Jumaat, 29 Mac 2013

Utusan Online - Pahang

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Stadium MPT mercu tanda baharu

Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT

TEMERLOH 29 Mac - Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) yang boleh memuatkan sehingga 9,000 penonton bakal menjadi mercu baharu di daerah ini setelah kerja-kerja menaik taraf stadium itu selesai.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP), Datuk Akbar VV Abu berkata, dengan tambahan sebanyak RM3 juta yang diluluskan Kerajaan Pusat bagi tujuan menambah jumlah tempat duduk penyokong akan merancakkan lagi sukan bola sepak khususnya di kawasan Pahang Barat.

"Pada masa sama, kita turut memohon jasa baik MPT menambah baik kemudahan sedia ada dan hasrat membawa kejohanan bola sepak peringkat kebangsaan ke Temerloh mungkin tercapai.

"Terima kasih kepada Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan MPT yang menyalurkan peruntukan dan idea dalam merealisasikan hasrat ini sekali gus menggembirakan peminat sukan di daerah ini," katanya di sini.

Tukang rumah gembira terima bantuan

Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT

Wu Chee Leong yang mengalami kecederaan teruk akibat terjatuh ketika membuat rumah menerima sumbangan dari Abdul Manan Ismail (dua kiri) menerusi program Jasa Prihatin di rumahnya di Sungai Lembing, kelmarin.

PAYA BESAR 29 Mac - Seorang tukang rumah, Wu Chee Leong yang mengalami kecederaan teruk di bahagian tulang belakang akibat terjatuh semasa bekerja kira-kira 27 tahun lalu pernah menganggap masa depannya telah musnah setelah ditimpa kemalangan itu.

Akibat kemalangan ketika dia berumur 23 tahun itu, Chee Leong yang kini berusia 51 tahun dan berasal dari Kampung Tengah, Sungai Lembing di sini tidak mampu berjalan dan hanya bergerak menggunakan kerusi roda.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka akan menerima pelbagai bantuan termasuk RM300 setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setelah masa mudanya musnah akibat peristiwa hitam tersebut.

"Beginilah kehidupan saya, hendak duduk lama pun sudah tidak boleh sebab kesan luka di bahagian tulang belakang saya, kedua-dua kaki pun tidak boleh bergerak akibat kemalangan itu.

"Tetapi saya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana berterusan memberikan bantuan untuk saya meneruskan kehidupan," katanya.

Chee Leong berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima bantuan menerusi program Jasa Prihatin yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail di rumahnya semalam.

Seramai 60 penduduk majoritinya warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU) menerima bantuan barangan keperluan harian menerusi program yang dikendalikan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu.

Yang turut hadir, Pembantu Penerangan Jasa negeri, Wan Ludin Wan Ali.

Chee Leong berkata, dia terharu kerana kesusahannya akibat kemalangan yang menimpa dirinya itu sentiasa mendapat perhatian kerajaan.

Sementara itu, Abdul Manan berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sememangnya sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat termasuk golongan kurang bernasib baik, warga emas dan OKU.

Menurutnya, usaha itu sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat.

"Pelbagai bantuan telah kerajaan salurkan, antaranya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan berharap rakyat akan menghargainya. Saya percaya lebih banyak lagi bantuan diberikan pada rakyat pada masa akan datang," katanya.

Resort World Genting cadang ambil bekas banduan bekerja

Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT

BENTONG 29 Mac - Pengurusan Resort World Genting (RWG) sedia menimbang mengambil bekas banduan untuk bekerja dengan syarikat itu jika mereka mempunyai kelayakan bagi memenuhi kekosongan keperluan tenaga kerja di pusat peranginan tersebut dalam bidang perhotelan dan taman tema.

Naib Presiden Kanan Perhubungan Awam dan Komunikasi RWG, Datuk Anthony Yeo berkata, pengambilan bekas banduan bagi mengisi kekosongan tenaga kerja syarikat berkenaan secara tidak langsung dapat membantu mereka membina hidup baharu.

Menurut beliau, jika mereka tidak diberikan peluang bekerja, keadaan itu akan menyebabkan golongan tersebut kembali terbabit dalam aktiviti jenayah kerana tidak mempunyai pekerjaan untuk menyara diri dan keluarga selepas bebas daripada penjara.

''Saya percaya jika kita memberi peluang kedua pastinya mereka akan hargai kerana kebebasan yang dinikmati itu tentunya sangat berharga dan sudah tentu mereka tidak mahu kembali ke penjara.

''Malah kemahiran yang ada pada mereka semasa mempelajarinya dalam penjara akan menjadi sia-sia jika tidak menggunakannya untuk menyara hidup," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia semasa diminta mengulas mengenai Program Amal Bengkel Kebajikan anjuran Resort World Genting dengan kerjasama Penjara Bentong yang dijalankan di sini baru-baru ini.

Menerusi program itu, RWG menghantar sekumpulan tukang masak daripada Hotel Resort dan Hotel Theme Park Genting diketuai oleh Eksekutif Chef, Alex Vitalise bagi mencurahkan ilmu dan kemahiran mereka dalam bidang masakan barat kepada banduan serta juga kakitangan penjara.

Anthony berkata, pihaknya berharap dapat meneruskan program tersebut bagi membantu kerajaan dan penjara menjalankan proses pemulihan banduan menerusi ilmu kemahiran yang ada pada kakitangan RWG.

"Kita juga sedia menimbang untuk membeli barangan yang dihasilkan oleh para banduan sama ada bagi kegunaan hotel seperti biskut dan kraf tangan atau sebagai cenderahati bagi dijual kepada para pelancong," ujarnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan