Jumaat, 29 Mac 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


54 terima surat hak milik tanah

Posted: 28 Mar 2013 12:56 PM PDT

Oleh NOOR HANIS HARUN
utusann9@utusan.com.my

Mohamad Hasan beramah mesra dengan penduduk Kampung Pasir Tengah dan Kampung Pasir Siliau yang menerima surat hak milik tanah di Kampung Pasir Siliau, Rantau dekat Seremban, semalam.

SEREMBAN 28 Mac - Kerajaan Barisan Nasional (BN) meneruskan amalan mensejahterakan rakyat melalui pemberian surat hak milik tanah kepada sebanyak 54 penduduk yang mendiami tapak lombong di Kampung Pasir Tengah dan Kampung Pasir Siliau, Rantau dekat sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemberian itu merupakan tanggungjawab kerajaan negeri selepas rakyat memberi kepercayaan terhadap kecekapan urus tadbir dan keprihatinan kerajaan negeri.

"Penduduk di situ telah menunggu lama untuk mendapatkan geran ini dan kerajaan BN telah memutuskan pemberian hak milik itu hanya kepada mereka yang mempunyai rumah dan duduk di kampung terbabit," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan surat hak milik di Kampung Pasir Linsum, Rantau, dekat sini hari ini.

Mohamad memberitahu, tanah lombong seluas lebih 16 hektar itu sebelum ini telah diteroka penduduk terbabit untuk dijadikan kawasan kediaman dan sebahagian daripadanya telah menerima surat hak milik berkenaan sebelum ini.

"Jangan salah faham, majlis ini bukan untuk orang datang minta tanah baharu," jelasnya.

Tambah Mohamad, walaupun masih ada nama yang sedang diproses atas sebab lot bertindih, belum membayar premium atau penawaran lot lain, kerajaan BN akan terus membantu memastikan penduduk di situ diberikan surat hak milik.

Sementara itu, penduduk yang menerima surat hak milik tersebut melahirkan rasa gembira dan menganggapnya sebagai penantian yang berbaloi.

Penduduk, M. Ramalingham, 73 memberitahu, surat hak milik itu benar-benar melegakannya dan dia kini boleh membaik pulih rumah itu tanpa perlu bimbang jika diarahkan berpindah.

Sementara itu, Poon Yut Shee, 73 berkata, dia sudah 25 tahun menanti untuk mendapatkan surat hak milik tersebut.

''Saya bimbang status rumah ini tetapi apabila menerima surat berkenaan, segalanya sudah terjawab. Ini adalah hadiah kepada saya walaupun lama menunggu," katanya.

Bagi Fatimah Jantan, 62, dia berasa bertuah kerana terpilih menerima surat hak milik tanah tersebut dan akan diwarisi oleh tiga anaknya.

Pekan Nanas diusul sebagai RTC

Posted: 28 Mar 2013 12:56 PM PDT

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

PONTIAN 28 Mac - Bandar Pekan Nanas diusulkan sebagai lokasi Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) memandangkan kedudukannya yang strategik antara Johor Bahru dan Kulaijaya serta sering dikunjungi pelawat dari Singapura.

Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wee Jeck Seng berkata, Pekan Nanas yang termasuk dalam koridor pembangunan Iskandar Malaysia juga mampu menarik ramai pengunjung melalui pelbagai produk terutama hasil perikanan, pertanian dan industri kecil dan sederhana (IKS).

"Pekan Nanas sebelum ini sinonim sebagai pengeluar dan pemerosesan nanas, dapat dikenali semula dengan adanya usaha-usaha bagi membangunkan semula industri tersebut.

"Kewujudan RTC seperti Mini RTC Pontian hari ini memudahkan penduduk setempat mendapat bantuan daripada agensi di bawah kementerian tersebut dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani," katanya ketika berucap merasmikan Mini RTC Pontian di Kampung Perpat Timbul, Serkat, di sini semalam.

Menurut beliau, penduduk menyambut baik pembukaan Mini RTC Pontian kerana menyediakan pelbagai kemudahan tanpa perlu pergi ke bandar Pontian untuk menjalankan urusan.

Tambahnya, bagi kawasan Parlimen Tanjung Piai, terdapat dua buah RTC iaitu di Kampung Perpat Timbul dan Kampung Melayu Raya yang beroperasi setiap hari yang dilengkapi kemudahan ICT terkini.

"RTC ini akan membantu para petani memasarkan hasil pertanian mereka melalui bantuan daripada agensi seperti FAMA serta individu yang berminat membelinya secara terus daripada petani.

"Mini RTC yang diwujudkan di kampung-kampung juga boleh membantu orang ramai mendapatkan maklumat yang tepat mengenai sesuatu jabatan dan agensi kerajaan," katanya.

PDK Puteri Wangsa azam teruskan kecemerlangan

Posted: 28 Mar 2013 12:56 PM PDT

DR. Jamilah Ariffin (tiga dari kiri) memotong riben diperhatikan oleh Siti Yusnita Muhamad Yusop (dua dari kiri) dan Abdul Halim Suleiman pada Majlis Perasmian Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) DUN Puteri Wangsa Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU 28 Mac - Sejak ditubuhkan pada 2006, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Puteri Wangsa yang ketika itu hanya mempunyai lima pelatih kini mampu menghembus nafas lega apabila melihat kejayaan demi kejayaan dikecapi mereka saban tahun.

Bukan sekadar kejayaan dalam mendidik anak-anak istimewa itu supaya berdikari dan mampu menguruskan diri, mereka juga berjaya dalam pelbagai bidang termasuk sukan.

Antara kejayaan yang pernah digondol PDK berkenaan adalah Anugerah Pelatih Cemerlang peringkat Johor Bahru pada 2009 oleh pelatih, Junita Hassan, masing-masing pingat emas peringkat kebangsaan Olimpik Khas 2010 dalam acara bocce dan lontar peluru yang diperolehi melalui pelatih, Hamidah Jabar dan Aizuddin Alaudin.

Menurut Pengerusi PDK DUN Puteri Wangsa, Datin Siti Yusnita Mohamed Yusop, sehingga kini, pelatih PDK tersebut bertambah kepada 19 orang pada 2007 dan kini mempunyai sebanyak 37 pelatih dibantu tiga guru dan seorang penyelia.

"Bangunan PDK juga sudah berpindah dari Taman Daya ke Taman Mount Austin pada 2007 sehingga kini. Malah, bangunan di sini juga mengalami penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi tujuan keselesaan semua pelatih," katanya.

Beliau berucap sempena perasmian PDK berkenaan yang disempurnakan Yang Dipertua Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Johor (Juita), Prof. Datin Dr. Jamilah Ariffin, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Datuk Abdul Halim Suleiman dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor, Khadijah Abdullah.

Tambah Siti Yusnita, pihaknya komited meneruskan kecemerlangan PDK Puteri Wangsa dari semasa ke semasa supaya penubuhannya mencapai sasaran membimbing pelatih untuk menguruskan diri tanpa bantuan sepenuhnya daripada orang lain.

"Segala usaha gigih pihak pentadbiran PDK selain bantuan pelbagai agensi membolehkan sebanyak 12 pelatihnya berjaya memasuki pendidikan khas di sekolah kebangsaan.

"Kami akan berusaha segigih mungkin membentuk anak-anak istimewa ini menjadi cekal, kreatif dan yang paling penting mampu berdikari," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan