Utusan Online - Kota |
Task Force Warga Asing ditubuh Posted: 30 May 2013 11:40 AM PDT Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN Mhd. Amin Nordin KUALA LUMPUR 30 Mei - Sebuah pasukan khas yang dikenali sebagai Task Force Warga Asing telah ditubuhkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menangani isu penglibatan warga asing dalam aktiviti penjajaan. Pasukan tersebut turut dianggotai oleh beberapa agensi kerajaan lain melibatkan Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, penubuhan pasukan khas tersebut bertujuan menangani dengan lebih serius isu warga asing yang terlibat dalam aktiviti penjajaan di sekitar ibu kota, termasuk mengadakan operasi secara berjadual. "Pihak DBKL tidak mengiktiraf warga asing dalam aktiviti penjajaan ini. Kebanjiran warga asing telah mendatangkan impak yang tidak baik kepada ekonomi khususnya kepada pendapatan kaum penjaja tempatan. "Ada sebahagian tapak-tapak penjaja ini telah diambil oleh warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram kerana DBKL tidak mengeluarkan lesen kepada penjaja warga asing," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai operasi tindakan ke atas penjaja warga asing, dikenali sebagai Ops Tegas di sini hari ini. Menurut Mhd. Amin, pihaknya mendapati kebanyakan penjaja tempatan yang mempunyai lesen perniagaan turut menggunakan khidmat warga asing sebagai pembantu mereka. "Sehubungan itu, DBKL akan mengambil tindakan ke atas mana-mana penjaja warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah, pas lawatan atau tidak sepatutnya berada di premis penjajaan," jelasnya. Katanya, modus operandi pasukan tersebut dijalankan di dalam dua peringkat iaitu penguatkuasaan berskala kecil dan berskala besar. Sementara itu, dalam Ops Tegas yang dijalankan di dua lokasi iaitu Jalan Pasar dan sekitar Jalan Masjid India melibatkan 32 anggota penguat kuasa, sebanyak sepuluh pekerja dan penjaja warga asing ditahan. Sebanyak 70 pemegang lesen penjaja pula dikenakan kompaun manakala lapan buah perniagaan dikenakan tindakan sita. |
Posted: 30 May 2013 11:40 AM PDT Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN KUALA LUMPUR 30 Mei - Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam Fasa 1 di sini yang mendakwa tidak menerima bil air daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak lapan bulan lalu khuatir jika bil yang akan diterima nanti melampaui kemampuan untuk mereka membayarnya. Penduduk mendakwa, sebelum kejadian ini berlaku, mereka hanya membayar sekitar RM40 untuk penggunaan selama dua bulan. Menurut mereka, kejadian sama pernah berlaku namun hanya untuk beberapa bulan sahaja. Tinjauan Utusan Malaysia ke PPR tersebut mendapati, rata-rata penduduk yang ditemui berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya segera menyelesaikan perkara tersebut kerana setiap tahun pasti masalah itu akan berlaku tetapi kali ini lebih teruk lagi. Seorang pemilik kedai, Siti Aminah Zakaria, 63, berkata, kejadian tersebut menambahkan kebimbangan apabila dia terpaksa menanggung bil air bagi kedai dan rumahnya. "Bil air kedai kira-kira RM200 sebulan, bayangkan jika lapan bulan tak bayar? "Memanglah penduduk boleh membuat bayaran sendiri di ibu pejabat DBKL di Kampung Baru, namun dengan keadaan saya yang tidak mampu untuk berjalan sendiri menyukarkan saya untuk berbuat demikian," katanya. Sementara itu, Zainal Abidin, 64, yang tinggal di Blok 4 PPR itu berkata, dia telah beberapa kali berjumpa dengan pegawai berkaitan bagi mengutarakan masalah itu namun jawapan yang diterima mendukacitakan. "Saya diberitahu mereka kekurangan kakitangan untuk memeriksa meter air yang terdapat di PPR ini. "Alasan tersebut tidak munasabah kerana DBKL boleh mengambil pekerja pada bila-bila masa sahaja," ujarnya. Seorang pemandu bas persiaran, Sanizan Yunus, 31, pula berkata, akibat tidak menerima bil air, wang yang telah diperuntukkan untuk tujuan itu telah digunakan untuk kegunaan lain. "DBKL seharusnya melihat perkara ini dengan serius bukannya menganggap ia sebagai satu masalah kecil. "Saya turut berharap agar DBKL membolehkan pejabat kecil DBKL di PPR ini menerima pembayaran bil air bagi memudahkan penduduk," katanya. |
Sistem baharu punca berlaku masalah - DBKL Posted: 30 May 2013 11:40 AM PDT KUALA LUMPUR 30 Mei - Sistem baharu yang menggunakan Sistem Bil (SISBIL) atau E-PBT merupakan punca berlakunya masalah pengagihan bil kepada penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam di sini. Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Wan Mohd. Ghazali Nor berkata, disebabkan sistem bacaan meter yang diguna pakai sebelum ini mengalami kerosakan, maka sistem baharu tersebut digunakan namun ia memberi kesan kepada pengagihan bil air kepada penduduk. "Sistem tersebut merupakan bil sementara yang menyelaraskan bil air kepada sebanyak RM25 sebulan. "Jadi, sejak Ogos tahun lalu sebanyak 10 kawasan PPR telah diuji menggunakan sistem baharu tersebut, namun ia tidak berjaya kerana tidak menepati keperluan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini. Mengulas lanjut, Wan Mohd. Ghazali berkata, perkara tersebut dijangka dapat diselesaikan pada Julai ini apabila sistem baharu itu sudah boleh digunakan. "Tetapi sementara menunggu pelaksanaan tersebut, DBKL sudah mengambil tindakan dengan menghantar bil air sementara kepada kawasan-kawasan yang tidak mendapat bil sebelum ini. "Apabila sistem baharu itu digunakan nanti, semua bil akan dibuat pelarasan semula," ujarnya. Kata beliau, penduduk yang membayar lebih caj daripada kebiasaan tidak perlu berasa bimbang kerana DBKL akan menyelaraskan bayaran dengan cara menganjakkan baki ke bulan seterusnya. "Sistem baharu ini lebih lengkap kerana mampu mengakses maklumat lebih tepat meliputi bacaan meter sebenar, termasuk maklumat tunggakan yang belum dijelaskan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan