Ahad, 22 Mei 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Belajar di penjara

Posted: 21 May 2011 10:29 AM PDT

KAJANG: "Dalam penjara, saya mengenal erti kawan dan mengharungi susah senang bersama. Sebelum ini, saya tidak pernah ambil tahu pasal penjara dan tidak pernah membayangkan akan ditempatkan di sini.

"Namun, akibat kelemahan saya yang terlalu percaya pada rakan, akhirnya saya merengkuk di penjara," kata Ima (bukan nama sebenar), 29, dari selatan tanah air yang menjalani hukuman penjara dua tahun kerana kesalahan pecah amanah.


Menurutnya, kehidupan di sebalik tembok besar tidak seburuk disangka kerana membolehkannya mengenal diri dan membentuk jati diri.

"Di sini saya peroleh kemahiran menjahit selain mendalami agama. Selepas keluar dari penjara, saya ingin memulakan hidup baru. Saya juga akan lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan rakan.


"Kesilapan saya ialah memberi pengenalan diri (ID) untuk digunakan rakan dan akhirnya disalahgunakan hingga menyebabkan saya disumbat ke dalam penjara. Daripada sembilan tuduhan, hanya tiga yang lepas.


"Saya tidak dapat membuktikan saya tidak bersalah kerana ID saya digunakan dalam kes pecah amanah itu," katanya yang menghuni Penjara Wanita Kajang sejak 11 bulan lalu.

Ima antara 10 penghuni terpilih yang diberi peluang bertemu keluarga sempena program Hari Ibu dan Bapa Penjara Kajang bersama Maybank, di sini, semalam.


Suasana hiba menyelubungi perkarangan pejabat pentadbiran Penjara Wanita Kajang apabila 10 banduan wanita itu bertemu dan berpelukan dengan ahli keluarga.

Turut diadakan sukaneka antara penghuni dengan kakitangan Maybank.


Ros, (bukan nama sebenar), 24, dari Pantai Timur tidak dapat melupakan kejadian dia dan ahli keluarga digari polis pada malam pernikahan kerana tuduhan bersubahat dengan tunang memiliki dadah.


Disebabkan tidak mahu memanjangkan cerita dan membabitkan ahli keluarga, ibu seorang anak itu mengambil keputusan mengaku melakukan kegiatan haram tunangnya.


"Saya reda dengan takdir yang menimpa dan menganggap ia dugaan hidup. Pengajaran yang saya dapat ialah selidik terlebih dulu latar belakang bakal suami," katanya.


Dia yang menjalani hukuman enam tahun penjara sedih kerana anak dengan bekas suami terdahulu tidak mengenalinya kerana anaknya masih bayi ketika dia ditahan.


Sementara itu, Maybank turut menyumbang dua mesin menjahit kasut, tiga unit al-Quran Digital Intelligent Readpen serta alat kelengkapan solat dan barangan keperluan bayi dan kanak-kanak.


Pengarah Penjara Wanita Kajang, Penolong Komisioner Penjara (PKP) Rohana Abdullah berkata, program tahunan kali kelima itu memberi peluang penghuni yang mempunyai prestasi baik menyertai program bersemuka dengan ahli keluarga.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

JKM, Skuad Sayang hulur bantuan

Posted: 21 May 2011 10:04 AM PDT

ALOR GAJAH: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terkejut dan sedih sebaik dimaklumkan kira-kira 24 anak yatim, warden dan petugas Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat, dekat sini, semalam.

"Saya baru dimaklumkan mengenai kejadian yang berlaku ke atas sebuah rumah anak yatim di Hulu Langat, satu kejadian yang menyayat hati. Saya difahamkan, anak yatim berkenaan tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu," katanya.


Setakat jam 7 petang ini, tiga mayat kanak-kanak berusia 11 dan 14 tahun dikeluarkan dari runtuhan itu manakala tujuh lagi ditemui cedera termasuk seorang lelaki dewasa, kata polis.

Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Masjid Tanah, dekat sini.


Beliau mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Skuad Sayang Pergerakan Wanita Umno segera menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak dan keluarga terbabit dalam kejadian tanah runtuh yang dikatakan berlaku jam 2.30 petang.


"Saya akan berhubung dengan polis untuk mendapatkan laporan terperinci dan punca sebenar kejadian itu serta bagaimana kementerian saya dapat membantu dan mengambil tindakan seterusnya," katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Shahrizat berkata, pengusaha rumah kebajikan mestilah mematuhi undang-undang yang ditetapkan, terutama daripada aspek keselamatan.


"Saya berharap rumah itu tidak dibina tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa," katanya — Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan