Selasa, 30 Oktober 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


KWSP tarik balik penggantungan Public Matual sebagai IPD

Posted: 30 Oct 2012 03:12 AM PDT

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menarik balik penggantungan perkhidmatan Public Mutual Bhd sebagai satu Institusi Pengurusan Dana (IPD) mulai hari ini.

Dalam satu kenyataan, Public Mutual berkata ini adalah berikutan penjelasannya bahawa pelanggaran peraturan telah dibuat oleh seorang perunding saham amanah (UTC) yang tidak mematuhi peringatan ketat syarikat itu mengenai peraturan KWSP.

"Dengan penarikan balik penggantungan oleh KWSP itu, Public Mutual terus menjadi satu IPD di bawah Pengeluaran Pelaburan Simpanan ahli KWSP," katanya.

Katanya KWSP terserempak dengan UTC berkenaan yang mengedarkan risalah yang tidak dibenarkan di Shah Alam.

Public Mutual berkata ia sentiasa mengingatkan kesemua UTC bahawa mereka tidak dibenarkan menggunakan mana-mana bahan jualan dan pemasaran, yang termasuk bahan yang membuat sebarang rujukan terhadap KWSP dan logo KWSP, selain daripada yang diluluskan oleh syarikat itu.

Public Mutual akur bahawa "ia tidak bertolak ansur dengan sebarang pelanggaran peraturan yang dilakukan oleh mana-mana UTC terhadap peraturan KWSP."

Memandangkan keseriusan perkara itu, syarikat itu berkata ia telah mengambil tindakan yang wajar terhadap UTC yang melanggar peraturan KWSP itu.
KWSP telah memaparkan di laman webnya semalam bahawa perkhidmatan Public Mutual sebagai IPD di bawah pengeluaran pelaburan Simpanan Ahli KWSP telah digantung berkuat kuasa 29 Oktober. - BERNAMA

11 jenis sukan dikenal pasti dalam program 'Road To Rio 2016'

Posted: 30 Oct 2012 03:06 AM PDT

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan mengenal pasti 11 jenis sukan untuk disenarai di bawah program pembangunan Olimpik 'Road to Rio 2016', kata menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya akan memberi pertimbangan serius terhadap cadangan supaya tiga lagi acara sukan dimasukkan dalam program pembangunan Olimpik itu.

"Secara umum 11 jenis sukan tetapi tidak khusus lagi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pemandu Persediaan Atlit ke Olimpik Rio 2016 di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini, hari ini.

Difahamkan 11 jenis sukan itu ialah acara yang pernah menyaksikan penyertaan atlet negara pada temasya Olimpik lepas iaitu akuatik, angkat berat, berbasikal, badminton, gimnastik, hoki lelaki, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga dan sukan layar.

Program 'Road to Rio 2016' adalah kesinambungan daripada program 'Road To London 2012', yang bertujuan mencari pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik.

Ahmad Shabery berkata, tiga jenis sukan yang dicadangkan untuk disenarai dalam program 'Road To Rio 2016' ialah golf, ekuestrian dan tinju.

Beliau berkata, pelbagai aspek akan diambil kira sebelum menyenaraikan tiga jenis sukan berkenaan, antaranya dari segi kos membiayai sukan itu serta sama ada ia berpotensi untuk bersaing di peringkat Olimpik.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebuah jawatankuasa kecil akan dibentuk untuk mengenal pasti atlet yang layak disenarai dalam program itu yang bukan hanya bagi tempoh empat tahun sebaliknya menjangkau sehingga lapan tahun.

"Sebab itu kita masukkan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran dalam jawatankuasa itu (Jawatankuasa Pemandu Persediaan Atlet ke Olimpik Rio 2016).

"Ertinya kami perlu memikirkan untuk tempoh lapan tahun. Hubungan kami bukan sahaja dengan MSN tetapi dengan sekolah sukan di negeri untuk melahirkan bakal atlet bersaing di Olimpik.

"Kita perlu pendekatan menyeluruh. Sekolah-sekolah sukan ini akan menjadi kilang awal dalam melahirkan bakal atlit Olimpik dan kita akan melihat keperluan dan kemudahan yang ada di sekolah-sekolah itu," katanya.

Setakat ini, Ahmad Shabery berkata, pihaknya tidak menetapkan sasaran pingat pada Olimpik 2016 sebaliknya sedang meneliti pendekatan yang boleh menghasilkan pingat emas pertama negara, jumlah pingat yang boleh dimenangi serta bilangan atlit kebangsaan yang layak secara merit bersaing di temasya berkenaan.

Beliau berkata, kementerian juga mengalu-alukan peruntukan khas sebanyak RM50 juta bagi tempoh empat tahun, bermula tahun ini, untuk persiapan program 'Road to Rio' menjelang Sukan Olimpik di Rio de Janiero, Brazil pada 2016.

Peruntukan berkenaan diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Belanjawan 2013 pada 28 September lalu.

Di bawah program 'Road to London', sebanyak RM20 juta diperuntukkan dan Malaysia hanya memperoleh satu pingat perak menerusi Datuk Lee Chong Wei dalam acara badminton perseorangan lelaki dan satu pingat gangsa melalui Pandelela Rinong Pamg menerusi acara terjun 10m platform. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan