Ahad, 2 Disember 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


UMNO turut perjuang kaum lain

Posted: 02 Dec 2012 03:15 PM PST

Amanat Presiden parti perlu disampaikan kepada akar umbi

Kuala Lumpur: Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang berakhir kelmarin memberi isyarat jelas kepada rakyat bahawa parti itu tidak hanya memperjuangkan nasib bangsa Melayu, malah untuk seluruh warga Malaysia.

UMNO juga dilihat membawa satu perubahan besar pada perhimpunan kali ini apabila menonjolkan parti itu sebagai pejuang Islam sebenarnya, sekali gus menangkis pelbagai tohmahan dilemparkan pembangkang.

Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, berkata amanat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak perlu diterjemahkan dan disampaikan kepada akar umbi.

"Presiden parti menunjukkan UMNO juga memperjuangkan Islam, cuma berbeza dengan PAS pendekatan UMNO lebih bersederhana, misalnya parti itu tidak mendoakan keburukan serta kejatuhan lawannya.

"Bagi saya perhimpunan kali ini secara keseluruhannya memberi penekanan kepada persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan tiba pada bila-bila masa.

"UMNO sudah mencipta momentum sangat baik untuk berdepan pilihan raya, cuma bagaimana untuk memastikan semangat itu dapat dipertahankan sehingga tiba pilihan raya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Najib menutup tirai perhimpunan kelmarin dengan suntikan semangat kepada ahli UMNO supaya bersatu bagi memenangi PRU-13 dan meminta rakyat menolak pakatan PAS-PKR-DAP.
Presiden UMNO yakin UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu menang besar jika ahli parti bersatu dan tidak bersengketa serta menyokong penuh siapa saja yang dipilih menjadi calon.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Sivamurugam Pandian, pula berkata, beliau yakin UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini berada dalam keadaan cukup bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum.

Beliau berkata, perkara utama yang harus diberi tumpuan oleh UMNO dan BN kini adalah untuk memastikan masalah dalaman parti dapat diatasi sebaik mungkin serta berupaya menampilkan calon diterima rakyat.

"Seperti mana disuarakan pucuk pimpinan parti itu kini adalah sedikit kebimbangan terhadap segelintir ahli parti yang mungkin mensabotaj parti, terutama dalam pemilihan soal calon bertanding.

"UMNO sudah menjadi satu institusi dan sewajarnya mereka dilihat bukan saja memperjuangkan nasib orang Melayu malah seluruh rakyat Malaysia. Malah laungan hidup UMNO, hidup barisan, hidup Malaysia," katanya.

Najib mahu rakyat terus beri mandat

Posted: 02 Dec 2012 03:11 PM PST

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat memberikan mandat pemerintahan lima tahun lagi kepada Barisan Nasional (BN) demi masa depan negara.

Perdana Menteri berkata, ini adalah kerana kerajaan BN mempunyai pelbagai pengalaman mentadbir negara sejak 55 tahun lalu berbanding pakatan pembangkang yang dilihat tidak mempunyai asas persefahaman menguruskan hala tuju negara dengan baik.

Beliau berkata, kerajaan BN ikhlas untuk membantu semua rakyat dan percaya dalam tempoh hampir empat tahun ini, kejayaan terbukti apabila Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi 5.2 peratus, peningkatan dalam pelaburan serta peluang pekerjaan melebihi 300,000.

Makna satu undi

"Masa depan tidak boleh diperjudikan. Satu undi untuk pembangkang adalah satu undi untuk masa depan yang tidak menentu.

"Tetapi, satu undi buat BN adalah untuk masa depan yang lebih baik, selamat dan makmur," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Parti Progresif Penduduk (PPP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Turut hadir Presiden PPP, Datuk M Kayveas, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perlu sifar masalah

Najib berkata, semua 13 komponen BN perlu sifar masalah, sama ada dalaman atau sesama mereka untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Perdana Menteri berkata, sekiranya tiada masalah besar dalam parti atau tiada pergolakan sesama parti komponen, BN tiada halangan untuk menang besar dalam pilihan raya.

"Jika dulu kita letak songkok pun atau rakyat nampak saja simbol dacing (BN) mereka pasti memangkahnya dan kita boleh menang, namun kini semuanya sudah berubah kerana rakyat mahukan perkhidmatan yang terbaik daripada kerajaan," katanya.

Seramai 4,047 perwakilan dan pemerhati menghadiri perhimpunan sehari itu.

Mimpi ngeri PRU 2008

Najib berkata, BN tidak lagi mahu mengalami mimpi ngeri Pilihan Raya Umum 2008 dan sudah bermuhasabah serta beriltizam bangkit daripada peristiwa yang cukup kelam itu.

Katanya, prestasi lemah dalam pilihan raya itu bukan kerana pembangkang kuat, sebaliknya rakyat memberi mesej kepada BN supaya berubah sebagai parti yang mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian negara.

Sehubungan itu, katanya, sebagai pemimpin dan Pengerusi BN beliau turun padang untuk mendengar dan merasai sendiri denyut nadi rakyat yang berubah mengikut perkembangan semasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan