Isnin, 3 Disember 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Enam lelaki ditahan bantu kes pemilik bistro ditikam

Posted: 03 Dec 2012 02:41 AM PST

GEORGETOWN: Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pemilik bistro maut ditikam ketika dia cuba meleraikan pergaduhan antara dua kumpulan di hadapan premisnya di Jalan Burma di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata mereka yang berusia antara 18 hingga 26 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar bandar raya ini.

"Empat lelaki ditahan di sebuah restoran makanan segera di Greenlane beberapa jam selepas kejadian. Salah seorang daripada mereka mempunyai kesan kecederaan di kepala.

"Dua lagi lelaki ditahan di bandar raya ini pada pukul 9.15 malam tadi. Usaha mengesan beberapa lagi suspek giat dijalankan," katanya.


Gan berkata kesemua mereka direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


"Siasatan setakat ini mendapati 10 orang daripada dua kumpulan iaitu Geng 24 dan Geng Peh terlibat dalam pergaduhan itu selepas mereka berhibur di premis milik mangsa," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian berkenaan agar menghubungi balai polis berdekatan atau Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di talian 04- 2181822.

Dalam kejadian 3 petang itu, Keoh Thian Poh, 26, maut selepas tiga jam dimasukkan ke sebuah hospital swasta akibat ditikam di belakang badannya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03



Remaja pukul abang hingga mati direman

Posted: 03 Dec 2012 12:50 AM PST

GEORGETOWN: Remaja lelaki yang memukul abangnya sehingga maut di kediaman kelamin warga tentera di Kem Sungai Ara, Bayan Lepas, di sini, dua hari lalu direman sehingga Khamis ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md Zin berkata setakat ini kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun ia akan dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"Walaupun kejadian itu seperti tidak disengajakan, kita tetap siasat menurut Seksyen 302 iaitu membunuh. Tetapi keputusan sama ada remaja berusia 16 tahun itu akan didakwa menurut Seksyen 302 atau seksyen lain bergantung kepada Pejabat Pendakwa Raya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hatta berkata polis telah mengambil keterangan daripada beberapa saksi di tempat kejadian termasuk ibu mangsa.


"Kes itu kita anggap telah selesai kerana suspek ditahan dan polis juga telah merekodkan keterangan daripada mereka yang menyaksikan kejadian berkenaan. Laporan lengkap sedang dibuat dan akan dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03



Tiada ulasan:

Catat Ulasan