Jumaat, 29 Mac 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Lagi alasan 'masalah teknikal'

Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT

Oleh NAZARUDIN SHAHARI
nazarudin.shahari@utusangroup.com.my

DAVID Dass Aseerpatham (kiri) menjawab soalan pemberita ketika mengadakan sidang akhbar di Seremban, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/ABD. RAZAK AID

SEREMBAN 29 Mac - DAP sekali lagi menggunakan alasan 'masalah teknikal' sebagai punca 753 perwakilan parti itu tidak menerima surat undangan untuk menghadiri Kongres Kebangsaan Ke-16, sekali gus gagal mengundi bagi memilih ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) pada Disember lalu.

Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, David Dass Aseerpatham berkata, beliau yang menghubungi ibu pejabat DAP sebelum kongres itu untuk bertanya mengenai hal tersebut telah diberitahu berlaku kesalahan komputer yang menyebabkan surat itu tidak dihantar.

Beliau berkata, masalah itu turut dibangkitkan kepada para pemimpin negeri tetapi tidak mendapat jawapan.

"Nampaknya kesilapan teknikal akan menjadi satu jawapan mudah dan lazim setiap kali sebarang masalah dibangkitkan kepada pemimpin tertinggi DAP," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi DAP Cawangan Taman Desa Dahlia, Richard Francis dan Setiausaha cawangan berkenaan, S. Karthiyaini.

Richard dan Karthiyaini turut mengakui tidak menerima surat jemputan itu walaupun pernah menerima surat lain dari ibu pejabat parti menggunakan alamat rumah masing-masing.

Sebelum ini, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendedahkan DAP gagal memaklumkan kepada 753 daripada 2,576 ahlinya bagi menghadiri pemilihan CEC berkenaan pada 15 Disember tahun lalu, sekali gus menimbulkan persoalan berhubung status pemilihan tersebut.

Kelmarin, Setiausaha DAP Bahagian Pantai Sepang Putra, Sungai Pelek, R. Ramdas mendakwa, beliau antara 753 perwakilan yang tidak menerima surat jemputan menghadiri kongres berkenaan.

David Dass turut memberitahu, beliau tidak menolak kemungkinan masalah itu disengajakan bagi membolehkan kumpulan tertentu menang dalam pemilihan yang dibuat semasa kongres berkenaan.

"DAP kini bukan lagi Democratic Action Party tetapi Dramatic Action Party yang dibarisi pelakon handalan dengan (Pengerusi DAP) Karpal Singh diperkudakan oleh Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng.

"Jika Karpal bukan seorang profesional, entah mana dia akan dicampakkan oleh Kit Siang dan Guan Eng," bidas David Dass lagi.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana cara pelantikan jawatan tertinggi di kalangan 20 ahli CEC dalam parti itu dibuat.

"Ini tidak berlaku kepada mana-mana parti lain sama ada UMNO, MIC atau Pas yang melalui proses pengundian untuk memilih pemimpin tertinggi parti," katanya.

Wan Azizah dinasihat tidak bertanding di Selangor

Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT

KUALA LUMPUR 29 Mac - Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dinasihatkan tidak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Amizan Man mendakwa, ini kerana terdapat kelompok tertentu dalam parti menolak kehadiran Presiden PKR itu di negeri tersebut.

"Ada kelompok tertentu berkata Datin Seri (Wan Azizah) tak payah bertanding (DUN Selangor). Hal ini kerana Selangor bukanlah kawasan beliau.

"Kalau bertanding juga, ini akan memecahbelahkan parti. Jadi tak payahlah. Duduk diam-diam di Permatang Pauh," dakwanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam satu sidang akhbar semalam, Wan Azizah membayangkan kemungkinan bertanding di kerusi DUN dan disebut-sebut bakal dicalonkan di sebuah kerusi di Selangor.

Malah, beliau dijangka dilantik sebagai Menteri Besar jika pakatan pembangkang berjaya mengekalkan kuasa mereka.

Berikutan perkembangan itu, difahamkan Menteri Besar sedia ada, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan bertanding kerusi Parlimen.

Turut dikatakan akan bertanding kerusi Parlimen ialah Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali.

Amizan mendakwa, walaupun peratusan kemenangan Wan Azizah dikatakan cukup kuat jika bertanding di DUN Selangor, namun perkara itu akan menampakkan PKR bersifat seperti 'parti keluarga'.

"Bagilah kepada Azmin. Tak manis beliau dan Azmin bertanding DUN Selangor," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan