Selasa, 4 Disember 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Beri laporan kepada pembayar zakat: Jamil Khir

Posted: 04 Dec 2012 01:01 AM PST

PUTRAJAYA: Semua majlis dan jabatan agama Islam negeri disaran mengeluarkan kad laporan agihan zakat kepada pembayar zakat, sebagai galakan kepada mereka untuk terus berzakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, amnya, menjelang hujung tahun antara 80 hingga 90 peratus daripada kutipan zakat telah diagih kepada golongan asnaf.

Baki dalam 20 peratus itu akan dibawa ke tahun depan, terutama untuk agihan pada Januari dan Februari kerana pada bulan itu jumlah kutipan zakat agak berkurangan, katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2012, di sini, hari ini.

Katanya golongan asnaf tertinggi yang menerima agihan zakat ialah fakir miskin, diikuti pembiayaan pendidikan.


Dalam pada itu, Jamil Khir berkata sejak kebelakangan ini agihan zakat setiap negeri menunjukkan peningkatan, menandakan jumlah kutipan juga meningkat.


Ini menandakan umat Islam di negara ini semakin sedar akan ibadah berzakat, katanya menambah jumlah kutipan lazimnya meningkat ketika bulan puasa dan hujung tahun. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/04



9 pemain kelab, negeri setuju sertai Harimau Muda A: Kim Swee

Posted: 04 Dec 2012 12:58 AM PST

KUALA LUMPUR: Sembilan pemain daripada pasukan kelab dan negeri telah menyatakan persetujuan menyertai pasukan Harimau Muda A (skuad bawah 23 tahun negara) pada musim depan, kata ketua jurulatih skuad berkenaan, Ong Kim Swee.

Pemain terbabit ialah Mohd Rozaimi Abd Rahman (Sabah), Muhammad Nurridzuan Abu Hassan, D Kenny Pallraj (Perak); Muhammad Zubir Mohd Azmi (Terengganu), Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim (Kelantan) dan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (PKNS FC).

Mohamad Firdaus Muhamad (Harimau Muda B), Saiful Ridzuwan Selamat (UiTM FC) dan Adam Nor Azlan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil.

"Kesemua pemain tersebut telah melapor diri semalam kecuali dua pemain dari Perak yang membantu pasukan mereka menghadapi (Perlis) pada suku akhir kedua Piala Emas Raja-Raja (di Stadium Perak, Ipoh), hari ini," katanya kepada Bernama, hari ini.


Kim Swee berkata pemain yang belum melapor diri akan berbuat demikian pada sesi latihan pasukan berkenaan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, petang esok.


"Selain sembilan pemain tersebut, saya turut berminat mendapatkan pemain pertahanan dari Selangor PKNS iaitu Mohd Aminuddin Mohd Noor bagi memperkuatkan pasukan menghadapi kejohanan-kejohanan pada tahun depan.

"Saya difahamkan, Mohd Aminuddin bersama Mohd Azrif Nasrulhaq kini bersama pasukan Selangor PKNS menghadapi perlawanan persahabatan sebagai persiapan menghadapi Liga Malaysia tahun depan, namun saya berharap dapat menyelesaikan proses mendapatkan kedua-dua pemain berkenaan sebelum 10 Dis ini," katanya.

Beberapa pemain skuad berkenaan telah meninggalkan pasukan itu berikutan telah melebihi had umur, antaranya pemain kebangsaan Mahalli Jasuli yang menyertai pasukan Selangor.

Skuad Harimau Muda A bakal beraksi di Eropah musim depan sebagai persediaan awal mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2013 di Myanmar dan tempat mereka dalam Liga Singapura akan digantikan skuad Harimau Muda B yang dikendalikan bekas jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/04



Tiada ulasan:

Catat Ulasan