Selasa, 4 Disember 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Iskandar Malaysia bersedia jadi rantau yang rancak, menarik: Najib

Posted: 04 Dec 2012 02:24 AM PST

JOHOR BAHRU: Pertumbuhan Iskandar Malaysia sejak pengenalannya enam tahun lalu melepasi jangkaan dan koridor raya itu telah bersedia untuk menjadi rantau yang paling rancak dan menarik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Bercakap kepada media di luar acara Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang kelapan di sini, beliau berkata para tetamu yang menghadiri forum itu amat kagum dengan pembangunan rancak Malaysia.

"Mereka begitu kagum dengan apa yang mereka lihat di Iskandar Malaysia. Kita telah membawa mereka melawat dengan menggunakan helikopter dan mereka berkata Iskandar Malaysia telah melepasi jangkaan.

"Dengan tarikan seperti Taman Tema Keluarga Puteri Harbour, Johor Premium Outlet dan Legoland Malaysia, Iskandar Malaysia telah bersedia untuk mencapai matlamatnya," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Perdana Menteri berkata, terdapat beberapa perkembangan menarik di Iskandar Malaysia yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Contohnya, lebih ramai rakyat Singapura kini memilih untuk tinggal di Johor dan berulang setiap hari dari sini ke republik itu.

"Pelajar juga berulang alik setiap hari dari republik itu untuk menghadiri sekolah di Marlborough College di Nusajaya.
"Secara amnya, seiring dengan pembangunan antara kedua-dua negara, kita lihat Singapura terus menjadi hab untuk pembangunan komersil dan kewangan, dan kawasan-kawasan Iskandar Malaysia, akan menjadi kawasan kehidupan berkualiti tinggi untuk mereka (rakyat Singapura).

"Ini adalah situasi menang-menang (manfaat bersama), Johor akan mendapat manfaat daripada kebanjiran orang, bakat serta aliran masuk modal. Ia baik untuk masa hadapan Johor," kata beliau.

Ditanya sekiranya pertukaran dokumen hari ini untuk enam kerjasama di Iskandar Malaysia dengan jumlah nilai anggaran RM28 bilion bermakna jumlah pelaburan di koridor ekonomi itu telah melebihi RM100 bilion.

Najib berkata, satu majlis khas akan diadakan pada 11 Dis untuk beliau mengumumkan angka terbaru untuk jumlah pelaburan kumulatif Iskandar Malaysia.

"Angka itu nampak amat menggalakkan tetapi saya simpan dulu pengumuman saya itu. Satu majlis khas akan diadakan pada 11 Disember, eksklusif mengenai Iskandar Malaysia," katanya.

Antara perjanjian yang dimeterai hari ini ialah antara Sunway City Sdn Bhd dan Iskandar Asset Sdn Bhd untuk memajukan Sungai Pendas, berdekatan Medini, dengan nilai pembangunan kasar RM12 bilion.

Lain-lain memorandum persefahaman ialah antara UEM Land Bhd dan Chinamall Holdings Private Ltd untuk memajukan China Mall, sebuah pusat perdagangan dan pameran di Nusajaya.

UEM Land, Iskandar Investment Bhd dan Telekom Malaysia Bhd turut memeterai perjanjian untuk menyediakan infrastruktur komunikasi dan ICT bagi merealisasikan aspirasi Nusajaya yang Pintar dan Terhubung.

UEM Land, pemaju induk Nusajaya, turut memeterai perjanjian usaha sama dengan Fastrack Autosport Pte Ltd, yang dikuasai oleh bilionair Singapura, Peter Lim, untuk memajukan Motorsport City bernilai RM3.5 bilion di Gerbang Nusajaya. - BERNAMA

Rangka tindakan kebolehpasaran siswazah dilancar

Posted: 04 Dec 2012 02:07 AM PST

SEPANG: Kerajaan hari ini melancarkan 'Graduate Employability Blueprint 2012-2017' (Rangka Tindakan Kebolehpasaran Siswazah) bagi menangani isu tenaga kerja mahir dan profesional negara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelan itu menggariskan empat intipati membabitkan sistem pengajian yang berupaya melahirkan modal insan berkualiti; berdaya saing secara global dan memenuhi keperluan negara; dan mampu menyediakan peluang kerjaya impian kepada siswazah.

Pelan itu juga akan memastikan wujud satu kurikulum yang mampu melahirkan individu yang bukan hanya pakar dalam ilmu pengetahuan tetapi juga berkualiti serta mempunyai sifat yang diperlukan dalam bidang pekerjaan, katanya ketika berucap melancarkan pelan itu, di sini.

Mohamed Khaled berkata, pelan itu juga bertujuan mewujudkan sistem pengajian yang dapat bertindak secara berkesan terhadap perubahan ekonomi dan peluang pekerjaan di negara ini.

Katanya, sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan rangka tindakan itu.

Selepas enam tahun pelaksanaan, rangka tindakan itu akan dinilai, katanya.

Bagi menyokong kelancaran pelaksanaan rangka tindakan itu, beberapa program kebolehpasaran graduan dan kebolehdapatan kerja dilaksana, antaranya Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE), iaitu program kerjasama antara universiti dan industri, katanya.
"Sehingga kini enam ICoE ditubuhkan dalam bidang automotif, elektrik dan elektronik serta pemborongan dan peruncitan iaitu ICoE-Infineon dengan Universiti Malaysia Perlis, ICoE-Infineon dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka, ICoE-Sapura dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP), ICoE-Miyazu dengan UMP, ICoE-Mydin dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Mara, dan ICoE-MRCA dengan UUM dan Kolej Universiti Segi," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Mohamed Khaled berkata diharapkan dengan pelaksanaan pelan itu, segala masalah yang dibangkitkan industri selama ini berhubung tenaga kerja yang dikeluarkan universiti tempatan dapat ditangani. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan