Jumaat, 17 Mei 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Jaminan kepada penduduk

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusan.com.my

Astaman Abdul Aziz (tengah ) melihat dokumen sambil diperhatikan Mohd. Khay Ibrahim (kiri) dan Naharudin Abdullah ketika sidang akhbar mengenai perancangan Pembangunan Kampung Baru dan Isu Tanah Mendap di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH.

KUALA LUMPUR 16 Mei - Sebuah pelan induk berhubung pembangunan Kampung Baru akan dibentangkan kepada para penduduk sekitar mulai Jun tahun hadapan.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB), Datuk Astaman Abdul Aziz berkata, idea dan perancangan mengenai pembangunan tersebut telah dirangka.

"Kita akan bertemu dengan para penduduk Kampung Baru bagi memberi penerangan secara terperinci mengenai perkara tersebut pada bulan hadapan sehingga September ini.

"Perkembangan mengenai perkara ini perlu dijelaskan kepada para penduduk dari semasa ke semasa selain mendapatkan reaksi berhubung pembangunan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai Perancangan Pembangunan Kampung Baru dan Isu Tanah Mendap di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Naharudin Abdullah dan Pengerusi Majlis Penasihat PKB, Datuk Mohd. Khay Ibrahim.

Menurut Astaman, sebanyak tujuh pemaju telah disenaraikan bagi tujuan pembangunan Kampung Baru.

"Kebanyakan daripada pemaju tersebut terdiri daripada syarikat milik kerajaan (GLC) yang berpotensi untuk melaksanakan usaha tersebut," jelasnya.

Katanya, ia merupakan jaminan kerajaan untuk melaksanakan pembangunan semula selepas mendapat persetujuan penduduk.

"Para penduduk mempunyai hak untuk menentukan kaedah pembangunan yang sesuai dengan kehendak mereka. Tiada pemilik dan pewaris yang terpinggir selain warisan, budaya Melayu dan kemuliaan Islam dikekalkan," ujarnya.

Sementara itu, beliau turut mengulas kejadian tanah mendap di Kampung Pindah, Kampung Baru yang berlaku pada dua tahun lalu.

Astaman berkata, tanah mendap di situ berlaku kerana terowong lama di kawasan tersebut telah berusia 30 tahun berikutan tiada kerja-kerja penyelenggaraan menyebabkan terowong itu mendap.

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mencadangkan untuk membina lencongan terowong besar dan terowong lama akan ditutup," katanya.

Katanya, projek JPS yang menelan kos sebanyak RM180 juta akan dipantau oleh PKB kerana ia melibatkan para penduduk Kampung Baru, telah dimulakan dan dijangka siap tiga tahun lagi.

Pihak berwajib didesak henti segera - UIAM

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

GOMBAK 16 Mei - Seluruh warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini mendesak pihak bertanggungjawab agar segera menghentikan kerja-kerja penerokaan hutan seluas lima hektar dekat kampus induk universiti itu.

Mereka berpandangan tidak ada cara lain bagi menyelamatkan UIAM kecuali dengan menghentikan serta merta kerja-kerja penerokaan tanah yang dipercayai dilakukan secara haram itu.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UIAM, Profesor Madya Dr Baharuddin Aziz berkata, di sebalik pendedahan kepada media berhubung isu itu pihaknya tidak berniat meminta bantuan dalam bentuk kewangan.

Menurutnya, sebaliknya pihak berwajib diminta segera menghentikan kerja-kerja penerokaan tanah secara besar-besaran dan agresif berhampiran kampus itu.

"Kami juga menolak dakwaan kononnya UIAM kini tidak lagi mampu untuk membiayai kos bagi menangani masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama itu sehingga memerlukan bantuan dari pelbagai pihak.

"Wang tidak mampu mengembalikan kelestarian alam sekitar dan kita tidak perlu terus membazirkan wang bagi membiayai kos teknikal dan kepakaran bagi menangani masalah ini.

"Sedangkan yang harus ditangani adalah punca pencemaran," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia hari ini berhubung kawasan sekitar kampus UIAM di sini diancam masalah pencemaran alam sekitar yang teruk.

Ini ekoran pelbagai aktiviti penerokaan hutan seluas lima hektar berdekatan dengan kampus tersebut.

Sementara itu Dekan Kulliyah Kejuruteraan UIAM, Profesor Emeritus Datuk Wira Ir. Dr. Md. Noor Salleh berkata, walaupun masalah itu dapat ditangani secara undang-undang dan tindakan penguatkuasaan, namun dengan menghentikan terus aktiviti penerokaan adalah jalan terbaik bagi menyelamatkan UIAM.

Menurutnya, mereka tidak percaya atau tidak menerima jaminan dari pada syarikat pemaju dan kontraktor kononnya kerja-kerja penerokaan yang dilakukan tidak menjejaskan alam sekitar.

"Alasan yang diberikan mereka akan mengambil langkah-langkah tertentu ketika kerja-kerja penerokaan adalah pembohongan semata-mata.

"Di mana-mana sekalipun termasuk di Kelantan mahupun Kedah penerokaan tanah tetap menyebabkan alam sekitar terjejas dan apa yang berlaku di UIAM menggambarkan sikap tamak dan rakus pihak tertentu," katanya.

Menurutnya, apa yang menimpa Pusat Rekreasi Mimaland yang terletak di Batu 12 Gombak sedikit masa lalu harus dijadikan iktibar.

"Mimaland yang dahulunya terkenal dengan keindahan alam semula jadi akhirnya lenyap dari muka bumi ini akibat penerokaan tanah yang tidak terkawal.

"Adakah kita mahu UIAM menerima nasib sama? Ini kerana adalah tidak mustahil untuk kampus ini 'tenggelam' jika penerokaan tanah secara besar-besaran itu tidak dihentikan segera dari sekarang," katanya.

Kerajaan pakatan tidak ada kesepakatan - Johan

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

Johan Abd. Aziz (kanan) melayan para tetamu dalam majlis jamuan kesyukuran kemenangannya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Hulu Langat, Selangor, kelmarin - UTUSAN/Hafiz Johari

HULU LANGAT 16 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz menempelak kerajaan pakatan Selangor yang mengambil masa terlalu lama untuk membentuk barisan Exco kerajaan negeri yang baharu.

Johan berkata, perkara itu menunjukkan tiada kesepakatan antara mereka untuk mengagihkan kerusi Exco selepas berlaku kontroversi dalam pemilihan Menteri Besar sebelum ini.

"Pakatan apa macam ini yang mengambil masa kira-kira dua minggu untuk membentuk barisan Exco," katanya ketika berucap dalam majlis kenduri kesyukuran diatas kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Lebih 3,000 pengundi dan penyokong beliau hadir dalam majlis tersebut termasuk bekas calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hulu Langat, Adhaliza Mohd. Nor.

Dalam perkembangan sama, Johan turut menggambarkan sikap hipokrit pakatan pembangkang yang mendakwa PRU-13 dipenuhi penipuan, namun sebaliknya menerima kemenangan di tiga negeri.

"Kalau tidak mengiktiraf keputusan PRU-13, mengapa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor, baru-baru ini.

"Dalam sidang DUN akan datang, saya akan mencabar agar DUN dibubarkan dan biarlah diadakan pilihan raya kecil di negeri Selangor sekalipun untuk menentukan pentadbirnya.

"Saya mohon pakatan pembangkang hentikanlah menganiaya rakyat dengan mengheret mereka ke siri demonstrasi yang diadakan dan terimalah hakikat yang mereka tidak layak untuk mentadbir negara," katanya.

Sementara itu, Johan turut menafikan kenyataan sesetengah pihak bahawa kemenangannya dalam PRU-13 lalu adalah nasib.

"Saya sangkal sekeras-kerasnya kerana saya menang disebabkan pemilihan rakyat, malah terdapat peningkatan di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) berbanding PRU-12.

"Sokongan kaum India yang sebelum ini kurang memberangsangkan juga bertambah baik dan saya menjalankan tugas dengan amanah kepada rakyat," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan