Rabu, 5 Disember 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Saham KL ditutup kukuh

Posted: 05 Dec 2012 02:51 AM PST

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup kukuh hari ini dengan unjuran ekonomi yang positif bagi tahun depan membantu merancakkan sentimen pasaran, kata para peniaga.

Petunjuk utama pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.18 mata kepada 1,613.79.

Indeks utama itu bergerak antara 1,609.35 dan 1,614.51 selepas dibuka pada 1,609.54.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang kepada 5.6 peratus tahun depan berdasarkan kepada persekitaran ekonomi global yang menggalakkan.

Sementara itu, niaga janji bernilai RM28 bilion yang dimeterai semalam bagi pembangunan dalam bidang nanoteknologi serta beberapa pelaburan ikonik di Iskandar Malaysia, dilihat segagai pemangkin utama yang lain untuk pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam pada itu, penganalisis teknikal kanan TA Securities, Stephen Soo berkata pergerakan Bursa Malaysia adalah seiring dengan prestasi pasaran serantau yang lain, dirangsang oleh mandat daripada pemimpin baharu China untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara itu tahun hadapan.

"Pelabur mengalihkan fokus mereka daripada isu jurang fiskal AS untuk mengharapkan pertumbuhan di ekonomi kedua terbesar di dunia, China, akan pulih lebih cepat daripada yang dijangkakan," kata beliau kepada Bernama.
Pemimpin Parti Komunis China itu berikrar untuk membuat dasar yang lebih disasarkan dan cekap tahun depan untuk membantu ekonomi pulih, sekali gus menyaksikan saham-saham serantau dan pasaran komoditi bergerak lebih baik hari ini.

Saham-saham untung mengatasi saham rugi dengan 361 berbalas 293 sementara 345 kaunter tidak berubah, 634 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mengukuh kepada 829.126 juta saham bernilai RM1.19 bilion daripada 788.99 juta saham bernilai RM1.24 bilion semalam.

Indeks Kewangan melonjak 46.18 mata kepada 15,031.56, Indeks Perindustrian
lebih tinggi 9.77 mata kepada 2,671.70 dan Indeks Perladangan naik 7.86 mata kepada 7,898.48.

Indeks FBM Ace, bagaimanapun, turun 6.29 mata kepada 4,174.68.

Indeks FBM Emas lebih tinggi 36.38 mata kepada 10,992.97, FBMT100 meningkat 37.45 mata kepada 10,845.69 dan Indeks FBM Mid 70 menambah 22.319 mata kepada 12,056.14.

Antara saham-saham aktif, Astral Supreme-Warr menambah satu sen kepada 10.5 sen, Takaso Resources jatuh 1.5 sen kepada 25.5 sen, Tiger Synergy kekal pada 34 sen sementara Astral Supreme lega setengah sen kepada 26 sen.

Untuk saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM9.07, CIMB melonjak enam sen kepada RM7.54, Sime Darby kerugian satu sen kepada RM8.96 sementara Axiata meningkat tiga sen kepada RM5.96.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menokok kepada 654.49 juta unit bernilai RM1.17 bilion daripada 586.86 juta unit bernilai RM1.21 bilion pada hari Selasa.

Jumlah dagangan di pasaran Ace turun kepada 126.13 juta saham bernilai RM20.23 juta daripada 151.70 juta saham bernilai RM20.99 juta semalam.

Waran susut kepada 44.99 juta unit bernilai RM2.66 juta daripada 48.53 juta unit bernilai RM2.49 juta sebelumnya.

Produk pengguna menguasai 95.718 juta saham di Pasaran Utama, produk perindustrian 197.583 juta, pembinaan 18.409 juta, urus niaga dan perkhidmatan 193.737 juta, teknologi 44.119 juta, infrastruktur 14.533 juta, kewangan 34.0 juta, perhotelan 190,700, hartanah 38.435 juta, perladangan 11.932 juta, perlombongan 5,000, REIT 5.818 juta dan dana tertutup 1,000. - BERNAMA

Jenain minta maaf kepada keluarga Aminulrasyid

Posted: 05 Dec 2012 02:49 AM PST

SHAH ALAM: Walaupun Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan beliau daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, dua tahun lepas, Koperal Jenain Subi tetap merendah diri memohon maaf kepada keluarga remaja lelaki itu.

"Saya minta maaf kepada keluarga Aminulrasyid atas apa yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.

Jenain yang ditemani peguam belanya, M.Athimulan, Salim Bashir dan Halim Ashgar Mohd Hilmi berkata keputusan mahkamah juga telah membuktikan bahawa beliau tidak bersalah.

"Alhamdulillah...semua ini kuasa Tuhan dan selama ini saya berserah kepadaNya. Hari ini telah terbukti siapa salah dan siapa tidak salah dan akhirnya saya mendapat keadilan yang sewajarnya," katanya yang tidak dapat menahan tangisan.

Terdahulu, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan membebaskan Jenain daripada tuduhan selepas menerima rayuan anggota polis itu terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen di sini pada September tahun lepas.

Sejurus hakim membacakan keputusannya, Jenain yang memakai kemeja dan berkopiah putih mengalirkan air mata dan tersenyum. Isteri serta seorang anak perempuannya yang berada di galeri awam turut menangis kegembiraan.

Beliau yang pernah bertugas sebagai polis mahkamah turut menerima ucapan tahniah daripada beberapa anggota polis yang hadir memberikan sokongan moral.
Jenain, 49, yang ketika kejadian bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, antara 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepala.

Ditanya sama ada beliau masih ingin meneruskan khidmat dalam pasukan polis, Jenain yang kini digantung tugas berkata kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat sebagai anggota polis.

"Saya tetap akan teruskan perjuangan dan berkhidmat untuk pasukan polis serta kerajaan," kata bapa kepada empat orang anak yang berkhidmat selama 25 tahun dalam pasukan polis.

Sementara itu, ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamad, 62, berkata keluarganya tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Jenain daripada tuduhan menyebabkan kematian anaknya.

Beliau berkata keluarganya akan berbincang dengan peguam untuk membuat semakan terhadap keputusan itu.

"Sudahlah keputusan awal ke atas tertuduh sebelum ini hanya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan kali ini dalam keputusan rayuan tertuduh dibebas daripada kesalahan itu.

"Saya sebagai seorang ibu mahukan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana anak saya bukan penjenayah tetapi hanya tidak memiliki lesen memandu semasa kejadian berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Seksyen 11 di sini hari ini.

Norsiah berkata, beliau hanya mengetahui mengenai keputusan pembebasan Jenain selepas dihubungi anak sulungnya, Nor Azura, 42, yang membaca berita di Internet.

Beliau berkata, keluarganya tidak dapat hadir di mahkamah untuk mendengar keputusan kerana semua anaknya sibuk bekerja dan hanya mampu berdoa di rumah supaya anggota polis itu dijatuhi hukuman setimpal.

"Bagaimanapun saya amat terkejut dan terkilan dengan keputusan ini. Saya juga rasa sangat sedih kerana kematian anak saya seolah-olah tidak mendapat pembelaan sewajarnya," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan