di terminal itu mendapati, selain peniaga tempatan, peniaga asing turut mengambil kesempatan berniaga di situ terutama di kaki lima kaunter tiket.

Dengan berbekalkan sebuah troli yang dipenuhi pelbagai minuman, kotak mengisi makanan seperti buah-buahan potong, sosej dan bebola ikan, perniagaan mereka ternyata mendapat sambutan.

Seorang penjaja wanita yang enggan dikenali, mengakui dia sudah hampir 15 tahun menjalankan perniagaan di situ dan tidak pernah tidak 'diganggu' oleh penguat kuasa.

"Bukan sekali dua, sebaliknya hampir setiap hari penguat kuasa DBKL mengadakan operasi.

"Semuanya bergantung kepada kecekapan kami menghidu kedatangan penguat kuasa. Paling malang jika penguat kuasa datang tanpa uniform," katanya.

Dia berkata, seperti penjaja kaki lima lain di situ, mereka tidak ada pilihan lain selain terus berniaga di kaki lima itu atau berdepan kerugian jika berpindah ke gerai yang disediakan.

"Kami pernah mencuba tetapi bagaimana kami boleh meneruskan kehidupan jika sepanjang hari tidak boleh mendapat sesen pun.

"Orang ramai enggan ke sana kerana agak jauh dan mereka tidak punya banyak masa sedangkan mereka hanya mahu beli minuman dan makanan ringan sahaja," katanya.

Penjaja itu juga mendakwa, dia memperoleh purata pendapatan antara RM50 hingga RM60 sehari dan boleh mencecah sehingga RM120 pada hujung minggu atau cuti panjang.

Seorang peniaga warga Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Tuti berkata, nasib akan menyebelahi mereka sekiranya kedatangan penguat kuasa dapat dihidu.

Dia mendakwa hanya bekerja untuk seseorang dan jika barangan jualan dirampas, majikannya bertanggungjawab menyelesaikan dengan pihak DBKL.

"Saya akan sedaya upaya cuba menyelamatkan barangan jualan ini tetapi kadangkala tidak sempat berbuat apa-apa," ujarnya yang mengakui memperoleh keuntungan yang agak lumayan setiap hari.

Sementara itu, seorang penumpang bas ekspres, Halina Hassan, 38, berkata, dia pernah melihat gelagat seorang penjaja kaki lima di situ yang sedang melayan pelanggan tetapi tiba-tiba bergegas menolak troli meninggalkan kawasan itu.

"Keadaan kecoh seketika dan hanya kembali tenang selepas penguat kuasa terlibat meninggalkan kawasan berkenaan.

"Peniaga juga akan kembali semula ke tempat asal dan berniaga seperti biasa," ujarnya.

Halina yang sering berulang alik dari ibu negara ke Temerloh mengakui walaupun kehadiran penjaja kaki lima itu mencemarkan pemandangan di situ, di sudut lain, ia memudahkan orang ramai mendapatkan makanan dan minuman sementara menunggu bas bertolak.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia ke gerai di Jalan Pangkor mendapati suasana agak suram dan hanya kelihatan beberapa pelanggan yang secara kebetulan lalu di situ.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tujuh tahun tidak selesai

Posted:

Tujuh tahun tidak selesai

Tujuh tahun tidak selesai

Oleh AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
kota@utusan.com.my


Maizan Abd. Latiff melihat tanah yang dibelinya tetapi tidak dapat dibangunkan kerana masih belum dipindah milik di Kampung Jalan Kebun Baru, Batu 9, Telok Panglima Garang, Banting, baru-baru ini.


BANTING 1 Feb. – Sikap keras kepala dan enggan bekerjasama seorang penjual tanah telah menyebabkan 13 pembeli tanah terpaksa berdepan dengan pelbagai kesukaran termasuk tidak boleh membina rumah.

Tanah yang terletak di Kampung Jalan Kebun Baru, Batu 9, Telok Panglima Garang di sini itu telah dibeli sejak lebih tujuh tahun lalu tetapi masih belum dipindah milik sehingga kini.

Pembeli berkata, mereka tidak tahu apa puncanya penjual berkenaan enggan memberikan kerjasama untuk memindah milik sebidang tanah berukuran 0.65 hektar yang telah dibahagikan kepada 18 lot itu.

Wakil pembeli, Kalsom Sudin, 61, berkata, dia buntu mencari jalan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi pembeli sejak sekian lama itu.

"Sebelum membelinya, penjual memberi pelbagai janji manis tetapi selepas wang habis dibayar dan rumah pun telah didirikan di tanah ini, nama pemilik tanah belum ditukar kepada nama kami.

"Kini sudah lebih tujuh tahun saya tinggal di rumah yang didirikan di atas tanah ini, tetapi masalah ini masih belum dapat diselesaikan walaupun telah beberapa kali berjumpa dengan beberapa agensi kerajaan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dia berkata, Pejabat Tanah Kuala Langat telah memanggil pembeli dan penjual untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan masalah itu.

Tambahnya, mesyuarat itu diadakan sebanyak dua kali iaitu pada Julai dan September 2006 namun perbincangan itu gagal mencapai sebarang kata putus kerana penjual tetap berdegil.

"Malah, penjual itu juga pernah menengking pegawai kanan di Pejabat Tanah Kuala Langat ketika mesyuarat berkenaan diadakan," katanya.

Sementara itu, Maizan Abd. Latiff, 48, berkata, niatnya untuk mendirikan rumah di atas tanah lot yang dibeli tidak kesampaian kerana gagal mendapat kelulusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Saya hanya sempat menambak tanah dan pasir di atas tanah lot ini kerana gagal mengeluarkan duit simpanan KWSP.

"Diharapkan masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin supaya saya kami dapat mendirikan sebuah rumah di atas tanah tersebut," katanya yang terpaksa menyewa rumah di tempat lain.

Seorang lagi pembeli, Siti Halijah Ab. Latip, 63, berkata, dia sedih kerana hasrat suaminya untuk mendirikan rumah di atas tanah berkenaan tidak kesampaian kerana meninggal dunia Ogos tahun lalu.

"Semasa membeli tanah ini, arwah bercadang mendirikan sebuah rumah di atas tanah itu tetapi menangguhkan hasratnya sehingga masalah tukar nama hak milik dapat diselesaikan.

"Oleh kerana isu ini berlarutan bertahun-tahun, arwah mengambil keputusan untuk membeli tanah lain di kawasan sekitar sini dan mendirikan rumah di atasnya. Ini menyebabkan kami terpaksa menghabiskan wang simpanan kami," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

KL sudah capai status bandar moden

Posted:

KL sudah capai status bandar moden

KL sudah capai status bandar moden

KUALA LUMPUR 1 Feb. - Walaupun negara belum mencapai status negara maju, namun kalangan warga kota dan pelancong asing mengakui bahawa ibu negara sudahpun mencapai taraf bandar moden jika dilihat pada kemudahan bertaraf dunia yang tersedia.

Tinjauan di sekitar ibu kota hari ini sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-47 mendapati, orang ramai berasa selamat dan mudah untuk bergerak ke mana-mana di dalam bandar kerana terdapat kemudahan infrastruktur yang mencukupi.

Di Zoo Negara, ramai warga Kuala Lumpur mengambil kesempatan cuti umum hari ini untuk membawa anak mereka bersiar-siar menikmati suasana alam sekitar dan melihat haiwan pameran di zoo tertua di Malaysia itu.

Seorang pengunjung, Mohamed Idris Mohd. Nor, 32, dari Ampang membawa ibu bapanya dari Pahang dan anak-anaknya berkunjung ke Zoo Negara untuk menghabiskan masa bersama keluarga.

"Saya rasa Kuala Lumpur ini sudah moden kerana kalau kita nak ke mana-mana pun sekarang senang, parkir banyak, kemudahan pengangkutan ada, makanan mudah didapati dan yang penting bersih serta selamat," katanya.

S. Jayganthan, 45, turut bangga dengan perkembangan Kuala Lumpur yang begitu pesat sehingga dikenali di seluruh dunia.

"Zoo Negara ini juga begitu ramai pelancong asing yang datang dan mereka kelihatan gembira bergerak di sekitar Kuala Lumpur kerana keadaannya yang selesa," katanya.

Warga Ireland, Oliver Roche, 37, turut membawa isterinya, Rachel dan anaknya ke zoo untuk mengisi masa lapang sempena cuti umum Hari Wilayah Persekutuan.

"Bercakap mengenai moden, saya fikir Kuala Lumpur telah mencapai tahap itu terutama dengan adanya kemudahan-kemudahan bertaraf dunia di sini dengan pengangkutan moden, lapangan terbang bertaraf dunia dan bandar raya ini bersih.

"Saya telah bekerja di sini selama dua tahun dan benar-benar jatuh cinta dengan keadaan di sini terutama penduduknya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan amat unik.

"Kuala Lumpur dilengkapi dengan semua kemudahan moden yang diperlukan orang ramai dan ini sungguh mengagumkan," katanya.

Walaupun ramai yang bersetuju dengan kemodenan itu, mereka juga berpendapat beberapa penambahbaikan perlu dilakukan untuk mengindahkan lagi bandar raya contohnya daripada segi kebersihan dan kesesakan lalu lintas yang sentiasa membebankan pemandu di ibu kota.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan