Utusan Online - Utara |
- Keunikan menarik ayam serama
- Polis tahan suspek pecah rumah
- Jangan terpedaya fitnah berterusan pembangkang
Posted: 27 May 2013 10:51 AM PDT Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR Peserta menunggu giliran untuk ayam serama masing-masing diadili dalam Pertandingan Kesenian dan Kecantikan Ayam Serama di pekarangan Menara Alor Setar baru-baru ini. - UTUSAN/Shahni Farhana Mat Sahir ALOR SETAR 27 Mei - Keunikan dan kebijaksanaan dimiliki ayam serama sering menjadi perhatian orang ramai terutama dalam kalangan peminatnya yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia. Biarpun harga haiwan itu mencecah ribuan ringgit namun kecantikan yang ada pada badannya ketika beraksi di pentas gelanggang membuatkan ayam serama mempunyai peminat tersendiri. Malah, penganjuran pertandingan ayam serama sering diadakan apabila terdapat banyak permintaan daripada peminat ayam yang bersaiz kecil dan ringan itu. Menara Alor Setar tidak ketinggalan untuk sekali lagi menganjurkan pertandingan 'Kesenian dan Kecantikan Ayam Serama' di pekarangan bangunan itu yang turut mendapat kerjasama Kelab Serama Kedah (KSK) di sini, baru-baru ini. Penganjuran kali ini mempertandingkan lapan kategori iaitu Serama Anak A, Serama Anak B, Serama Remaja, Serama Muda, Serama A, Serama B, Serama Tak Kira Lawi dan Serama Induk. Pengurus Besar Menara Alor Setar, Haslinda Abdul Rashid berkata, pertandingan berkenaan antara lain dapat mempromosikan industri pelancongan negeri ini. "Ini kerana terdapat ramai peminat ayam serama dari seluruh negara seperti dari Kuala Lumpur, Kelantan, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Johor Bahru," katanya. Sementara itu, Pengerusi KSK, Abdul Ghani Yob berkata, pihaknya sentiasa mendapat permintaan daripada peminat ayam serama untuk mengadakan pertandingan seumpama itu. Menurutnya, pertandingan tersebut merupakan kali empat diadakan di Kedah dalam tempoh lima bulan. "Kita akan mengadakan satu lagi pertandingan yang sama di Kuala Kedah, di sini sebelum kedatangan bulan Ramadan nanti," katanya. Dalam pada itu, para peminat ayam serama yang ditemui mengakui mereka sanggup menempuh perjalanan jauh semata-mata untuk menyertai pertandingan tersebut. Seorang peserta dari Kelantan, Nasarudin Awang, 45, berkata, jarak bukan penghalang baginya menyertai pertandingan itu bersama rakan-rakannya. Katanya, penyertaan mereka bukan untuk meraih gelaran juara tetapi lebih kepada mencari pengalaman dan melihat keunikan yang ada pada ayam serama. "Saya tidak datang berseorangan tetapi bersama lima rakan yang juga peminat ayam serama. Kami membawa lebih lima ekor ayam serama untuk dipertandingkan," katanya. Zahari Ahmad, 54, pula berkata, dia telah memelihara dan memasuki pertandingan ayam serama sejak enam tahun lalu. Menurutnya, ayam serama peliharaannya pernah memasuki pertandingan di Kelantan dan Terengganu serta pernah meraih gelaran juara. "Dengar sahaja ada pertandingan ayam serama, tidak kiralah jauh atau dekat saya pasti akan menyertainya" katanya. Seorang lagi peminat ayam serama, Hasrul Nizam Azizan, 39, berkata, minatnya terhadap haiwan itu timbul apabila melihat kecantikannya. Katanya, pada pertandingan kali ini tiga ekor ayam seramanya memasuki pertandingan bagi kategori Serama Tak Kira Lawi, Serama Muda dan Serama Anak B. "Saya sudah jelajah satu Malaysia untuk menyertai pertandingan ayam serama dan pada pertandingan sebelum ini ayam serama peliharaan saya pernah merangkul gelaran juara dan naib juara," katanya. |
Polis tahan suspek pecah rumah Posted: 27 May 2013 10:51 AM PDT IPOH 27 Mei - Walaupun berjaya memecah masuk sebuah rumah di Taman Metro Pengkalan, Pusing dekat sini Sabtu lalu, seorang penjenayah akhirnya berputih mata apabila tindakannya itu disedari oleh jiran mangsa. Tindakan pantas jiran terbabit membolehkan polis bergegas ke tempat kejadian dan menahan lelaki berusia 37 tahun itu yang cuba melarikan diri. Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, berlaku kira-kira pukul 2.30 petang ketika pemilik rumah tersebut tiada di kediamannya. Beliau berkata, polis bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan oleh jiran mangsa dan mendapati suspek masih berada dalam rumah tersebut. "Suspek cuba melarikan diri melalui bumbung rumah sebelum dia terjun ke dapur dan menyembunyikan diri di bawah katil di bilik hadapan. "Ketika cuba ditangkap, berlaku pergelutan antara suspek dan polis sehingga menyebabkan lelaki itu mengalami kecederaan pada rusuk kiri manakala seorang anggota polis patah pergelangan kaki kanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Shaharon Anuar memberitahu, suspek dan anggota polis yang cedera dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk menerima rawatan. "Suspek yang juga seorang buruh dan berasal dari Tanjung Tualang ditahan reman sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan," katanya. |
Jangan terpedaya fitnah berterusan pembangkang Posted: 27 May 2013 10:51 AM PDT PONTIAN 27 Mei - Pembangkang perlu segera menghentikan segala pembohongan yang mengelirukan rakyat mengenai kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 malah tindakan menganjurkan siri perhimpunan haram adalah amat dikesali. Ketua Penerangan dan Publistiti BN, Datuk Ahmad Maslan berkata, tidak cukup dengan itu, pembangkang menggunakan saluran media sosial untuk terus menabur fitnah kerana perkara yang didakwa berlaku pada hari pengundian pada 5 Mei lalu adalah palsu. "Tuduhan pembangkang yang mendakwa mereka berhak menang melalui undi popular juga merupakan satu pembohongan kepada rakyat. Namun dalam beberapa dakwaan yang dibuat, didapati terkena 'batang hidung' sendiri yang menunjukkan mereka sengaja hendak mencetuskan suasana huru-hara semasa hari pengundian. "Rakyat tidak seharusnya terpedaya dengan apa yang disampaikan oleh mereka dan menapis maklumat yang disebarkan sama ada fakta atau 'auta' dari pihak pembangkang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis konvokesyen pelajar-pelajar Darjah Khas Daerah Pontian di MRSM Pontian, di sini baru-baru ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas siasatan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai insiden lampu padam semasa pengiraan undi yang sebenarnya dilakonkan lebih awal untuk disebarkan di internet. Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, tindakan tegas perlu diambil keatas mereka yang menyebarkan di internet termasuk 'pelakon' lampu padam kerana terlibat dalam dakyah pembangkang yang mahu meraih simpati rakyat sedangkan tiada satu pun laporan polis dibuat berkaitan kejadian tersebut. "Mereka yang melakukan babak lampu padam sebenarnya telah terpedaya dan ditipu oleh pembangkang yang telah bersedia dengan pelbagai dakwaan apabila mereka gagal menawan Putrajaya," tegasnya. Kata beliau lagi, rakyat sewajarnya menolak segala bentuk penyebaran maklumat tidak berasas yang sengaja dilakukan oleh golongan yang kecewa termasuk mengheret rakyat ke pentas jalanan bagi menumbangkan kerajaan sedia ada. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan