Utusan Online - Utara |
- Kerja sebagai satu pasukan - MB
- 43 ditahan dalam Ops 6P di Tasek Gelugor, Bertam
- 35 anggota IPK Perak naik pangkat sarjan
Kerja sebagai satu pasukan - MB Posted: 20 May 2013 12:09 PM PDT Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN Zambry Abd. Kadir (depan, lima dari kiri) bersama barisan Exco dan ketua-ketua jabatan yang hadir dalam mesyuarat pertama Menteri Besar bersama Exco dan ketua-ketua jabatan di Bangunan Darul Ridzuan, Ipoh, semalam.- Bernama IPOH 20 Mei - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir meminta setiap ketua jabatan bekerjasama dengan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sebagai satu pasukan yang mantap bagi melaksanakan lebih banyak agenda membela nasib rakyat. Menurut beliau, pelbagai pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak empat tahun lalu perlu diperkukuhkan melalui penggembelengan idea serta pendekatan baharu dan kreatif khususnya daripada barisan Exco yang dilantik. Perkara tersebut adalah antara yang ditekankan oleh Zambry ketika mempengerusikan mesyuarat pertama dengan barisan Exco kerajaan negeri yang baharu bersama ketua-ketua jabatan di Bangunan Darul Ridzuan di sini hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Saarani Mohamad berkata, Zambry turut menekankan supaya tujuh teras pelaksanaan gagasan Perak Amanjaya diperkasa dari semasa ke semasa. ''Beliau (Zambry) mengganggap kerajaan negeri yang terbentuk adalah kerajaan kesinambungan. Empat tahun sebelum ini kita telah meletakkan rangka kerja melalui gagasan Perak Amanjaya yang sudah menampakkan kejayaan signifikan, oleh itu beliau mahu ia diteruskan. ''Menteri Besar juga minta supaya ketua-ketua jabatan memberi kerjasama penuh kepada barisan Exco terutamanya yang baharu dilantik kerana bagi beliau, hanya dengan cara itu segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan," katanya di sini hari ini. Sabtu lalu, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Perak mengangkat sumpah jawatan dan menerima tauliah pelantikan sebagai Exco di hadapan Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Istana Iskandariah dekat sini. Tiga muka lama yang dikekalkan ialah Saarani yang juga ADUN Kota Tampan, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik). Enam muka baharu yang dilantik ialah Datuk Rusnah Kassim (Behrang), Datuk Shamsudin Abu Hassan (Air Kuning), Nizar Zakaria (Belanja), Nolee Ashilin Mohamed Radzi (Tualang Sekah), Dr. Muhammad Amin Zakaria (Batu Kurau) dan Datuk Shahrul Zaman Yahya (Rungkup). |
43 ditahan dalam Ops 6P di Tasek Gelugor, Bertam Posted: 20 May 2013 12:09 PM PDT TASEK GELUGOR 20 Mei - Imigresen Pulau Pinang menahan seramai 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua orang wanita dalam Ops Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) di Tasek Gelugor dan Bertam, Kepala Batas, di sini hari ini. Mereka yang ditahan terdiri daripada 32 warga Myanmar dan masing-masing dua rakyat Bangladesh dan wanita Indonesia, berusia antara 20 hingga 35 tahun. Ketua Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Negeri, Basri Othman berkata, serbuan lebih dua jam bermula pukul 10.40 pagi itu adalah hasil maklumat orang ramai dan risikan yang dilakukan. Beliau berkata, dalam serbuan pertama di Kampung Selamat, pihaknya menahan tujuh lelaki warga Myanmar di sebuah kilang membuat barangan rotan. "Mereka didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri serta tidak memiliki permit kerja yang sah. Mereka telah ditahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63. "Pada masa sama kita turut menahan seorang majikan mereka berusia 50-an. Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) akta sama kerana memberi perlindungan kepada pekerja yang tidak memiliki permit pekerja sah," katanya di sini hari ini. Menurut Basri, terdapat sebahagian daripada pekerja kilang berkenaan berjaya meloloskan diri dan bersembunyi di kawasan belukar dan di ladang ternakan khinzir berhampiran kilang itu sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa. Sementara itu, ujar beliau, dalam serbuan kedua di sebuah tapak pembinaan perumahan di Bertam, pihak Imigresen menahan 36 PATI daripada 128 warga asing yang diperiksa. "Kesemuanya akan dihantar ke Depot Tahanan PATI di Juru, Bukit Mertajam untuk tindakan lanjut," katanya. |
35 anggota IPK Perak naik pangkat sarjan Posted: 20 May 2013 12:09 PM PDT IPOH 20 Mei - Seramai 35 anggota polis yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menerima watikah kenaikan pangkat pada majlis pemakaian pangkat Sarjan di sini hari ini. Watikah tersebut disampaikan oleh Ketua Jabatan Pengurusan IPK Perak, Senior Asisten Komisioner Zulkapli Ahmad. Zulkapli dalam ucapannya berkata, kenaikan pangkat bagi 35 anggota itu merupakan sebahagian daripada 109 anggota berpangkat koperal dari kontinjen polis Perak yang dinaikkan pangkat kepada Sarjan berkuat kuasa Januari lalu. Katanya, penerimaan jawatan baru itu diharap dapat menyuntik semangat anggota berkenaan untuk berkhidmat dengan lebih baik dan cemerlang pada masa depan. ''Diharap kebaikan pangkat juga mampu mendorong mereka memberi khidmat yang lebih berkualiti sekali gus meningkatkan imej dan martabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya kontinjen Perak," katanya ketika berucap pada majlis tersebut. Sementara itu, seorang anggota polis wanita tunggal yang menerima kenaikan pangkat hari ini, Sarjan Jamariah Ya'acob, 35 berkata, kenaikan pangkat yang diterimanya itu akan dijadikan pendorong untuk terus memajukan diri sekali gus menggalas tanggungjawab yang diberikan. Ibu kepada seorang cahayamata itu yang berasal dari Pulau Pinang dan kini bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, turut melahirkan rasa syukur di atas kenaikan pangkat itu. ''Alhamdulillah, ini rezeki dan saya akan jadikan sebagai pembakar semangat untuk berjuang dalam usaha memastikan misi dan visi pasukan tercapai," katanya yang telah berkhidmat selama 15 tahun. Perasaan sama turut dikongsi, P. Suburmaniam, 42, yang menyifatkan segala komitmen dan usaha yang dicurahkan sejak 22 tahun lalu akhirnya membuahkan hasil. Oleh itu katanya, kenaikan pangkat itu akan dijadikan dorongan untuk terus memajukan diri dalam pasukan dan memastikan semua amanah diberi dilakukan dengan baik. ''Sudah tentu saya gembira dan berazam untuk memberikan yang terbaik dalam setiap tugasan yang telah diamanahkan kepada saya," ujarnya yang berasal dari Jitra, Kedah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan