Jumaat, 17 Mei 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Malaysia Spring dirancang awal

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

Oleh KASTHURI JEEVENDRAN
pengarang@utusan.com.my

TUNKU Abdul Aziz Tunku Ibrahim (kiri) dan Tan Tuan Tat mengadakan sidang akhbar mengenai Malaysia Spring anjuran Anwar Ibrahim di Kelab Sri Damansara di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 17 Mei - Pembangkang didakwa sudah lama merancang konspirasi menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan dan rusuhan dengan nama Malaysia Spring sekiranya kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, seorang pemimpin tertinggi DAP pernah membayangkan demonstrasi melampau seperti Arab Spring itu bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Beliau mendakwa, Penasihat Seumur Hidup DAP, Dr. Chen Man Hin pernah menyatakan sokongan kepada Bersih 3.0 selain membayangkan demonstrasi itu sebagai permulaan kepada Malaysia Spring pada 26 April tahun lalu.

"Saya agak musykil, apakah yang dimaksudkan beliau dengan Malaysia Spring? Adakah beliau menyokong rusuhan dan keganasan seperti yang berlaku di negara-negara Arab? Adakah juga Bersih 3.0 hanyalah permulaan kejadian lebih buruk selepas ini?" katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kelab Sri Damansara, di sini hari ini.

Yang turut hadir, bekas Ketua Cawangan DAP Taman Sri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat.

Menurut Tunku Abdul Aziz, demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram setakat ini dirancang pemimpin politik tertentu sejak beberapa tahun lalu sekiranya tidak mendapat mandat menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Disebabkan itu juga, katanya, beberapa pemimpin pembangkang ketika itu berterusan menggesa rakyat bersama-sama mereka menggulingkan kerajaan melalui beberapa siri demonstrasi jalanan.

"Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini sedang menjelajah seluruh negara dengan misi untuk terus membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan kononnya terdapat penipuan dalam pilihan raya umum lalu. Dia terus berbohong dengan mengaku dia ialah Perdana Menteri yang sah," katanya.

Tambah Tunku Abdul Aziz, apa yang menghairankan pemimpin pembangkang lain sudah memulakan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing meskipun dalam masa sama menuduh pilihan raya umum lalu tidak telus.

Malah, katanya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng adalah antara yang paling awal mengangkat sumpah sekali gus mengakui kemenangannya menerusi proses pilihan raya umum itu.

"Kalau mereka menang, mereka tidak bising malah akui keputusan itu telus tetapi yang kalah menyalahkan kerajaan dengan pelbagai tuduhan tidak logik termasuk 'mengimport' warga Bangladesh mengundi selain berbohong Presiden Amerika, Barack Obama akan campur tangan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa polis mengambil tindakan tegas dalam usaha mengekang tindakan Anwar dan pemimpin pembangkang lain daripada terus mengadakan perhimpunan haram di seluruh negara.

Katanya, beliau bimbang tindakan bebas pemimpin pembangkang menghasut rakyat itu boleh mencetus kepada perhimpunan haram yang lebih besar dan ganas pada masa depan.

"Pembohongan yang menyentuh sentimen rakyat akan menjadi aset untuk mereka merancang sesuatu yang lebih besar dan buruk. Pihak polis perlu bertindak lebih tegas, jangan biarkan golongan seperti ini menghancurkan keamanan negara," katanya.

Usaha damaikan Najib-Anwar hanya buang masa

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

Keratan Utusan Malaysia, semalam.

KUALA LUMPUR 17 Mei - Usaha mendamaikan perseteruan politik antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dilakukan bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla disifatkan satu tindakan sia-sia dan membuang masa.

Presiden Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, usaha itu juga dianggap mengarut kerana umum mengetahui bahawa Anwar telah sekian lama begitu rapat dengan Jusuf.

"Saya amat yakin usaha yang mahu dirintis Jusuf ini telah diminta dilakukan oleh Anwar sendiri. Sebab kita di Malaysia sekarang ini, semua orang bercakap mengenai perpaduan UMNO dan Pas yang mewakili orang Islam.

"Jadi ini membuatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terpinggir kerana amat jelas dan nyata bahawa PKR bukan parti mewakili Melayu mahupun Islam dan tiada siapa yang mahu peduli tentang penyatuan dengan PKR.

"Oleh itu PKR sudah tersepit dan terpinggir maka orang yang dikatakan mempunyai imej baik untuk usaha perdamaian ini adalah Jusuf," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas usaha yang sedang dirintis Jusuf itu atas dasar Najib dan Anwar adalah sahabat baik dan bagi menjaga kepentingan Malaysia serta Indonesia.

Walaubagaimanapun, usaha yang dirintis oleh Jusuf itu masih menemui jalan buntu kerana dipercayai ekoran keengganan Anwar sendiri menerima keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang telah dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).

Ismail Mina berkata, disebabkan usaha tersebut adalah satu yang sia-sia untuk dilakukan, Najib sewajarnya memberi tumpuan kepada proses membangunkan negara yang lebih rancak selepas berakhirnya PRU-13.

"Lebih penting, usaha menyatukan UMNO dan Pas wajar diperhebatkan bukannya mendamaikan Najib dan Anwar. Kami dalam Muafakat sememangnya menyokong usaha perpaduan UMNO dan Pas," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, Anwar terlalu taksub untuk berkuasa sehingga tidak mahu menerima hakikat kekalahan pembangkang pada PRU-13 lalu.

Katanya, disebabkan sikapnya itu, maka sudah pasti usaha perdamaian antara beliau dengan sesiapa juga akan menemui jalan buntu.

"Pada saya, kerjasama dengan mana-mana parti politik juga boleh diwujudkan dalam usaha penyatuan nasional. Usaha ini wajar supaya kita dapat kurangkan politiking yang menambah jurang sesama kita sehingga timbul konflik," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan