Ahad, 31 Mac 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


70 guru, pelajar pondok agama isytihar keluar Pas

Posted: 31 Mar 2013 09:59 PM PDT

HANAPI Mamat (tiga kanan) menerima borang keahlian UMNO daripada bekas penyokong Pas, Mohd. Hafni Zaini dalam satu majlis ringkas di Tendong, Pasir Mas, Kelantan malam tadi. - UTUSAN

PASIR MAS 1 April - Sebanyak 70 anggota Pas yang terdiri daripada guru dan pelajar sebuah sekolah pondok di sini, malam tadi mengisytiharkan mereka keluar daripada parti itu dan menyertai UMNO sebagai wadah perjuangan.

Bagi mereka tiada parti lain selain UMNO yang mampu memartabatkan sinar Islam selepas Pas gagal berbuat demikian sejak memerintah Kelantan pada 1990.

Selain itu bagi mereka lagi terlalu banyak janji palsu yang ditaburkan pemimpin Pas dan selama itu mereka melihat jasa kerajaan Pusat dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat benar-benar telah menambat hati.

Wakil guru dan pelajar pondok di Tal Tujuh di sini, Mohd Zaidi Shafie berkata budi UMNO dan kerajaan pusat dalam memartabatkan sinar Islam dan membantu rakyat telah menyebabkan mereka bertukar fikiran untuk keluar daripada Pas.

"Memang betul saya pengikut setia Tok Guru Nik Aziz (Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan selalu mengikut programnya. Apabila saya membuat perbandingan akhirnya kami sepakat Pas tidak boleh membela nasib kami dan tidak mampu memartabatkan Islam.

"Jasa kerajaan Barisan Nasional (BN) sangat besar terutama pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia dan banyak lagi.

"Ini telah membuka hati kami para guru dan pelajar pondok di sini dan kami yakin UMNO boleh membawa negara, bangsa dan agama ke tempat yang selayaknya," katanya pada majlis penyerahan borang keanggotaan UMNO kepada Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat di Kampung Hutan Chengal, Tendong di sini malam tadi.

Mohd Zaidi berkata lebih menyedihkan Pas hanya pandai menabur janji namun tidak pernah ditunaikan demi rakyat di Kelantan.

Sementara itu Hanafi berkata keikhlasan guru dan pelajar pondok itu untuk menyertai UMNO bukan dipaksa oleh mana-mana pihak tetapi lahir daripada kehendak mereka sendiri.

"Saya jangka lebih ramai anggota Pas akan keluar parti dan menyertai UMNO.

Penyertaan guru dan pelajar sekolah pondok ini diharap dapat membuka mata anggota Pas untuk sama-sama berjuang dalam UMNO," katanya. - BERNAMA

60 anggota PKR kawasan Bayan Lepas sertai UMNO

Posted: 31 Mar 2013 08:55 PM PDT

GEORGETOWN 1 April - Sebanyak 60 anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari kawasan Bayan Lepas di sini keluar daripada parti itu dan menyertai UMNO kerana hilang keyakinan terhadap kemampuan parti itu untuk membela nasib rakyat Pulau Pinang.

Wakil kumpulan itu, Mohd Eruwan Yusof, 35, berkata, selama lebih lima tahun bersama dengan PKR, beliau mendapati perjuangan parti itu tidak mempunyai makna untuk rakyat.

"Dahulu kami terlalu ghairah inginkan perubahan kerana itu kami beri sokongan penuh tetapi akhir-akhir ini kami merasakan keadaan di Pulau Pinang ini bukannya bertambah baik sebaliknya menjadi kelam-kabut dan bergolak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima borang keahlian daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas Syed Ameruddin Syed Ahmad di Flat Taman Emas, Sungai Batu, di sini.

Katanya, keputusan beliau dan rakan-rakannya keluar daripada PKR dibuat dengan kerelaan hati tanpa paksaan atau sogokan dari mana-mana pihak.

Sementara itu Syed Ameruddin berkata, tindakan Mohd Eruwan dan rakan-rakannya memilih UMNO membuktikan bahawa sokongan rakyat terhadap Umno dan Barisan Nasional kini semakin kuat.

Katanya, rakyat mulai sedar bahawa permainan politik kerajaan pakatan pembangkang hanya membuang masa dan kerajaan negeri itu tidak mampu melakukan sebarang perubahan untuk membela nasib rakyat.

- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan