Ahad, 31 Mac 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Ibu bapa tuntut janji

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID
pengarang@utusan.com.my

Demonstrasi oleh para pendidik yang diketuai oleh Ketua Urusetia, Dr. Nordin Tahir melontarkan perasaan tidak puas hati mereka kepada Kerajaan Selangor mengenai janji sebanyak RM50 sebulan di Taman Seri Serdang, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/WAHIDAH ZAINAL

KUALA LUMPUR 30 Mac - Kira-kira 200 ibu bapa di Parlimen Serdang dan Parlimen Puchong berhimpun secara aman di kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Serdang dekat sini hari ini, bagi mendesak kerajaan Selangor memberikan bantuan RM50 kepada pendidikan prasekolah yang dijanjikan semasa Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12.

Pengerusi Badan Bertindak Rakyat Selangor (BBRS), Datuk Said Anuar Said Ahmad berkata, biarpun sehingga kini masih gagal menunaikan janji manifesto pada pilihan raya sebelum ini, namun kerajaan negeri itu sudah memberi harapan baharu kepada ibu bapa dengan memperkenalkan Program Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) yang akan diberikan secara berperingkat.

Katanya, tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan Program Tunas pada Julai tahun lalu, adalah dilihat sebagai menutup kegagalan menunaikan janji manifesto terutama berhubung pemberian RM50 bagi pendidikan prasekolah.

"Program Tunas tersebut kononnya bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah yang mempunyai pendapatan RM1,500 ke bawah, sedangkan kerajaan Selangor dalam manifesto pilihan raya yang lalu tidak pula menyebut jumlah pendapatan isi keluarga," katanya ketika ditemui pemberita semasa menyertai perhimpunan tersebut.

Yang turut hadir Naib Ketua UMNO Bahagian Puchong, Ir. Rosli Idrus.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor sebelum ini, menjanjikan pemberian RM50 sebulan kepada kanak-kanak prasekolah sebagai memenuhi tanggungjawab sosial dan kebajikan rakyat.

Menurut Said Anuar, janji tersebut hanya merupakan satu lagi 'gula-gula' pembangkang untuk menipu rakyat bertujuan meraih undi dalam pilihan raya akan datang.

"Ada 130,000 kanak-kanak prasekolah di negeri Selangor, 30,000 kanak-kanak belajar di tadika Kemas tapi kerajaan negeri hanya peruntukkan 5,000 sahaja dan bantuan tersebut cuma disalurkan kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sahaja," katanya.

Beliau berkata, hari ini sahaja sebanyak 2,800 permohonan diterima dan menjadikan jumlah keseluruhan 16,000 permohonan saman bernilai RM63 juta akan difailkan melalui ibu bapa di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 April ini.

Showcase Anak Muda beri Anugerah Tokoh Muda

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

Kuala Lumpur 30 Mac - Majlis Belia Selangor (MBS) akan menyampaikan Anugerah Tokoh Muda Lumba Basikal Malaysia kepada pelumba remaja negara, Muhammad Firdaus Mohd. Zonis sebagai tanda penghargaan atas kejayaannya meraih empat emas dan satu perak dalam Kejohanan Basikal Remaja Asia 2 baru-baru ini.

Presiden MBS, Datuk Irmohizam Ibrahim (gambar) berkata, anugerah itu akan disampaikan sempena majlis Showcase Anak Muda di Shah Alam, esok.

"Dia anak jati Kuala Selangor, jadi kita beri anugerah kepada Muhammad Firdaus di daerah kelahirannya," katanya.

Sebagai anak Selangor, kata Irmohizam, seluruh ahli dan kepimpinan MBS ingin menzahirkan rasa kagum terhadap Muhammad Firdaus yang berjaya mengharumkan nama negara pada usia 17 tahun.

Sementara itu katanya, Showcase Anak Muda kini melangkah siri ke-10 dan telah mencapai matlamat untuk menemui 150,000 anak muda Selangor yang tidak menyertai persatuan dan pertubuhan.

"Kehadiran anak muda di Puncak Alam, malam esok adalah bonus untuk MBS," katanya.

Selain penyampaian anugerah itu kata Irmohizam, SAM akan turut menyiarkan klip khas 10 petikan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu keamanan dan perpaduan negara.

"Kesemua 10 amanat Perdana Menteri penting untuk meningkatkan semangat patriotik dan menghargai pengorbanan pasukan keselamatan terutama dalam insiden di Lahad Datu, Sabah," katanya.

SAM di Puncak Alam akan diadakan di Tapak Pasar Malam Shah Alam 2, Puncak Alam bermula 10 pagi hingga 12 tengah malam.

Klinik kesihatan Bandar Tun Hussein Onn siap 2015

Posted: 30 Mar 2013 12:19 PM PDT

KUALA LUMPUR 30 Mac - Sebuah klinik kesihatan dengan kos RM20 juta akan dibina di Persiaran Suadamai, Bandar Tun Hussein Onn dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar) berkata, projek pembinaan klinik kesihatan di atas tapak seluas 1.8 hektar dijangka memberikan kemudahan kesihatan kepada kira-kira 200,000 penduduk di sekitar kawasan tersebut.

"Projek tersebut dijangka memberikan manfaat kepada penduduk kawasan sekitar Bandar Tun Hussein Onn, Cheras dan Balakong.

"Setelah klinik ini siap dibina, kami akan menempatkan lebih ramai pegawai perubatan yang dijangka dapat menampung 300 hingga 500 pesakit pada satu masa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Pengesahan Tapak untuk Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Bandar Tun Hussein Onn di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Datuk Farida Mohd. Ali dan Ketua Penyelaras kawasan Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon.

Jelas beliau, projek tersebut adalah antara cadangan Pian Hon selaku Ahli Parlimen Serdang pada tahun 2006 selepas klinik di Batu 11 Cheras musnah dalam satu kebakaran.

Katanya, tempoh masa diambil untuk meluluskan projek tersebut agak panjang kerana pembinaan itu memerlukan perancangan, pemilihan tapak dan kelulusan pemindahan hak milik tanah kepada kerajaan.

Dalam pada itu, Tiong Lai juga mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan sebanyak 88 projek lagi pada tahun ini bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan rakyat yang semakin meningkat.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak lapan projek akan dilaksanakan di beberapa kawasan di Selangor.

"Projek tersebut termasuklah pembinaan hospital di Tanjung Karang, Klinik Pergigian Tanjung Karang; Klinik Kesihatan (Jenis 3) dan Kuarters di Gombak Setia; Klinik Kesihatan dan Kuarters di Kapar, Klang; Klinik Kesihatan Puchong; Klinik Kesihatan (Jenis 3) Bandar Tun Hussein Onn dan menaik taraf Klinik Pergigian di Bukit Chagar," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan