Isnin, 29 Oktober 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Geng Hong tak serik

Posted: 28 Oct 2012 12:33 PM PDT

KUALA LUMPUR: Tidak serik biarpun sudah ditumpaskan Jun lalu, ahli sindiket pecah rumah dan samun kereta yang dikenali sebagai Geng Hong masih meneruskan kegiatan itu selepas mereka dibebaskan dengan jaminan mahkamah sementara menunggu kes disebut semula.

Kali ini, mereka ditahan ketika cuba memecah masuk kediaman Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye di Taman Maluri, Cheras, awal pagi semalam.


Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, empat lelaki yang berusia 30 hingga 40 tahun itu ditahan bersama sebuah kereta Mercedes yang disamun di Taman Bukit Maluri, Kepong, kelmarin.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 5 pagi itu, polis yang melakukan rondaan terserempak kereta berkenaan yang mencurigakan di tepi jalan sebelum ternampak kelibat dua lelaki memanjat pagar sebuah rumah.


"Sebaik ternampak anggota polis, dua lelaki itu melarikan diri dan memecut kereta yang turut dinaiki dua lagi rakan mereka ke arah Kondominium Pertiwi kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.


"Mereka merempuh besi penghadang pondok pengawal dan masuk ke kawasan tempat letak kereta kondominium berkenaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, semalam.

Katanya, suspek cuba merempuh polis yang mengejar kereta mereka dua kali sebelum membuat pusingan dan cuba melarikan diri menyebabkan anggota polis melepaskan tembakan.


Mohan berkata, seorang suspek yang duduk di bahagian belakang cedera di kepala akibat terkena serpihan kaca.

"Tujuh das tembakan dilepaskan masing-masing satu di bahagian hadapan, tiga di bahagian belakang dan tiga lagi di sebelah kiri kereta," katanya.


Katanya, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui pelbagai peralatan besi dipercayai digunakan untuk memecah masuk rumah dan samun kereta.


Katanya, suspek yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan semua mereka kini direman hingga 31 Oktober ini.


Sementara itu, Lam ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berterima kasih kepada anggota polis yang berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang.


"Meskipun ia sekadar percubaan dan saya sekeluarga tidak mengalami sebarang kecederaan, namun tindakan pantas anggota polis berjaya memberkas mereka.


"Saya gembira dan berharap polis sentiasa melakukan rondaan di kawasan ini bagi keselamatan penduduk setempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/29


Drebar gilis remaja cabut lari

Posted: 28 Oct 2012 12:27 PM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 5 November ini maut selepas motosikal ditunggangi terbabit kemalangan di Jalan Ampang, tengah malam kelmarin.

Mangsa, Hafidam Zalizan, 17, maut di tempat kejadian selepas motosikalnya dirempuh dan digilis sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti kerana dipercayai melarikan diri sebaik kejadian jam 12 tengah malam itu.


Berikutan itu, polis meminta orang awam atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat tampil ke balai polis atau menghubungi Rakan Cop 03-21159999 bagi membantu siasatan.

Difahamkan, Hafidam dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jinjang selepas menziarahi neneknya di Ampang sempena Aidiladha.


Sumber polis berkata, ketika tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa hilang kawalan sebelum dirempuh sebuah kenderaan.


"Mangsa terjatuh di atas jalan sebelum digilis kenderaan terbabit. Sehingga kini, polis masih mengesan kenderaan itu untuk membantu siasatan lanjut," katanya.

Katanya, mangsa yang menaiki motosikal Honda EX5 maut akibat parah di kepala dan dada.


Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/29


Tiada ulasan:

Catat Ulasan