Ahad, 31 Mac 2013

Utusan Online - Selatan

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Geng Fikri terbongkar

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

Oleh amran mulup
pengarang@utusan.com.my

Raja Shahrom Raja Abdullah (dua kiri) menunjukkan senjata termasuk tukul besi yang digunakan oleh Geng Fitri dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka, semalam.

MELAKA 30 Mac - Kegiatan sekumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Fikri yang menjadikan vendor surat khabar sebagai sasaran samun, terbongkar selepas empat ahli mereka diberkas polis di sekitar Bukit Baru dan Duyong di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, empat lelaki berusia 19 hingga 24 tahun itu ditangkap dalam serbuan bermula pukul 4.30 petang hingga 8 malam tadi.

Beliau berkata, suspek pertama berusia 21 tahun ditahan di sebuah restoran di Bukit Baru, disusuli tangkapan tiga lagi rakannya termasuk ketua kumpulan itu berusia 22 tahun di sekitar Duyong.

"Polis turut merampas empat motosikal, tukul besi, spanar, pisau, telefon bimbit dan topi keledar yang dipercayai digunakan oleh suspek ketika menyamun vendor surat khabar," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, semalam.

Raja Shahrom berkata, siasatan mendapati ketua kumpulan itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, manakala suspek lain tidak mempunyai sebarang rekod dan kesemua mereka tidak bekerja.

Menurutnya, sejak awal Februari lalu, polis telah menerima 20 laporan kes samun melibatkan vendor surat khabar di Melaka Tengah pada awal pagi yang mana modus operandi penjenayah ialah melakukan samun secara berkumpulan antara dua hingga empat orang menggunakan motosikal.

Katanya, suspek bersenjatakan besi dan pisau akan mengekori mangsa seawal 4 pagi dan apabila tiba di kawasan sunyi, mereka akan mengugut dan mengancam mangsa menggunakan senjata tersebut sebelum merompak barang-barang berharga dan wang milik vendor berkenaan.

"Sasaran kumpulan ini ialah vendor yang menghantar surat khabar ke rumah pelanggan pada awal pagi, selain individu-individu yang bersenam waktu itu."katanya.

Tong sampah beroda pastikan pantai bersih

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

TELOK KEMANG 30 Mac - Sebanyak 20 unit tong sampah beroda (TSB) berkapasiti 120 liter ditempatkan di sepanjang Pantai Saujana dekat sini bagi memelihara kebersihan pantai umum berkenaan.

Kemudahan itu disediakan oleh syarikat konsesi SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri.

Pengarah PPSPPA, Mohd. Azhar Abd. Hamid berkata, inisiatif itu bertujuan mengatasi masalah lelehan air sampah daripada tong sampah lama yang terdapat di lokasi pejalan kaki sekali gus menangani masalah bau busuk di pantai berkenaan.

''Kita meletakkan tong sampah beroda berkapasiti 120 liter dengan sasaran pengunjung akan membuang sampah ke tong yang disediakan ini.

''Ini adalah salah satu usaha kami dalam membantu menjaga kebersihan pantai ini," katanya di sini, hari ini.

Jelasnya, penggunaan TSB juga akan memudahkan kerja pengutipan sampah yang diangkat menggunakan lori kompaktor berteknologi moden yang dilengkapi dengan sistem pengangkut tong hidraulik.

''Pekerja kutipan sisa pepejal juga tidak perlu menggunakan tangan untuk memasukkan sampah ke dalam lori kompaktor dan masalah sampah tidak dikutip dengan sempurna dapat diatasi melalui penggunaan tong sampah beroda ini," ujarnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan