Ahad, 2 Disember 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


4 juta anggota RELA menjelang tahun depan

Posted: 02 Dec 2012 01:21 AM PST

KUCHING: Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) menyasar bilangan anggotanya meningkat kepada empat juta orang tahun depan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot berkata, ketika ini Rela mempunyai lebih 3 juta anggota di seluruh negara.

"Rela yakin sasaran ini dapat dicapai tahun hadapan, tambahan pula kerajaan telah meluluskan Akta Baru Rela yang akan membawa Rela kepada anjakan paradigma fungsi dan peranannya yang lebih progresif," katanya pada majlis penjenamaan semula Rela peringkat negeri Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata, daripada tiga juta anggota itu, kira-kira dua juta anggota berumur bawah 40 tahun.

"Ini menunjukkan golongan muda semakin sedar dan berminat untuk sama-sama menyumbang bakti dan khidmat kepada keselamatan negara," katanya. - BERNAMA

Undi BN untuk kekalkan kecemerlangan pembangunan negara

Posted: 02 Dec 2012 01:03 AM PST

KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini digesa mengundi calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) sebagai tanda pengiktirafan mereka kepada pemerintahan cemerlang kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membangunkan negara, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, dalam tempoh empat tahun Najib menjadi Perdana Menteri, beliau melakukan beberapa transformasi dalam bidang ekonomi, penyampaian perkhidmatan kerajaan, politik dan pendidikan negara.

"Dalam tempoh yang dianggap singkat ini, beliau sudah berjaya mencapai sasaran lebih awal daripada tarikh sebenar yang ditetapkan sebelumnya.

"Sehubungan itu, rakyat Malaysia perlu bersatu menyokong kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN dalam PRU ke-13 nanti," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini hari ini sebagai mengulas ucapan penangguhan Najib sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 semalam.

Beliau berkata, ucapan Presiden UMNO itu cukup memberangsangkan dan berjaya memotivasi semua jentera parti untuk bergerak pantas menyahut gendang yang dipalu presiden.

Katanya, satu ba'iah dilakukan di akhir ucapan presiden yang menuntut komitmen semua anggota UMNO supaya bersatu dan menentukan kemenangan besar dalam pilihan raya umum nanti.

"Pembangkang tidak sekuat mana, namun masalah sesama sendiri hendaklah diselesaikan bagi memastikan akar umbi UMNO turut terdorong untuk bekerja dengan penuh bersemangat bagi menangkis semua tohmahan pembangkang," katanya.
Ahmad Zahid berkata, sumbangan Najib yang mendapat sanjungan pemimpin dan penduduk negara lain di dunia adalah pengiktirafan kepada UMNO.

Justeru, katanya, rakyat negara ini mesti menyanjung tinggi dan mengiktiraf kepimpinan Najib dengan memberi mandat semula kepada BN menubuhkan kerajaan selepas pilihan raya umum.

"Sepanjang ucapan Presiden, semua perwakilan tersuntik semangat sebagai manifestasi UMNO pulih sepenuhnya, semangat ini perlu dikekalkan jika mahu melihat Umno terus relevan untuk semua kumpulan sasaran demi kesejahteraan rakyat dan masyarakat dunia sejagat. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan