KAJANG: Perbuatan khianat dipercayai motif 11 motosikal dengan 10 daripadanya musnah dalam kebakaran membabitkan pelbagai motosikal di Pangsapuri Kos Rendah Taman Tasik, Sungai Chua, di sini, awal pagi semalam.
Kejadian jam 3.30 pagi itu dilakukan sekumpulan individu yang menyimbah minyak petrol sebelum membakar motosikal milik penduduk itu.
Menurut mangsa yang dikenali sebagai Suraya, 25, dia terdengar bunyi bising di tingkat bawah rumahnya, tetapi tidak mengendahkannya kerana menyangkakan pergaduhan di kalangan penduduk.
Bagaimanapun, katanya, dia terkejut apabila terdengar letupan kuat sebelum seorang jirannya menjerit meminta dia keluar menyelamatkan diri.
"Saya terus turun dan terkejut apabila mendapati motosikal saya yang dibeli sejak dua tahun lalu musnah dijilat api.
"Api menjulang tinggi dan asap tebal menyebabkan tembok kaki lima dan bahagian depan rumah saya di tingkat satu hitam dan hampir terbakar," katanya.
Katanya, kejadian itu yang pertama membabitkan kenderaan penduduk dibakar meskipun sebelum ini kerap berlaku insiden pergaduhan di pangsapuri berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.
"Siasatan awal tidak menolak kejadian itu bermotifkan dendam dan kami masih menunggu keputusan siasatan di tempat kejadian daripada unit forensik untuk mengesan suspek," katanya.
Katanya, berdasarkan rekod polis, tiada aktiviti membabitkan kumpulan gengster wujud di kawasan berkenaan namun siasatan lanjut dijalankan dari semua sudut.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.31 pagi sebelum jentera pertama tiba sembilan minit kemudian.
Katanya, api yang marak berjaya dikawal dalam tempoh lima minit dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/01
Tiada ulasan:
Catat Ulasan