Sabtu, 30 Mac 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Cuba tutup kesalahan sendiri?

Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusan.com.my

Allan Liew (tengah) memegang kain rentang bersama penduduk bagi mendesak kerajaan negeri dan ADUN Seri Kembangan memberi penjelasan berhubung kegagalan menyiapkan jalan utama di pekan berkenaan di Serdang, Selangor, semalam. - UTUSAN/SYEFRY MONIZ

SERDANG 29 Mac - Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah menyalahkan Kerajaan Pusat dan agensi seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung kegagalan projek pembinaan jalan utama di pekan Seri Kembangan hanya mahu menutup kesalahan sendiri.

Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Serdang, Allan Liew Sin Kim mendakwa, tuduhan Ean Yong seolah-olah pihak terlibat enggan bekerjasama bagi menyelesaikan isu itu amat mengecewakan.

Menurutnya, kerajaan negeri sepatutnya mengadakan sesi dialog bersama-sama pihak terlibat lebih awal supaya tidak timbul sebarang masalah kemudian hari.

"Sebaliknya semua itu tidak berlakukan, sedangkan agensi terlibat penting bagi kerja-kerja infrastruktur dan utiliti seperti pengalihan kabel, tiang lampu serta paip bawah tanah di tapak projek tersebut," katanya dalam sidang akhbar bagi mendesak kerajaan negeri dan Ean Yong memberi penjelasan berhubung projek tersebut yang gagal disiapkan sehingga kini.

Projek naik taraf jalan utama kepada jalan sehala yang didakwa menelan kos sebanyak RM36 juta itu telah dimulakan pada 23 Disember 2011 dan dijangka siap Mei tahun lalu.

Kegagalan projek itu disiapkan telah menyebabkan para pengguna dan penduduk sekitar terpaksa berhadapan kesesakan lalu lintas yang teruk setiap hari.

Menurut Allan, projek itu seolah-olah dibuat tanpa perancangan dan secara tergesa-gesa .

"Sebagai penduduk, mereka berhak untuk dilibatkan sama dalam sebarang pembangunan dan mengetahui perkembangan terkini mengenainya, tetapi dalam isu ini penduduk seolah-olah diketepikan," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau memberi tempoh tiga hari kepada Ean Yong supaya tampil memberi penjelasan mengenai projek tersebut yang didakwa mempunyai agenda tersembunyi selain ia turut melibatkan wang rakyat.

Katanya, jika gagal, satu laporan akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Seri Kembangan, Tang Kim Loy berkata, ketiadaan sebarang papan tanda keselamatan diletakkan di sepanjang jalan turut mendedahkan pengguna kepada bahaya.

"Jika ada kemalangan jalan raya berlaku, siapa yang ingin bertanggungjawab? Sepatutnya keselamatan perlu diutamakan bagi melindungi para pengguna," katanya.

Isu flat empat tingkat Kg. Kerinchi jadi iktibar

Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT

Sebahagian penduduk setempat yang hadir dalam majlis penyerahan surat tawaran kepada penduduk bagi pembangunan semula di atas tapak pangsapuri dan rumah kos rendah Sri Johor, Sri Pulau Pinang, Sri Melaka dan Taman Ikan Emas di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AZMAN ASMAYATIM

KUALA LUMPUR 29 Mac - Penduduk Pangsapuri dan Rumah Kos Rendah Sri Johor, Sri Pulau Pinang, Sri Melaka dan Taman Ikan Emas, Bandar Tun Razak di sini yang masih tidak bersetuju dengan projek pembangunan semula di kawasan itu diminta mempertimbangkan semula keputusan mereka.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, mereka perlu mengambil iktibar daripada isu flat empat tingkat Kampung Kerinchi yang pembangunannya ditentang sekelompok kecil penduduk dan pada akhirnya merugikan diri mereka sendiri.

"Jangan jadi seperti mereka yang tidak bersetuju dengan projek pembangunan semula sehingga membawa kes itu ke mahkamah tetapi akhirnya mereka kalah.

"Pampasan yang diberikan oleh pemaju ketika itu lebih tinggi daripada nilai pampasan yang diputuskan mahkamah iaitu RM73,000, dan atas dasar keprihatinan kerajaan, kita masih memberikan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada mereka.

"Oleh itu saya tidak mahu perkara yang sama berlaku di Bandar Tun Razak ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada penduduk bagi pembangunan semula di atas tapak pangsapuri dan rumah kos rendah Sri Johor, Sri Pulau Pinang, Sri Melaka dan Taman Ikan Emas, di sini hari ini.

Dalam majlis sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan anak syarikat pemaju SP Setia Bhd., Retro Highland Sdn. Bhd.

Datuk Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib mewakili DBKL manakala, Retro Highland Sdn. Bhd. diwakili Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Bhd., Tan Sri Liew Kee Sin.

Mengulas mengenai surat tawaran itu, Raja Nong Chik berkata, tempoh sebulan diberikan kepadapenduduk untuk memberi jawapan kepada DBKL.

Menurutnya, surat tawaran sebanyak 5669 yang dikeluarkan oleh DBKL itu mempunyai tiga kategori iaitu surat tawaran kepada penyewa, pemilik satu bilik dan pemilik dua bilik.

"Surat tawaran yang diberi kepada penyewa merupakan surat tawaran untuk mereka membeli satu unit rumah gantian tiga bilik dengan keluasan 800 kaki persegi pada harga RM28,000 seunit.

Sekiranya mereka menolak tawaran pembelian itu, mereka boleh terus menyewa unit rumah dengan DBKL setelah rumah siap dibina.

"Bagi pemilik satu bilik, mereka ditawarkan seunit rumah tiga bilik yang berkeluasan 800 kaki persegi sebagai gantian rumah sedia ada. Sekiranya menolak, mereka boleh memilih untuk menjual unit rumah dimiliki kepada DBKL pada harga RM14,000 dan bayaran akan dilaksanakan setelah unit rumah baru siap.

"Manakala bagi pemilik dua bilik, mereka ditawarkan seunit rumah tiga bilik berkeluasan 800 kaki persegi sebagai gantian serta insentif tambahan dalam bentuk wang berjumlah RM14,000," ujarnya.

Sebelum ini, pada 31 Oktober 2012, sebanyak 82 peratus (4,645 penghuni) penyewa dan pembeli bersetuju dengan cadangan pembangunan semula ini manakala selebihnya iaitu 18 peratus (1,024 penghuni) tidak bersetuju dan tidak mengembalikan borang bancian yang dikeluarkan DBKL.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan