Selasa, 1 Februari 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Bapa cemas selamatkan 13 anak

Posted:

Bapa cemas selamatkan 13 anak

Bapa cemas selamatkan 13 anak

Oleh M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIN
nahar.latib@utusan.com.my

ROMPIN 1 Feb. – Seorang bapa terpaksa melalui detik-detik mencemaskan bagi menyelamatkan 13 anaknya termasuk seorang anak istimewa yang berkerusi roda apabila rumah mereka dinaiki air secara tiba-tiba di Kampung Serok, Bukit Ibam, Muadzam Shah di sini, semalam.

Penoreh getah, Ramli Mat Sah, 52, berkata, kejadian tersebut berlaku dengan pantas dan dia hanya sempat menyelamatkan anak-anaknya yang berusia antara lima hingga 28 tahun Katanya, dia terlebih dahulu menyelamatkan anak istimewanya, Marzuki, 24, yang berkerusi roda kerana rumahnya semakin dinaiki air banjir sehingga hampir satu meter.

"Apabila paras air semakin dalam, saya terpaksa meminta bantuan kawan untuk membawa anak-anak menaiki lori kerana jalan masuk ke kampung juga sudah dinaiki air," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pusat pemindahan banjir Bandar Tun Razak di sini, semalam.

Tambahnya, dia tidak sempat menyelamatkan barang-barang lain kecuali dokumen penting seperti kad pengenalan dan surat beranak.

"Air naik terlalu cepat dan masa yang tinggal hanya cukup untuk menyelamatkan anak-anak dan beberapa helai pakaian. Paling penting keluarga saya selamat," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Abd. Samad Asma, 52, berkata, kejadian tersebut bukan kali pertama berlaku di kampung tersebut.

"Memang setiap kali hujan lebat pasti kawasan rumahnya akan dinaiki air. Paling buruk berlaku pada tahun 2007 namun saya bersyukur kerana banyak bantuan disalurkan kepada penduduk," katanya.

Katanya, air naik dengan begitu mendadak menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan kesemua barang di dalam rumah.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, Datuk Mohd. Safri Abd. Aziz berkata, banjir yang berlaku di kawasan tersebut berpunca daripada Sungai Bukit Serok yang naik secara mengejut.

"Ini menyebabkan banyak kawasan rendah mengalami banjir yang teruk. Kami telah membuka pusat pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Bandar Tun Razak untuk menempatkan mangsa banjir itu," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

UMP lancar Pelan Strategik 2011-2015

Posted:

UMP lancar Pelan Strategik 2011-2015

UMP lancar Pelan Strategik 2011-2015

Oleh YUSRI SAHAT
utusanpahang@utusan.com.my


Dr. DAING Nasir Ibrahim (tengah) ditemani isteri, Datin Fazia Ali (empat dari kanan) menyaksikan buku Pelan Strategik UMP 2011-2015 selepas melancarkannya di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Kuantan, Pahang baru-baru ini.


KUANTAN 1 Feb. – Pendekatan transformasi, migrasi sikap dan pengajaran strategik dalam Pelan Strategik Universiti Malaysia Pahang (UMP) 2011-2015 mampu menjadikan universiti itu sebagai sebuah pusat pengajian tinggi berkaitan teknologi, pilihan utama bertaraf dunia.

Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, pelan tersebut menggariskan empat objektif utama iaitu melahirkan graduan berketerampilan melalui penawaran program kejuruteraan dan teknologi yang kompetitif.

''Pelan itu juga menggariskan bahawa universiti akan menerajui inisiatif terkini dalam bidang penyelidikan berkaitan industri," katanya.

Beliau menjelaskan demikian ketika berucap pada majlis Amanat Naib Canselor dan pelancaran Pelan Strategik 2011-2015 di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang dekat sini baru-baru ini.

Seramai 5,000 warga UMP terdiri daripada penuntut, tenaga pengajar dan kakitangan universiti hadir pada majlis berkenaan.

Pelan strategik itu dirangka dengan mengambil kira pencapaian semasa universiti, semakan semula terhadap Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), Gagasan 1Malaysia dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Dalam majlis itu, Daing Nasir turut menyampaikan watikah pelantikan peneraju dalam merealisasikan Bidang Keberhasilan Utama Universiti (UKRA) di UMP.

Daing Nasir menjelaskan, UMP akan menjadi peneraju dalam menyediakan perkhidmatan kepada industri dan masyarakat berdasarkan kepakaran yang dimiliki.

''Objektif keempat ialah meletakkan UMP antara organisasi yang mengamalkan budaya kerja cemerlang dalam pengurusannya," tegasnya.

Selain kerjasama pintar dengan universiti luar negara, kata beliau, jaringan industri menjadi tumpuan khusus di setiap fakulti dan jabatan untuk mendapatkan akses serta hubungan strategik dengan pihak industri.

"Kerjasama dengan Institut Automotif Malaysia (MAI) yang sedang diusahakan bagi Program Perantisan Siswazah baru-baru ini bakal mendedahkan pelajar kejuruteraan automotif dengan persekitaran industri," katanya.

Menurut beliau, pelajar siswazah dan pensyarah UMP perlu melibatkan diri dalam penyelidikan bersama industri untuk menambah baik nilai, produk dan perkhidmatan yang disediakan.

''Dalam mencapai objektif ini, UMP mengenal pasti empat UKRA iaitu peningkatan kualiti akademik, kesinambungan kewangan, pembangunan sosioekonomi dan penjenamaan UMP untuk kedudukan yang strategik.

"Pelaksanaan pelan strategik lima tahun ini mempunyai tiga fenomena kritikal yang menentukan kejayaan UMP," jelasnya.

Menurutnya, penjajaran kompetitif memerlukan UMP mewujudkan kelainan dan keunikan berbanding institut pengajian tinggi lain yang menawarkan program kejuruteraan termasuk dari segi program akademik, penyelidikan, perundingan dan penerbitan.

Sepanjang sembilan tahun kewujudan universiti itu, ujarnya, UMP berevolusi dengan dua fasa perdana iaitu meletakkan asas sebagai universiti teknikal dan memperkukuh serta menjana kecemerlangan.

"Kesinambungan usaha mencipta kecemerlangan berterusan sebelum ini mampu membangunkan universiti ini ke arah keunggulan lestari," katanya.

Dalam pada itu, Daing Nasir mengumumkan pelantikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Badhrulhisham Abdul Aziz sebagai peneraju usaha meningkatkan kualiti akademik bagi UKRA pertama.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Rosli Mohd. Yunus dilantik peneraju UKRA kedua iaitu kelestarian kewangan dan UKRA ketiga bagi pembangunan sosioekonomi dipimpin Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Yuserrie Zainuddin.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Penduduk mahu Kuala Krau dijadikan daerah

Posted:

Penduduk mahu Kuala Krau dijadikan daerah

Penduduk mahu Kuala Krau dijadikan daerah

KUALA KRAU 1 Feb. - Kerajaan Pahang diminta menaikkan status Kuala Krau sebagai sebuah daerah sejajar dengan dengan kewujudan Parlimen Kuala Krau sejak lebih lapan tahun lalu.

Beberapa penduduk yang ditemui berpendapat, kewujudan daerah ke-12 di negeri ini sangat munasabah berikutan mempunyai kawasan Parlimennya yang sendiri.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Krau, Mohd. Razali Mamat, 44, berkata, kawasan Parlimen Kuala Krau mempunyai kelayakan untuk dinaik taraf sebagai sebuah daerah kerana memiliki kemudahan yang mencukupi.

Parlimen Kuala Krau, jelas beliau, mempunyai prasarana baik dan memiliki pekan yang menjadi tumpuan penduduk iaitu Bandar Jengka dan pekan Kuala Krau.

''Ketiadaan status sebagai sebuah daerah menjadi dilema kepada wakil rakyat dalam kawasan Parlimen itu kerana kedudukannya berada dalam dua daerah iaitu Maran dan Temerloh.

''Daerah Maran ada Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib dan Temerloh diwakili Datuk Saifuddin Abdullah sedangkan Parlimen Kuala Krau yang diwakili Datuk Ismail Mohamad Said tiada daerahnya sendiri.

''Parlimen Kuala Krau mempunyai seorang Ahli Parlimen dan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Jengka, Jenderak dan Kerdau yang terletak dalam daerah Maran dan Temerloh,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang anak peneroka Felda Jengka, Hamedan Abu Samah, 42, turut menyokong cadangan itu dan menyifatkan pengisytiharan daerah Kuala Krau sangat dinanti-nantikan kerana kawasan itu mempunyai banyak kelebihan.

Katanya, kewujudan daerah baru itu perlu mengambil kira pandangan orang ramai sama ada menamakannya sebagai daerah Jengka atau daerah Kuala Krau kerana kedua-keduanya mempunyai kelebihan tersendiri.

Menurutnya, Bandar Jengka akan lebih berkembang pesat jika Kuala Krau dijadikan sebuah daerah.

Bagi Exco Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Jengka, Mohd. Sayuti Zainorddin berkata, Parlimen Kuala Krau yang mengandungi DUN Jengka yang terletak dalam daerah Maran mempunyai 12 tanah rancangan Felda.

''DUN Jenderak pula mempunyai dua tanah rancangan Felda manakala mukim Kerdau terdiri daripada kampung tradisional yang perlu dibangunkan secara bersepadu," jelasnya.

Katanya, ketika negara sedang berusaha meningkatkan pendapatan rakyat menjelang 2020, usaha menyediakan kemudahan infrastruktur dan sosioekonomi perlu dilaksana secara terancang dan efisien di Kuala Krau.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Gunung Senyum, Azeman Mohamad berpendapat, kewujudan daerah baru Kuala Krau dapat melancarkan proses pembangunan di kawasan itu tanpa bergantung kepada daerah Maran dan Temerloh.

''Parlimen Kuala Krau memerlukan suntikan dana lebih besar bagi membangunkan kawasan perkampungan tradisional yang terpencil sebelum ini agar berkembang maju,'' katanya.

Sementara itu, seorang pesara guru dan usahawan, Ahmad Sabrey Idris, 54, dari Bandar Jengka berkata, banyak kelebihan jika Kuala Krau memperoleh status daerah kerana ia dapat menyelaraskan pentadbiran sekolah dan tanah.

Tegasnya, kewujudan sebuah entiti pejabat daerah yang baru sangat diperlukan berikutan kemajuan bandar dan kampung yang semakin pesat di samping pertambahan penduduk di Parlimen Kuala Krau.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan