Sabtu, 30 Mac 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Jualan pasar tani RM8.3j 2013

Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
utusanmelaka@utusan.com.my

Latipah Omar serta pengunjung tertarik dengan aksi seekor beruk memetik buah kelapa pada majlis pelancaran Karnival Pasar Tani, di Pusat Transformasi Bandar,Jalan Hang Tuah, di Melaka, kelmarin.

MELAKA 29 Mac - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka menyasarkan jumlah hasil jualan pasar tani di negeri ini antara RM8 juta dan RM8.3 juta sepanjang tahun ini.

Pengarah FAMA negeri, Mohd. Nawi Othman berkata, sasaran itu dibuat berikutan jumlah hasil jualan sebanyak RM7.86 juta bagi keseluruhan 17 pasar tani melibatkan 230 peserta tahun lalu.

"Bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini iaitu antara Januari dan Februari lalu, jumlah jualan pasar tani di seluruh negeri adalah RM1.36 juta melibatkan sebanyak 18 buah pasar tani dengan jumlah peserta seramai 260 orang.

"Tahun ini terdapat pertambahan satu lagi pasar tani iaitu di Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang yang dibuka pada 10 Mac lalu,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Karnival Pasar Tani di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Jalan Hang Tuah di sini semalam.

Hadir merasmikan karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam itu ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Latipah Omar.

Karnival yang dijangka dihadiri oleh 5,000 pengunjung itu melibatkan seramai 55 usahawan dan 70 gerai pelbagai jualan termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, produk industri asas tani dan produk makanan.

1Malaysia platform belia hayati perpaduan

Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT

Abdul Samad Ibrahim (kanan) menyerahkan replika cek tajaan akhbar Utusan Malaysia bagi Program Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia 2013 kepada Zairina Lubis Nordin (kiri) di Pejabat Pusat Khidmat Barisan Nasional di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, semalam.

KUALA PILAH 29 Mac - Kira-kira 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan program Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia 2013 yang diadakan di padang Sekolah Yam Tuan Hitam, Terachi dekat sini sehingga Ahad ini.

Program tiga hari yang bermula hari ini anjuran Kementerian Belia dan Sukan yang diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti itu turut mendapat kerjasama dari pelbagai agensi swasta dan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Samad Ibrahim berkata, program tersebut menjadi platform untuk menarik minat belia menghayati erti perpaduan dan kesejahteraan negara.

"Program ini memberi peluang kepada golongan belia untuk melibatkan diri dalam aktiviti sosial yang diyakini dapat meningkatkan kebolehan mereka untuk bergaul dan berkomunikasi.

"Secara tidak langsung, ia juga dapat mengeratkan hubungan antara penduduk dan memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat tanpa mengira perbezaan kaum," kata beliau.

Abdul Samad berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas majlis penyerahan replika cek kepada Eksekutif Jualan Utusan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Zairina Lubis Nordin di Pejabat Pusat Khidmat Barisan Nasional di Kuala Pilah di sini hari ini.

Program yang bermula pukul 8 pagi sehingga 11 malam setiap hari menawarkan pelbagai aktiviti termasuk kegiatan sukan selain persembahan artis popular dan kebudayaan.

Antara artis ternama yang akan memeriahkan acara berkenaan ialah Ramli Sarip, Datuk Hattan, Black, Najwa Latif dan pelawak Eby Yus.

Tidak ketinggalan forum perdana, Senamrobik 1Malaysia, pertandingan tarik tali, karaoke selain penyediaan gerai pameran membabitkan pelbagai agensi juga diadakan.

Menurut beliau lagi, penganjur juga akan melancarkan Tabung Perwira Lahad Datu bagi tujuan mengutip sumbangan daripada pengunjung fiesta berkenaan.

Orang ramai yang menghadiri Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia 2013 juga akan menerima akhbar Utusan Malaysia yang akan diedarkan secara percuma sepanjang program tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan