Sabtu, 18 Mei 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Naik taraf bekalan elektrik

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

Idris Haron (tiga dari kanan) melihat kad hari jadi yang ditandatangani oleh kakitangan TNB Melaka selepas majlis Kesyukuran sempena pelantikannya sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-10 di TNB Bandar Kaba, Melaka, semalam.

MELAKA 17 Mei - Kerajaan negeri memberi jaminan bekalan elektrik akan diberi penambahbaikan bagi mengurangkan purata masa gangguan elektrik di seluruh negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, kerajaan negeri melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyasarkan untuk mengurangkan purata gangguan bekalan 35 minit setahun kepada sifar minit.

Menurutnya, setakat ini hanya kawasan sekitar Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh purata gangguan bekalan elektrik mencapai sifar minit setahun bagi setiap pelanggan.

''Purata gangguan bekalan elektrik 35 minit setahun menunjukkan Melaka jauh lebih baik dari segi keberkesanan pembekalan elektrik berbanding beberapa negeri lain.

''Oleh itu, TNB Melaka akan menyediakan pelbagai infrastruktur untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dengan sasaran untuk mengurangkan jumlah gangguan purata bekalan elektrik mencapai sifar minit," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan warga kerja TNB Melaka dan majlis kesyukuran di Ibu pejabat TNB negeri di Banda Kaba dekat sini hari ini.

Kehadiran Idris mengembalikan nostalgia 14 tahun lalu apabila beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pengurus TNB Daerah Melaka Tengah pada 1999.

Yang turut hadir Pengurus Besar TNB negeri, Baderul Sham Saad; Pengurus Jabatan Senggaraan Aset, Azmi Md. Yusoff dan Pengurus Kawasan Melaka Barat, Abdos Salam Md. Isa.

Mengulas lanjut Idris berkata, kerajaan negeri turut meminta TNB untuk memindahkan kabel elektrik talian atas voltan rendah kepada kabel bawah tanah di beberapa kawasan khususnya di kawasan tumpuan pelancong di Bandar Hilir.

''Keadaan kabel talian atas yang tidak teratur sedikit sebanyak telah menjejaskan pemandangan di kawasan tumpuan pelancong malah ada talian yang dilihat tidak selamat serta berisiko," ujarnya.

Katanya, beberapa tiang elektrik yang didirikan terlalu dekat dengan jalan raya perlu diubah ke kaki lima atau dijadikan kabel bawah tanah.

Di samping itu ujarnya, satu jawatankuasa pengurusan penyelarasan lampu awam akan dibentuk bagi menyeragamkan penggunaan lampu awam bagi mengindahkan persekitaran bandar raya Melaka.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut akan diketuai oleh TNB serta dibantu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan teknikal yang lain.

Mohd. Razi guna pengalaman sebagai guru curah bakti kepada rakyat

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

Mohd. Razi Mohd. Ali (kanan) bersama bekas pelajarnya melihat tanaman yang pernah ditanam dalam satu projek sekolah ketika melawat pelajarnya Sempena Hari Guru di SMK Lui Barat, Jempol, baru-baru ini.

JEMPOL 17 Mei - Pengalaman menjadi pendidik selama 18 tahun masih segar dalam ingatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui yang baharu, Mohd. Razi Mohd. Ali.

Jika sebelum ini beliau menyambut Hari Guru sebagai seorang pendidik, tahun ini agak berbeza apabila perayaan itu disambut setelah beliau bergelar Yang Berhormat selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu.

Mohd. Razi menjelaskan, beliau memulakan khidmat perguruan pada Mei 2005 dan melepaskan jawatan tersebut April lalu apabila terpilih untuk menjadi calon Barisan Nasional.

''Pada awalnya ibu bapa saya meletakkan cita-cita tersebut dalam diri saya. Mereka mahu salah seorang daripada enam anak mereka bergelar pendidik. Alhamdulillah impian mereka terlaksana apabila saya dan adik menjadi guru.

''Sekolah Menengah Kebangsaan Serting Hilir Kompleks adalah sekolah pertama saya. Waktu itu saya menjadi guru disiplin dan pastinya berdepan dengan pelbagai kerenah pelajar,'' jelasnya.

Katanya, cabaran menjadi guru amat besar dan sebagai ADUN, beliau akan menggunakan pengalaman yang ditimba untuk terus mencurahkan bakti dengan lebih baik.

''Selaras menjadikan negeri ini sebagai lembah ilmu, dengan pengalaman yang ada sebagai guru tentulah hasrat itu akan dilaksanakan sebaik mungkin, termasuk memastikan lebih ramai pelajar cemerlang lahir dari sini," jelasnya.

Mengenai sambutan Hari Guru hari ini kata Mohd. Razi, setiap pendidik wajar berbangga dengan kerjaya dipikul kerana usaha itu adalah satu 'jihad ilmu' yang perlu dilaksanakan tanpa rasa jemu.

''Saya faham, banyak tugas perlu dilakukan oleh guru dalam mendidik pelajar, tetapi percayalah anak didik kita kelak akan berterima kasih di atas bimbingan yang diberikan oleh seorang guru.

''Tambahan pula, nikmat 'guru' itu juga akan dirasai sampai kita telah bersara kerana ilmu yang ada pada guru itu boleh mendidik anak bangsa selagi nyawa dikandung badan," tegasnya.

Mohd. Razi sebelum ini mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Lui Barat dan merupakan Ketua Panitia Sains Pertanian di sekolah tersebut sebelum meletakkan jawatan bertanding dalam PRU-13 sebagai calon BN di DUN Sungai Lui.

Abu Bakar janji majukan negara dalam bidang sains, teknologi

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

ABU Bakar Mohamad Diah menyampaikan sumbangan kepada pelajar IPT semasa menjadi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan/Inovasi) UTeM di Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 17 Mei - Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi akan diterjemahkan dengan perkhidmatan terbaik dalam portfolio tersebut.

Menurutnya, pengalaman luas yang ditimba dalam bidang itu ketika menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Inovasi di Jabatan Ketua Menteri akan digunakan untuk membantu Datuk Dr. Ewon Ebin, selaku menteri di kementerian terbabit.

Dalam masa sama katanya, pengalaman selama lima tahun sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan/Inovasi) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan digunakan sebaik mungkin untuk memajukan Malaysia dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

''Saya melihat khususnya dalam bidang inovasi, ia boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan utama negara kerana bidang berkenaan ada potensi untuk dimajukan secara menyeluruh.

''Saya pernah menghasilkan 19 produk inovasi di Melaka sewaktu memegang jawatan CEO Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Kreativiti, Inovasi dan Pengkomersialan di Jabatan Ketua Menteri.

''Mengapa tidak, produk inovasi yang saya lihat semakin subur di Malaysia boleh diketengahkan dan diangkat martabatnya khususnya ketika Malaysia menuju negara berpendapatan tinggi," katanya di sini hari ini.

Sambil mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Abu Bakar berkata, beliau akan membalas kepercayaan yang diberikan itu untuk membawa bidang sains, teknologi dan inovasi ke peringkat yang lebih tinggi.

''Pelantikan ini adalah hadiah paling berharga kepada penduduk di Parlimen Tangga Batu kerana sokongan mereka kepada saya sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)," katanya.

Beliau turut mengajak rakyat negara ini yang berpengalaman dalam bidang berkaitan untuk turut menyumbang idea ke arah memantapkan lagi bidang tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan