Selasa, 1 Februari 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Tiada lagi suara emak

Posted: 31 Jan 2011 10:17 AM PST

KULAIJAYA: "Dalam perbualan itu, Aw menyatakan kenderaan dipandunya terhumban ke dalam sungai dan dia gagal keluar dari kenderaan itu.

"Dia sempat memaklumkan lokasi kejadian dan tidak lama kemudian, perbualan dua beranak itu terputus," kata seorang ahli keluarga mendiang Aw Yoke Lin, 53, dari Taman Pelangi, yang maut apabila pacuan empat roda yang dipandunya ditolak arus banjir ke dalam Sungai Rahmat di Kampung Sri Rahmat, di sini, malam kelmarin.

Menurut ahli keluarga yang enggan dikenali itu, wanita terbabit menghubungi ahli keluarga ketika bertarung dengan maut dan bercakap dalam nada cemas ketika memberitahu seorang anaknya bahawa dia terperangkap di dalam Toyota Hilux yang dipandu ketika menyusur banjir.

Beliau berkata, sebaik menerima panggilan itu, anak Aw bergegas ke lokasi kejadian, tetapi pengusaha cendawan itu hilang dibawa arus bersama kenderaan terbabit.


Katanya, ahli keluarga lain turut dihubungi anak Aw memberitahu kejadian itu.


"Kami ke sana, tetapi gagal berbuat apa-apa memandangkan arus terlalu deras dan menunggu bantuan pihak berkuasa," katanya.

Saksi, Muslim Jaafar, 53, berkata ketika kejadian, dia membantu memindahkan mangsa banjir yang tinggal berhampiran lokasi berkenaan.

"Wanita terbabit memandu kenderaannya meredah banjir dan pada masa sama, arus semakin deras manakala hujan lebat menghalang pandangan pengguna jalan raya.

"Dia mungkin gagal mengawal kenderaan ketika melalui satu selekoh kerana tidak perasan jalan yang dilalui itu terlalu kecil sebelum terbabas dan dihanyutkan ke dalam lubang di situ sebelum ditolak arus ke sungai," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata polis menerima maklumat mengenai Toyota Hilux dipandu seorang wanita dihanyutkan air deras ke dalam sungai pada jam 8.56 malam.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

RM500,000 tebus nyawa

Posted: 31 Jan 2011 09:51 AM PST

KUALA LUMPUR: Polis kini mempergiatkan usaha memburu empat penjenayah yang menculik seorang tauke kedai pajak gadai sebelum membebaskannya selepas memperoleh wang tebusan RM500,000.

Empat suspek yang mempunyai rekod jenayah berat termasuk bunuh dianggap berbahaya kerana memiliki senjata api.

Sumber berkata, empat suspek itu sebelum ini menculik seorang pengurus kedai pajak gadai berusia 40-an di Taman Melawati, Kuala Selangor pada 25 Januari lalu.

Katanya, mangsa diculik di hadapan premisnya menggunakan Proton Iswara sebelum disembunyikan di satu lokasi rahsia.


"Suspek menghubungi keluarga mangsa sebelum mengugut mereka membayar wang tebusan RM1.5 juta jika mahu mangsa dibebaskan.


"Namun, selepas berunding, kumpulan itu bersetuju mengurangkan tebusan kepada RM500,000," katanya.

Difahamkan, suspek mengarahkan keluarga mangsa meninggalkan wang di satu lokasi ditetapkan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Pedas, Negeri Sembilan.

"Proses penyerahan wang tebusan berjalan lancar sebelum mangsa dibebaskan di kawasan berhampiran pada 26 Januari lalu.

"Sejurus mangsa dibebaskan, sepasukan anggota khas polis mula menjejaki pergerakan suspek yang dipercayai berpecah ke arah berasingan bagi mengelakkan jejak mereka dikesan polis," katanya.

Katanya, polis menjejaki suspek berusia 30-an hingga 40-an yang bersembunyi di sebuah rumah di Taman Cheng Perdana, Alor Gajah Melaka pada Khamis lalu sebelum serbuan dan tangkapan dilakukan.

"Hasil penahanan empat suspek itu, polis menemui semula sebahagian besar wang tebusan dan hasil soal siasat empat suspek dikenal pasti masih bebas," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan