Selasa, 31 Mei 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Getaran tenaga rawat penyakit

Posted:

Getaran tenaga rawat penyakit

Getaran tenaga rawat penyakit

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
rosmalina.kadir@kosmo.com.my



RIAK wajah Jiang Feng, 47, dan Wang Li Xiang, 36, seperti sedang bergelut dengan emosi. Sambil membuat pergerakan ala shaolin, tapak tangan kedua-duanya dilalukan di bahagian belakang badan seorang pesakit dalam gerakan perlahan.

Apabila mereka berhenti di satu bahagian pada tubuh pesakit itu, liang roma permukaan kulit yang ditepuk secara perlahan itu terbuka dengan sendirinya. Sensasi sentuhan atau aura tenaga juga dapat dirasakan oleh pesakit tersebut tanpa kedua-dua lelaki itu membuat sentuhan fizikal.

Sebaik sahaja darah berkumpul di bawah permukaan kulit, cawan khas yang sering digunakan untuk rawatan bekam ditelangkupkan pada permukaan kulit tubuh itu. Dalam kesan vakum itu, darah kotor yang mengandungi toksin disedut keluar secara perlahan-lahan.

Tanpa ditusuk dengan sebatang jarum arau torehan pisau kecil, darah kotor mengalir keluar dari tubuh pesakit.

Jiang Feng dan Li Xiang menggunakan tenaga dalaman mereka yang tinggi untuk menyempurnakan proses tersebut.

Itulah kelebihan rawatan bekam yang menggunakan teknik chi gong. Bagi masyarakat Malaysia, terapi chi gong pasti kedengaran asing tetapi ia adalah rawatan tradisional purba itu diamalkan sejak beribu-ribu tahun lalu itu di China.

Kedua-dua ahli terapi itu berasal dari wilayah Anhui yang terletak di timur China. Di wilayah berkenaan, kanak-kanak didedahkan dengan kemahiran menggunakan chi sejak kecil.



Bagi mendalami ilmu tersebut ia memakan masa bertahun-tahun malah tidak semua orang mempunyai kelebihan tersebut.

Chi secara teori yang mudah difahami ialah tenaga yang mengalir di sekeliling kita, manakala terapi chi gong pula menggunakan tenaga itu yang dimanipulasi menjadi getaran atau aliran elektrik yang dialirkan melalui titik-titik meridien di dalam badan manusia bagi memulihkan kesihatan.

Agak sukar menjelaskan tentang kemampuan seseorang itu memiliki kuasa yang dapat mengalirkan tenaga di dalam dirinya sehingga getarannya dapat dirasai oleh pesakit.

Dengan teknik pernafasan, aktiviti fizikal dan minda yang tepat, rawatan bersifat kerohanian itu diakui berkesan membantu penyembuhan pelbagai jenis penyakit.

Menurut Jiang Feng, tidak seperti rawatan bekam lain yang mengeluarkan darah kotor di bawah permukaan kulit untuk merawat penyakit-penyakit kecil, bekam chi gong menyasarkan sokongan proses penyembuhan penyakit-penyakit biasa dan kronik. Antaranya termasuklah penyakit jantung, buah pinggang dan kanser.

"Menerusi tenaga chi, toksin di dalam darah pesakit didorong untuk berkumpul di satu titik meridien yang tepat iaitu di kawasan badan pesakit yang berpenyakit.


GETARAN atau aliran elektrik dialirkan melalui titik-titik meridien di dalam badan manusia.


"Walaupun tanpa cawan bekam, darah kotor akan mengalir keluar tetapi penggunaan cawan bekam adalah bagi mempercepatkan proses menyedut keluar darah kotor yang berkumpul di bawah permukaan kulit pesakit," katanya yang berpengalaman selama tiga dekad dalam bidang tersebut.

Menurut beliau, sesiapapun boleh menjalani rawatan jika badan mereka dapat menerima tenaga chi daripada pengamal perubatan. Bagaimanapun, ia tidak digalakkan untuk dilakukan kepada kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun.

"Pengamal perubatan akan menjalankan diagnosis untuk menentukan sama ada pesakit sesuai menjalani rawatan ini atau sebaliknya.

"Ketika chi dialirkan ke dalam badan pesakit melalui titik meridien semasa proses diagnosis dijalankan, bahagian badan yang terjejas dapat dikenal pasti," katanya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Tambahnya, kelebihan rawatan chi gong ialah ia dapat mengesan sesuatu penyakit yang cenderung menyerang seseorang pesakit walaupun ia tidak dapat dikesan oleh teknik perubatan moden hari ini.

"Sekiranya mereka yang sihat melakukan rawatan ini, ia dapat menguatkan imunisasi badan dan bertindak sebagai penghalang penyakit, manakala bagi mereka yang menjalani rawatan ini, ia adalah pilihan alternatif untuk membantu mempercepatkan proses menyembuhan," katanya.

Mengeluarkan toksin


KAEDAH berbekam yang menggunakan buluh untuk menyedut darah kotor.


Sementara itu, Li Xiang memberitahu, hanya pengamal perubatan chi gong di peringkat master mempunyai kelebihan merawat penyakit kronik seperti sakit jantung dan kanser.

"Toksin disimpan di dalam badan akan menjadi racun. Semakin lama dibiarkan, semakin sukar dan lambat untuk pulih. Tetapi apabila ia dikeluarkan, secara semula jadi dan perlahan-lahan ia dapat membantu penyembuhan pesakit atau memanjangkan jangka hayat pesakit.

"Tubuh badan setiap manusia juga sebenarnya mempunyai chi dan ia juga merupakan salah satu tenaga yang dapat digabungkan dengan tenaga chi daripada pengamal perubatan semasa menjalankan rawatan," katanya.

Tambahnya, proses rawatan bergantung kepada jenis penyakit dan kekuatan badan untuk menerima tenaga chi daripada pengamal perubatan.

"Untuk satu-satu proses selalunya ia memakan masa selama lebih kurang 30 minit tetapi bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik, rawatan susulan mungkin diperlukan," katanya.

Jiang Feng dan Li Xiang adalah pengamal perubatan chi gong di Chi-Gong Healing Incorporated Sdn. Bhd. yang terletak di Damansara Heights, Kuala Lumpur.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan