Selasa, 4 Disember 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


WIEF jana projek RM28b

Posted: 04 Dec 2012 02:56 PM PST

Johor Bahru: Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ke-8 yang bermula semalam, menyaksikan enam memorandum persefahaman (MoU) dimeterai membabitkan projek dianggarkan bernilai RM28 bilion.

Majlis pertukaran dokumen antara beberapa firma tempatan dan asing itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta pemimpin negara yang hadir pada forum tahunan berkenaan.

Antara memorandum berkenaan termasuk yang dimeterai antara Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan NanoMalaysia Bhd untuk bekerjasama bagi mengenal pasti penerima Program Offset dalam industri berasaskan teknologi nano daripada pelbagai sektor.

Tandatangani perjanjian Sunway City Sdn Bhd memeterai perjanjian langganan dan pemegang saham bersama Iskandar Asset Sdn Bhd untuk mereka bentuk konsep, mengurus, melaksana dan memajukan projek Sungai Pendas yang mempunyai potensi nilai pembangunan kasar (GDV) RM12 bilion.

UEM Land Bhd pula memeterai MoU bersama firma China, Chinamall Holding Pt Ltd untuk membangunkan China Mall, iaitu sebuah pusat dagangan dan pameran produk keluaran republik itu di Nusajaya, Iskandar Malaysia dengan nilai anggaran RM562 juta.

Pada masa sama, UEM Land juga memeterai perjanjian kerjasama dengan Iskandar Investment Bhd (IIB) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) untuk melaksana infrastruktur komunikasi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta beberapa perkhidmatan telekomuninasi bagi merealisasikan aspirasi Nusajaya sebagai bandar raya pintar dan terhubung.

Usaha sama juga termeterai bagi kerjasama Infrastruktur dan Perkhidmatan Bandar Raya Pintar+Terhubung di Nusajaya antara UEM Land, IIB, TM, Centions Co Ltd dan Cisco System International BV untuk meninjau peluang menyediakan prasarana bandar raya pintar, menubuhkan sebuah syarikat operasi perkhidmatan terurus serta menubuhkan sebuah Pusat Inovasi Global (GIC) Nusajaya.
Perjanjian terakhir membabitkan pembangunan Motorsport City bernilai RM3.5 bilion di Gerbang Nusajaya yang dimeterai antara UEM Land dan firma Singapura, Fastrack Autosport Pt Ltd.

Pada majlis pertukaran dokumen berkenaan, pemandu kereta lumba Formula One (F1) McLaren, Lewis Hamilton menghadiahkan cenderamata sepasang jaket yang ditandatanganinya kepada Najib bagi pihak UEM Land.

Pelumba kelahiran United Kingdom itu hadir sebagai tanda sokongannya terhadap projek Motorsport City.

Forum tiga hari itu, disertai lebih 2,000 delegasi dari 86 negara. Antara pemimpin yang hadir adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Singapura Thurman Shanmugaratnam dan Presiden Comoros, Dr Ikililou Dhoinine.

Fahaman syiah menular di Perlis

Posted: 04 Dec 2012 02:55 PM PST

Kangar: Jabatan Mufti Perlis mengesan gerakan membawa masuk fahaman Syiah yang difatwakan haram ke negeri ini.

Beberapa pengikut Syiah dikesan mengedar risalah berkaitan fahaman itu di beberapa majlis terutama anjuran jabatan itu sejak dua hari lalu.

Timbalan Mufti Perlis, Roslan Esa, berkata risalah bertajuk Forum Hal Ehwal Islam (Mencintai Sahabat Rasulullah)' yang diedar itu turut mengguna pakai nama Jabatan Mufti Perlis sebagai penganjur bagi mengelirukan umat Islam.

Roslan berkata, ratusan risalah diedar kumpulan yang disyaki penganut Syiah dari Kedah itu dalam dua majlis anjuran pihaknya di sekitar daerah ini.

"Kali pertama risalah itu diedar pada majlis di Masjid Tuanku Syed Putra, di sini, malam kelmarin, sebelum tindakan itu sekali lagi dikesan ketika seminar 'Mencintai Sahabat Nabi' di Dewan Warisan di sini, pagi tadi.

"Kita sudah buat laporan polis berhubung tindakan kumpulan terbabit termasuk penggunaan nama Jabatan Mufti Perlis yang dikhuatiri bukan saja mengelirukan, malah berpotensi menimbulkan ancaman.

"Malah, perkara itu akan turut dimaklumkan kepada Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) untuk tindakan susulan kerana dakyah dibawa kumpulan itu berbahaya dan boleh menyesatkan akidah umat Islam," katanya di sini, semalam.
Risalah bertajuk 'Forum Hal Ehwal Islam (Mencintai Sahabat Rasulullah)' itu mengandungi empat tajuk utama iaitu Pandangan Syiah Terhadap Sahabat, Tuduhan Terhadap Syiah Tentang Kemurtadan Para Sahabat, Pendirian Syiah Terhadap Perbalahan Para Sahabat dan Mengisahkan Keburukan Para Sahabat.

"Kita percaya wujud gerakan tersembunyi yang berusaha menyebarkan fahaman berkenaan dan kumpulan itu dilihat semakin berani melakukan aktiviti itu secara terbuka termasuk di majlis rasmi serta tempat ibadat.

"Kita yakin kumpulan ini sedang berusaha menerapkan ajaran Syiah ke seluruh Malaysia dan mereka kini mula menyebarkan fahaman berkenaan di Perlis selepas didakwa semakin kukuh di Kedah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan