Ahad, 19 Mei 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Penghargaan tertinggi pesara guru

Posted: 18 May 2013 11:08 AM PDT

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
utusanmelaka@utusan.com.my

Idris Haron bersama Othman Matsom (dua dari kiri), Abdul Aziz Jonit (empat dari kiri) dan M. Namasivayam(tiga dari kanan) dalam majlis Sambutan Hari Guru 2013, Guru Malaysia,1Aspirasi, 1Agenda di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, semalam. - MINGGUAN/ AZLI AHAD

MELAKA 18 Mei - Tiada apa yang lebih membahagiakan bagi tiga bekas guru yang menumpahkan bakti mendidik dan memberi rangsangan semangat kepada golongan pelajar suatu ketika dahulu apabila jasa mereka dikenang dan dinobat sebagai Tokoh Guru sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri hari ini.

Mereka ialah bekas Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia Melaka Tengah, Datuk Othman Matsom, 71; bekas Ketua Pegawai Operasi Kolej Teknologi Yayasan Alor Gajah, Abdul Aziz Jonit, 72, dan bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, M. Namasivayam, 77.

Menurut Othman, penghargaan yang diberikan amat bermakna buatnya sebagai seorang pendidik.

"Syukur kepada Allah kerana terpilih sebagai antara Tokoh Guru di negeri ini pada tahun ini, inilah penghargaan terbesar buat saya.

"Walaupun saya telah bersara, namun saya masih berkhidmat kepada masyarakat dengan memberi ceramah tentang pelajaran dan dengan kesihatan tubuh badan dan kelapangan masa yang ada dapat saya curahkan lebih bakti," katanya.

Beliau memulakan kerjaya sebagai guru Pendidikan Islam di SMK Methodist (ACS) pada tahun 1965 dan bersara sebagai Penyelia Pendidikan Islam Menengah di Jabatan Pelajaran negeri pada 16 Mac 1997.

Bapa kepada tiga anak itu menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) pada tahun 2010 yang membawa gelaran Datuk.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, penghargaan diberi umpama pembakar semangat buatnya untuk terus berkhidmat sebagai pendidik walaupun bukan secara formal.

"Kerajaan negeri dan Jabatan Pelajaran negeri telah menghargai khidmat saya yang telah lebih 32 tahun sebagai pendidik.

"Alhamdulillah, penghargaan ini saya terima dengan senang hati," katanya.

Beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Daun, Masjid Tanah pada 1965 dan bersara pada 26 September 1996.

Tugas guru adalah jihad ilmu

Posted: 18 May 2013 11:08 AM PDT

Mohd. Razi

JEMPOL 18 Mei - Pengalaman menjadi pendidik selama 18 tahun masih segar dalam ingatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui yang baharu, Mohd. Razi Mohd. Ali.

Jika sebelum ini beliau menyambut Hari Guru sebagai seorang pendidik, tahun ini agak berbeza apabila perayaan itu disambut setelah beliau bergelar Yang Berhormat selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu.

Mohd. Razi menjelaskan, beliau memulakan khidmat perguruan pada Mei 2005 dan melepaskan jawatan tersebut April lalu apabila terpilih untuk menjadi calon Barisan Nasional.

''Pada awalnya ibu bapa saya meletakkan cita-cita tersebut dalam diri saya. Mereka mahu salah seorang daripada enam anak mereka bergelar pendidik. Alhamdulillah impian mereka terlaksana apabila saya dan adik menjadi guru.

''Sekolah Menengah Kebangsaan Serting Hilir Kompleks adalah sekolah pertama saya. Waktu itu saya menjadi guru disiplin dan pastinya berdepan dengan pelbagai kerenah pelajar,'' jelasnya.

Katanya, cabaran menjadi guru amat besar dan sebagai ADUN, beliau akan menggunakan pengalaman yang ditimba untuk terus mencurahkan bakti dengan lebih baik.

''Selaras menjadikan negeri ini sebagai lembah ilmu, dengan pengalaman yang ada sebagai guru tentulah hasrat itu akan dilaksanakan sebaik mungkin, termasuk memastikan lebih ramai pelajar cemerlang lahir dari sini," jelasnya.

Mengenai sambutan Hari Guru hari ini kata Mohd. Razi, setiap pendidik wajar berbangga dengan kerjaya dipikul kerana usaha itu adalah satu 'jihad ilmu' yang perlu dilaksanakan tanpa rasa jemu.

''Saya faham, banyak tugas perlu dilakukan oleh guru dalam mendidik pelajar, tetapi percayalah anak didik kita kelak akan berterima kasih di atas bimbingan yang diberikan oleh seorang guru.

''Tambahan pula, nikmat 'guru' itu juga akan dirasai sampai kita telah bersara kerana ilmu yang ada pada guru itu boleh mendidik anak bangsa selagi nyawa dikandung badan," tegasnya.

Mohd. Razi sebelum ini mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Lui Barat dan merupakan Ketua Panitia Sains Pertanian di sekolah tersebut sebelum meletakkan jawatan bertanding dalam PRU-13 sebagai calon BN di DUN Sungai Lui.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan