Rabu, 2 Februari 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


RM1j musnah

Posted: 01 Feb 2011 02:47 PM PST

Wilayah

LADANG pisang yang diusahakan Pertubuhan Peladang Kawasan Jasin di Kampung Simpang Kerayong,  ditenggelami banjir.

LADANG pisang yang diusahakan Pertubuhan Peladang Kawasan Jasin di Kampung Simpang Kerayong, ditenggelami banjir.

Dua projek pertanian 36 hektar di Jasin ditenggelami banjir

JASIN: Dua projek pertanian di tanah seluas 36 hektar di Kampung Simpang Kerayong dan Kampung Chenderah, dekat sini, yang dianggarkan mampu menjana hasil pengeluaran bernilai lebih RM1 juta musnah ditenggelami banjir kira-kira dua meter selepas hujan lebat sejak empat hari lalu.

Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jasin, Ahmad Pudzi Ismail, berkata projek itu membabitkan tanaman pisang yang meliputi 32,000 pokok dan labu sebanyak 30,000 pokok manakala jagung manis di lokasi berasingan membabitkan 100,000 pokok. Beliau berkata, pokok pisang yang diusahakan itu mula ditanam sejak tiga bulan lalu dan dijangka hasilnya dapat dinikmati dalam tempoh enam bulan, labu pula mengeluarkan hasil kira-kira sebulan manakala jagung tiga minggu lagi.

"Bagaimanapun, semua tanaman itu musnah berikutan banjir. Ada peladang yang hampir putus asa, namun kami percaya ini adalah ujian dari Allah SWT kerana memang sudah ditakdirkan mungkin bukan rezeki kami," katanya ketika ditemui di pejabat PPK Jasin di sini, kelmarin.

Ahmad Pudzi berkata, selain projek tanaman pertanian berkenaan, sebanyak 400 kambing biak baka jenis Boer yang turut dikendalikan PPK, kini terperangkap di Kampung Kumpai berikutan laluan menuju lokasi ternakan sejauh satu kilometer dari jalan utama itu, dinaiki air sedalam satu meter.

Katanya, buat masa ini, pihaknya masih mencari pengangkutan sesuai seperti sampan untuk sampai ke kandang terbabit kerana haiwan berkenaan perlu diberi makan tiga kali sehari.
"Khuatir juga jika hujan masih tidak berhenti, kambing ini mungkin mati kelaparan," katanya.

Selain itu, Ahmad Pudzi berkata, kilang memproses ayam milik pihaknya di Simpang Bekoh turut mengalami nasib sama apabila kawasan itu ditenggelami air sedalam satu meter menyebabkan hampir semua peralatan dan infrastruktur di situ rosak.

Sambil menyifatkan banjir kali ini adalah paling buruk, beliau berharap jabatan dan agensi berkaitan dapat mengambil tindakan termasuk menyalurkan bantuan segera bagi memulihkan semula tanaman dan infrastruktur yang sudah rosak akibat banjir berkenaan.

"Apa yang diharapkan sekarang ialah sokongan padu pihak berkenaan dari aspek mendapatkan anak pokok baru untuk kami menjalankan penanaman semula selain menampung kos lain yang timbul akibat banjir ini," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada air

Posted: 01 Feb 2011 02:44 PM PST

Wilayah

 Mohamad  menunjukkan tanda paip utama Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang yang  siap dipasang tetapi masih tidak boleh digunakan  mukim Tembeling, Kuala Tahan.

Mohamad menunjukkan tanda paip utama Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang yang siap dipasang tetapi masih tidak boleh digunakan mukim Tembeling, Kuala Tahan.

Penduduk mukim Tembeling mahu JBA bertindak

JERANTUT: Penduduk di sembilan kampung di kawasan mukim Tembeling, Kuala Tahan dekat sini termasuk tanah rancangan FELCRA pasrah menunggu bekalan air bersih walaupun paip utama Jabatan Bekalan Air (JBA) sudah tersedia sejak dua tahun lalu tetapi masih tidak boleh digunakan.

Nasib kira-kira 2,000 penduduk di Kampung Kuala Tahan, Kampung Gol, Kampung Teresek, Kampung Belebau, Kampung Tekah, Kampung Tuit, Kampung Padang, Kampung Gol dan Perumahan Felcra Tembeling Tengah diibaratkan menanti buah yang tidak gugur. Ini berikutan pemasangan paip utama itu masih belum boleh disalurkan kepada kira-kira 500 rumah, 18 chalet, dua sekolah, masjid, lima surau dan beberapa bangunan kerajaan dan agensi kerajaan di situ.

Tinjauan Edisi Wilayah mendapati penduduk di kawasan itu hanya dapat memerhatikan saluran paip di rumah masing-masing seperti barang perhiasan yang menyakitkan hati.

Penduduk Kampung Tekah, Azman Hassan, 36, berkata paip utama yang siap dipasang hampir dua tahun lalu masih tidak boleh menyalurkan air ke rumah.

"Kadang kala apabila melihat paip yang sedia ada untuk digunakan tetapi hanya sekadar hiasan sungguh menyakitkan hati dan sampai bila kami terpaksa menanggung masalah ini walaupun semua kemudahan sudah ada," katanya.
Penduduk Kuala Tahan, Azizi Kamaruzaman, 30 , berkata JBA sepatutnya dapat menyegerakan bekalan air bersih ke kawasan berkenaan kerana sudah menyediakan paip utama dan saluran paip.

"Mereka tidak sepatutnya memberi sebarang alasan untuk membekalkan air kepada kami. Perkara ini tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang rumit. Jangan menganggap kami tidak tahu menahu perkara sebegini," katanya.

Seorang lagi penduduk Kuala Tahan, Mohamad Abdullah, 57, berkata mereka memang berharap JBA menyegerakan bekalan air bersih ke rumah mereka kerana sudah sekian lama menggunakan air bukit yang disekat untuk dijadikan seperti empangan kecil tetapi kadang kala tergendala terutama musim kemarau.

"Apakah kami memerlukan masa sehingga 50 tahun lagi untuk merasai nikmat kemudahan yang sudah lama orang lain kecapi," katanya.

Sementara itu, pengusaha chalet, Zainuddin Daman, berkata pihaknya mengharapkan bekalan air dan berharap pihak berwajib menyegerakan usaha itu kerana selain menjamin keselesaan pelancong, ia juga meningkatkan kehadiran pelawat.

Penduduk Perumahan Felcra, Zamri Mat Amin, 44, berkata isu itu pernah dirujuk ke pihak berwajib, tetapi dimaklumkan projek berkenaan belum diserahkan kontraktor kepada pentadbiran daerah.

ADUN Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak, berkata kerajaan sudah menyediakan segala kemudahan seperti pembinaan loji dan penyambungan paip utama ke kawasan penempatan terbabit.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan