Sabtu, 1 Disember 2012

Berita Harian: Nasional

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Berita Harian: Nasional


Pesan Najib

Posted: 01 Dec 2012 01:41 PM PST

Suntikan semangat bersatu gegar PWTC

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak menutup tirai Perhimpunan Agung UMNO Ke-63 semalam dengan suntikan semangat kepada ahli UMNO supaya bersatu bagi memenangi Pilihan Raya Ke-13 (PRU-13) dan meminta rakyat menolak pakatan PAS-PKR-DAP.

Presiden UMNO yakin UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu menang besar jika ahli parti bersatu dan tidak bersengketa serta menyokong penuh siapa saja yang dipilih menjadi calon.

Dalam ucapannya, Najib menggariskan pentingnya undi diberikan kepada BN jika rakyat tidak mahu melihat negara diporakperandakan.

Semangat luar biasa

Menurut Najib, semangat dan sambutan terhadap UMNO kali ini amat luar biasa di kalangan ahli, manakala orang Melayu keseluruhannya melihat UMNO pulih dan mampu memimpin negara walaupun difitnah pembangkang.

Kepada rakyat, khususnya ahli dan penyokong UMNO, Najib bertanya sama ada mereka mahu akidah umat Islam sesat, masa depan gelap dan negara menjadi porak-peranda.

Justeru, beliau mengajak ahli parti dan rakyat bersama-sama UMNO dan BN bersatu menentang fitnah PAS, pluralisme PKR dan perkauman DAP.
Genggam tangan kanan

Pada akhir ucapan selama 50 minit itu, Najib mengajak ahli UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan mereka yang menonton siaran langsung menerusi televisyen, menggenggam tangan kanan dan meletakkannya di dada sambil berikrar untuk mempertahankan negara daripada dihancurkan pembangkang.

"Marilah, genggam tangan kanan kita dengan penuh yakin dan percaya... letakkan di dada kita. Satukan hati dan niat. Katakan daripada hati dan jiwa kita... demi Islam, demi Melayu, demi Malaysia, demi bumi bertuah ini, demi anak cucu kita... kita mesti sedia setia kepada perjuangan UMNO demi kesucian Islam kerana UMNO pertahankan Islam.

"Mesti taat kepada pemimpin UMNO demi kemenangan parti, mesti bersatu sesama ahli UMNO, jangan bersengketa kerana perpaduan adalah tiang seri perjuangan kita.

"Yakin dan percayalah, hanya UMNO mampu mempertahankan kesucian Islam. Hanya UMNO mampu membela untung nasib kaum lain. Katakan dalam jiwa kita, hidup dan matiku hanyalah untuk Islam. Pertahankan UMNO kerana UMNO pertahankan Islam," katanya.

Beliau juga berkata rakyat perlu yakin bahawa satu undi untuk PKR adalah undi untuk kerosakan 'akidah' dan kehancuran sosial, satu undi untuk Pas adalah undi untuk perpecahan umat Islam dan satu undi DAP adalah undi untuk penindasan bangsa.

Sementara itu, pada sidang media, Najib yakin momentum serta sokongan rakyat kepada BN akan berterusan dan membantu BN memenangi PRU-13 dengan majoriti dua pertiga.

Garis 7 rukun kemenangan

Posted: 01 Dec 2012 01:38 PM PST

Patuh kepada pemimpin antara petua BN terus dapat mandat PRU-13

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menggariskan tujuh rukun kemenangan untuk memastikan Barisan Nasional (BN) terus mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Rukun berkenaan ialah patuh kepada pemimpin, strategi yang tepat, fahami peranan dan tanggungjawab, kenali musuh, kukuhkan perpaduan, sentiasa bersiapsiaga dan berjuang habis-habisan.

Tujuh rukun itu dinyatakan Timbalan Presiden UMNO dalam ucapan penggulungan beliau pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di PWTC, semalam.

'Peperangan getir'

Katanya, tujuh rukun itu yang akan disebarkan kepada setiap pemimpin dan ahli adalah amat penting kerana 'peperangan' yang akan dihadapi nanti adalah sangat getir.
Memperincikan rukun itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap pemimpin dan ahli parti perlu taat dan setia serta melaksanakan keputusan dibuat pemimpin parti.

Antara lain, ia membabitkan tugas dan tanggungjawab yang perlu dilakukan, soal pemilihan calon dan kawasan pilihan raya yang ditetapkan untuk semua parti komponen.

"Bila mahu mencapai kemenangan besar, kita perlu laksanakan tugas dan tanggungjawab mengikut panduan ditetapkan. Prinsip ini juga dinyatakan dalam al-Quran iaitu kami dengar dan kami patuh sebagai bukti beriman kepada Allah SWT," katanya.

Mengenai strategi yang tepat, Muhyiddin berkata perkara itu sudah dibincangkan dengan peringkat kepemimpinan negeri ketika beliau turun padang ke seluruh negara.

"Apa yang penting ialah pertahankan segala kekuatan yang ada dengan menentukan kemenangan negeri dan kawasan yang dimiliki BN, selain merampas kawasan yang jatuh ke tangan pembangkang.

Kenali musuh

"Apa yang penting, apa juga keputusan dibuat pada peringkat nasional, diterjemahkan dalam bentuk tindakan berkesan oleh pemimpin negeri, bahagian dan cawangan," katanya.

Muhyiddin berkata, parti percaya semua ahli sudah memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk menghadapi cabaran hebat pakatan pembangkang, selain sudah mengenali siapa musuh yang bakal dihadapi dalam pilihan raya nanti iaitu PAS, PKR dan DAP.

"Selain kenali musuh atas nama, kita juga tahu gerakan mereka di setiap peringkat. Jadi, kita kena perhatikan dan jangan biarkan mereka tembusi kawasan kita dengan memperkukuhkan kubu kita," katanya.

Muhyiddin juga menyatakan penghargaan kepada Datuk Seri Najib Razak kerana memberi kepercayaan kepadanya sepanjang masa membantu Perdana Menteri dalam urusan negara dan parti.

"Ini sesuatu yang saya amat sanjung tinggi dan hargai," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan