Rabu, 22 Februari 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


UM ungguli debat Piala Diraja

Posted:

UM ungguli debat Piala Diraja

UM ungguli debat Piala Diraja

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
utusanpenang@yahoo.com


Chan Keng Fai (kanan), Mohd. Asri Abdul Jani (kiri), Mohd. Azzairi Roslan (dua dari kiri) dan Mohd. Firdaus Abdullah berpelukan selepas diumum sebagai johan Pertandingan Debat Diraja 2012 dalam kategori Bahasa Melayu Utama di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, baru-baru ini. – BERNAMA


PULAU PINANG 21 Feb. – Beberapa universiti yang menjadi 'kuasa utama' pertandingan debat membabitkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mengekalkan reputasi masing-masing dalam Pertandingan Debat Diraja 2012 yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM) dari 12 hingga 14 Februari lalu.

Universiti Malaya (UM) yang dibarisi Mohd. Azzairi Roslan, Chan Keng Fai, Mohd. Firdaus Abdullah dan Mohd. Asri Abdul Jani terlalu unggul untuk dicabar pasukan tuan rumah dalam kategori Bahasa Melayu Utama menerusi tajuk Dewan Ini Mencadangkan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan Dipilih Melalui Pilihan Raya.

Malah, salah seorang pendebat UM, Mohd. Firdaus turut dinobatkan selaku pendebat terbaik.

"Kalau dalam aksi bola sepak Liga Perdana Inggeris, pertemuan UM dan USM ini boleh diibaratkan perlawanan klasik membabitkan Manchester United bertemu Liverpool.

"UM merupakan universiti premier negara manakala USM pula universiti Apex, jadi sudah pasti saingan sengit dan menarik," katanya pada sidang akhbar sebelum gelanggang pertandingan akhir dibuka.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang hadir pada malam kemuncak pertandingan itu turut teruja melihat pertembungan antara kedua-dua universiti utama negara itu.

Turut hadir, Pemangku Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM), Prof. Adnan Hussein.

Sementara itu, rekod cemerlang Universiti Teknologi Mara (UiTM) berterusan apabila menyapu bersih dua gelaran dalam kategori Bahasa Inggeris apabila pasukan senior yang dibarisi Mohd. Shafiq Ahmed Bazari, Maizura Mokhsein, Aina Syazwani Salleh dan Esmail Ebrahim Al Mokhtarn menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Mohd. Syafiq turut dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik.

Pertembungan UiTM dan UIAM berterusan dalam kategori Bahasa Inggeris Muda dengan UiTM sekali lagi menghampakan UIAM.

UiTM kini mengintai misi yang lebih besar apabila akan membawa cabaran pada Pertandingan Debat Universiti Dunia di Jerman pada Jun depan.

Menurut Maizura, mereka menyasarkan untuk mara ke pusingan kalah mati iaitu menduduki kelompok 32 pasukan terbaik sekali gus memperbaiki pencapaian sebelum ini iaitu di tangga ke-37.

"Persaingan di sana nanti pasti sengit apatah lagi sebagai pasukan Asia untuk memecah tembok kebal yang biasanyanya dikuasai oleh universiti ternama dunia seperti Oxford, Cambridge dan Yale. Namun kali ini kami akan berjuang habis-habisan dan melakukan yang terbaik untuk negara," katanya.

UIAM bagaimanapun menebus kehampaan mereka apabila menguasai debat bahasa Arab sesudah mengetepikan cabaran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sementara itu, pasukan debat dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) turut mencuri tumpuan apabila membawa pulang kejuaraan dalam kategori Bahasa Melayu Muda dengan menumpaskan pasukan pilihan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Aksi bersahaja pendebat ketiganya, Siti Aisyah Mustapha yang bijak menepis hujah lawan turut menobatkan beliau selaku pendebat terbaik.

Semua pemenang menerima hadiah wang tunai RM5,000, piala iringan dan sijil penyertaan yang disampaikan Saifuddin manakala pendebat terbaik menerima RM1,500.

Kampus baharu KIST April ini

Posted:

Kampus baharu KIST April ini

Kampus baharu KIST April ini

ALOR SETAR 21 Feb. - Cawangan baharu Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) Kedah di Kubang Pasu dekat sini akan beroperasi pada April ini dengan pengambilan penuntut pertama dijangka seramai 100 orang.

Menurut Ketua Eksekutif KIST Kedah, Mimi Suriana Md. Rashid, antara kursus yang ditawarkan di kampus tersebut adalah Diploma Psikologi, Diploma Pengajian Syariah serta Diploma Pengurusan dan Perkhidmatan Halal.

Katanya, kampus baharu KIST di Bandar Darul Aman, Kubang Pasu dekat sini itu, mampu menampung sejumlah 400 hingga 450 penuntut dalam satu-satu masa.

"Kampus dilengkapi dengan kemudahan bilik kuliah, makmal teknologi maklumat, perpustakaan dengan kelengkapan terkini bagi memastikan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif," katanya di sini hari ini.

Katanya, penubuhan cawangan baharu KIST itu bagi memenuhi permintaan penduduk di negeri itu.

"Kemasukan penuntut yang semakin ramai saban tahun mencetuskan idea kepada penubuhan kolej cawangan yang terdapat di Terengganu, Sabah, Sarawak serta Kedah.

"Penubuhan kolej cawangan adalah untuk meningkatkan peluang anak tempatan menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi dalam bidang yang diminati serta mempunyai peluang pekerjaan tanpa perlu berhijrah ke negeri lain," katanya.

Kata beliau, pelbagai kejayaan dicipta oleh warga KIST seperti semua penuntut jurusan Diploma Kejururawatan lulus dalam peperiksaan Lembaga Jururawat Malaysia (LJM) pada Disember lalu.

"KIST juga berjaya muncul sebagai institusi pendidikan yang ulung serta terlibat dengan aktiviti sosial dengan menjadi johan Sambutan Maulidur Rasul 1433 Hijrah peringkat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daerah Hulu Terengganu anjuran Pejabat Daerah Hulu Terengganu pada 18 Februari lalu," katanya lagi.

Selain itu, katanya, pelbagai aktiviti pendidikan dengan kerjasama pihak sekolah serta sokongan Jabatan Pelajaran negeri sedang giat dijalankan dalam usaha mendedahkan pelajar serta guru mengenai kursus yang ditawarkan di KIST.

"Antaranya Pameran Info Pendidikan, Hari Taklimat Kerjaya dan Kokurikulum, program khidmat masyarakat dan taklimat pendidikan merupakan sebahagian daripada aktiviti yang sering disertai oleh KIST," katanya.

AUCMS bakal miliki televisyen Internet

Posted:

AUCMS bakal miliki televisyen Internet

AUCMS bakal miliki televisyen Internet


Zainuddin Md. Wazir (kiri) bertukar dokumen perjanjian persefahaman AUCMS dan EBB dengan Weng Yew Wong di Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini.


KEPALA BATAS 21 Feb. - Kolej universiti perubatan di utara Semenanjung, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) bakal memiliki televisyen Internet sendiri yang memfokuskan kepada isu-isu perubatan dan sains kesihatan.

Presiden AUCMS, Datuk Dr. Zainuddin Md. Wazir berkata, televisyen internet itu juga bakal memberi manfaat kepada komuniti di sekitar kampus yang mendapatkan perkhidmatan daripada AUCMS selama ini.

Menurutnya, melalui jaringan kampus bersepadu (Unified Campus Network) yang dijalankan secara kerjasama antara AUCMS dan Extreme Broadband Sdn. Bhd. (EBB), satu sistem baru dalam pendidikan bakal dinikmati penuntut dan kakitangan AUCMS.

"Sudah tiba masanya sistem televisyen internet digunakan sebagai alat bantu dalam pengajaran serta memberi pendedahan kepada komuniti di sekitar kampus mengenai bidang perubatan dan sains kesihatan.

"Malah, ia juga akan diperluaskan ke semua kampus AUCMS di seluruh negara iaitu di Kepala Batas, Kangar, Kulim serta akan datang ke Butterworth dan Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian antara AUCMS dan EBB, di sini baru-baru ini.

Melalui kontrak selama lima tahun dengan kos sehingga RM5 juta, EBB akan membekalkan perkhidmatan protokol internet melalui jalur lebar di semua kampus AUCMS serta membolehkan semua penuntut dan kakitangan berhubung menggunakan internet.

Tambah Zainuddin, melalui UCN yang dilancarkan itu, penggunaan jalur lebar sebagai perkakasan utama dalam pembelajaran akan dilaksanakan bermula Mei ini serta bakal memberi manfaat kepada 3,000 penuntut AUCMS.

"Penuntut juga boleh berada di mana-mana lokasi di kampus ini serta kampus cawangan dan boleh berhubung melalui aplikasi internet biasa serta laman sosial Twitter, Facebook dan YouTube.

"Saya berterima kasih kepada EBB kerana memilih AUCMS sebagai lokasi pertama yang disediakan kemudahan ini di Pulau Pinang dan berharap lebih banyak kerjasama dapat dijalinkan dengan mereka," katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan EBB, Weng Yew Wong menjelaskan, pihaknya akan menyediakan pusat operasi yang akan menjadi tempat rujukan kepada penuntut sekiranya berlaku sebarang masalah mengenai UCN di kampus terbabit.

Beliau berkata, melalui UCN juga, penuntut dapat berkongsi pendapat serta idea mereka melalui portal Reachout serta menonton video melalui aplikasi sama seperti YouTube.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan