Khamis, 16 Mei 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Legasi jambatan kereta api tertua

Posted: 15 May 2013 01:21 PM PDT

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

JAMBATAN Victoria di Karai, Kuala Kangsar ini masih tersergam kukuh dan membangkitkan pelbagai nostalgia kepada penduduk daerah tersebut.

KUALA KANGSAR 15 Mei - Sekilas pandang, pekan Karai di sini yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar raya Ipoh, hanyalah sebuah pekan kecil di tepi tebing Sungai Perak.

Tidak seperti dua kawasan berhampiran iaitu Sungai Siput dan Padang Rengas yang dilihat lebih pesat berkembang, Karai umpama sebuah pekan mati.

Sedangkan satu ketika dahulu, nama Karai amat terkenal sehingga wujud dalam peta-peta lama negeri Perak berbanding dengan bandar-bandar lain di Malaysia.

Namun, di sebalik keadaannya itu, tersembunyi keistimewaan yang menyebabkan kawasan tersebut tetap menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Salah satu tarikan yang terdapat di Karai ialah Jambatan Victoria iaitu jambatan yang mengambil nama Queen Victoria dan merupakan antara binaan terbaik dari segi kejuruteraan satu ketika dahulu.

Menurut seorang penduduk, Ahmad Tahir Abdu, jambatan kereta api itu disebut juga Jambatan Enggor kerana letaknya di Enggor di sini.

Semasa zaman kanak-kanak iaitu sekitar tahun 1970-an, di jambatan itulah saya dan kawan-kawan bermain dan berbasikal untuk menyeberangi Sungai Perak ke pekan Karai.

Dan boleh dikatakan setiap malam juga kami akan menggunakan jambatan ini untuk melepak di kedai kopi mamak sambil makan kundas dan mendengar alunan radiogram dan ada antara kawan-kawan saya yang berjoget lambak. Namun itu dulu, kini jambatan ini semakin dilupakan," luah Ahmad Tahir yang merupakan pengumpul barang-barang antik dan klasik.

Mengikut sejarahnya, kata Ahmad Tahir, jambatan yang merentangi Sungai Perak ini mula dibina pada Disember 1897 tetapi tidak dapat disiapkan tepat pada masanya kerana berlaku banjir besar ketika itu.

Banjir yang melanda menyebabkan air Sungai Perak naik mendadak dan melimpah sehingga ke tebing.

Jurutera yang bertanggungjawab terhadap pembinaan jambatan ini iaitu GW Fryer, Divisional Engineer dan CR Hanso telah mengarahkan agar kerja-kerja pembinaan ditunda.

Hanya pada tahun 1900 jambatan itu siap dibina dan kemudiannya dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Idris Murshidul Azam Shah pada 21 Mac 1900.

Dengan siapnya jambatan ini, maka lengkaplah perjalanan kereta api dari Enggor ke Kuala Kangsar sebelum mula digunakan sepenuhnya bagi perjalanan dari Perai, Pulau Pinang ke Johor Bahru, Johor pada tahun 1910.

Pembukaan jambatan ini telah membawa banyak faedah kepada perkembangan ekonomi dan membuka laluan bagi pembangunan lebih pesat dan pertumbuhan bandar-bandar timah di Semenanjung Tanah Melayu.

Semasa serangan tentera Jepun di Perak pada tahun 1941, tentera British telah meletupkan jambatan ini untuk melambatkan kemaraan tentera Jepun," kata Ahmad Tahir.

Sehingga kini, terdapat beberapa kubu asal yang dibina oleh tentera British untuk mengawal jambatan ini.

Bagaimanapun, pada 2002, sebuah jambatan konkrit yang baharu telah dibina bagi menggantikan jambatan yang telah berusia lebih dari 100 tahun itu.

Pembinaan jambatan baharu itu menyebabkan peranan Jambatan Viktoria semakin dipinggirkan.

Sehinggalah ketika ini jambatan ini hanya digunakan oleh penduduk di seberang Sungai Perak untuk membeli barangan harian di pekan Karai.

Jambatan ini juga dijadikan lokasi kepada pengamal fotografi untuk mengabadikan seni bina ini di dalam koleksi gambar mereka. Saya rasa sesuatu perlu dilakukan supaya sejarah dan peranan jambatan ini mampu dijadikan satu sejarah negara untuk generasi masa depan," katanya.

Menurut beliau, sutradara terkenal, Mamat Khalid juga pernah memilih Jambatan Victoria sebagai latar pengembaraan filem Zombi Kampung Pisang pada 2007.

Exco perlu lipat gandakan usaha

Posted: 15 May 2013 01:21 PM PDT

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
utusanperlis@utusan.com.my

ARAU 15 Mei - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menasihatkan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu dilantik supaya melipatgandakan usaha dan memberikan komitmen '150 peratus' bagi memastikan Perlis tidak ketinggalan dari negeri-negeri lain.

Titah baginda, ini kerana Perlis perlu membangun untuk menjadi sebuah negeri maju sebelum Malaysia mencapai negara maju pada 2020 yang memerlukan komitmen semua pihak untuk memastikan hasrat tersebut terlaksana.

"Beta tahu segala usaha telah dilakukan sedaya upaya tetapi kali ini perlu bekerja keras, kita kena 'berlari' supaya tidak ketinggalan lagi," titah baginda selepas Upacara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Exco di Istana Arau di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir Menteri Besar, Azlan Man dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid.

Sehubungan itu, titah baginda, barisan Exco dan wakil-wakil rakyat perlu memberi kerjasama kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri dalam sebarang usaha ke arah membagunkan negeri dan rakyat.

"Bagi beta, Exco, wakil rakyat dan juga pegawai kerajaan yang tidak memberikan sokongan atau kerjasama terhadap sebarang usaha membangunkan negeri ini boleh dianggap sebagai tindakan 'sabotaj'," titah baginda.

Dalam masa sama, baginda turut meminta wakil-wakil rakyat mengamalkan konsep 'turun padang' untuk melihat permasalahan rakyat supaya tindakan segera dapat diambil.

"Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sudah lepas, rakyat telah memilih kita, jadi jangan lupa untuk memberikan perkhidmatan kepada mereka," titah baginda.

Titah Tuanku Syed Sirajuddin, wakil-wakil rakyat seharusnya memberikan bantuan sewajarnya kepada masyarakat walaupun kadang kala ia begitu sukar untuk ditunaikan.

"Beta faham, memang sukar untuk memuaskan hati semua pihak, tetapi harus diingat, kita perlu memberikan bantuan sebaik mungkin, kena usaha atau mencari jalan penyelesaian," titah baginda.

Pusat Khidmat, Aduan BN tetap dibuka

Posted: 15 May 2013 01:21 PM PDT

IPOH 15 Mei - Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak di Taman Canning di sini, akan beroperasi seperti biasa meskipun kawasan tersebut dimenangi pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ketua Urus Setianya, Mohd. Rawi Abdullah berkata, walaupun kecewa dengan keputusan tersebut namun semangat pihaknya membantu menyelesaikan masalah rakyat seperti yang dilakukan sebelum ini tidak pernah putus.

Sehubungan itu, tegas Mohd. Rawi, pihaknya tetap akan membuka pusat khidmat dan aduan berkenaan meskipun terdapat beberapa pusat lain bertindak menamatkan operasi mereka sebaik sahaja kalah.

"Sekiranya semua pusat khidmat ditutup, sudah tentu akan memberi kesan kepada rakyat. Setiap hari kita dikunjungi rakyat yang ingin mengadu dan meminta bantuan.

"Sehubungan itu, walaupun dalam pilihan raya umum lalu kawasan ini dimenangi pembangkang, pusat ini akan beroperasi seperti biasa bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam PRU-13, DAP mempertahan kerusi Parlimen Ipoh Barat dengan majoriti 29,038 undi menerusi calonnya, M. Kulasegaran.

Menurut Mohd. Rawi, Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak itu yang beroperasi sejak 2009 ditubuhkan bagi membantu rakyat tanpa mengira parti politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan